Selera & Santai 16 Aug, 2024

Royal Floria Putrajaya 2024 datang lagi! Acara pesta bunga paling ikonik! 11 hari mulai 22 Ogos 2024!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this


BUAT pertama kalinya Royal Floria Putrajaya (RFP) 2024 akan diadakan selama 11 hari berbanding sembilan hari sebelum ini bagi memberi peluang pengunjung sama ada di dalam atau luar negara menyaksikan pesta bunga-bungaan terbesar di negara ini sepuas hati.

RFP akan bermula 22 Ogos 2024 hingga 1 September 2024 di Presint 2, Persiaran Tasik Putrajaya iaitu tapak asal penganjuran floria sejak 2007. Acara akan bermula jam 9 pagi hingga 10 malam setiap hari (Isnin-Khamis) dan waktu operasi dilanjutkan hingga jam 12 tengah malam pada hari Jumaat hingga Ahad.

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan dan Penyelenggaraan Landskap, Jabatan Landskap dan Taman, Putrajaya (PPj), Salwa Mohd Sharif, berkata RFP 2024 ialah acara ikonik paling ditunggu-tunggu peminat bunga dan flora di seluruh negara. 

Royal Floria Putrajaya adalah acara ikonik yang sentiasa ditunggu-tunggu peminat bunga di dalam dan luar negara. 


Beliau berkata, ia adalah festival bunga yang memang menjadi sebutan pada peringkat antarabangsa kerana mendapat pengiktirafan diraja, justeru setiap kali acara floria itu diadakan, PPj akan menjemput tetamu diraja dan tahun ini ia akan dirasmikan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada 22 Ogos 2024 di pentas utama jam 10 pagi.

"Populariti RFP setanding dengan  pameran keindahan bunga dan taman di luar negara termasuk Chelsea Flower Show di London yang didukung keluarga diraja Inggeris dan diadakan sejak 1912.

"Malah, RFP adalah acara berprestij dalam kalendar pelancongan Malaysia dan diiktiraf  acara utama program berkaitan bunga-bungaan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) sejak diadakan pada 2007 dan ini adalah penganjuran kali ke-13 selepas tertangguh selama dua tahun berikutan pandemik Covid-19," katanya. 


Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu di Radio Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC). Turut hadir, Penolong Pengarah, Bahagian Rekreasi dan Operasi Taman, Jabatan Landskap dan Taman, PPj, Faezah Fadil.

Menurutnya, tema RFP 2024 ialah petunia, bunga yang cantik yang mempunyai pelbagai warna dan banyak terdapat di tepi jalan selain sesuai dihias sama ada digantung dalam pasu atau dibiar berjurai. 

Pemilihannya kerana kecantikannya boleh menyuntik semangat estetika dan menceriakan program, mudah didapati, diselenggara atau digubah.


Petunia dijadikan bunga tema RFP 2024 kerana keindahan warnanya selain menyuntik semangat keceriaan.


"Tema acara pula ialah "Raikan Bersama" atau "Celebrate Together". Ia selari dengan semangat Hari Kemerdekaan negara ke-67 bagi menyuntik semangat positif pengunjung ke RFP malah mereka boleh meraikan momen bersama keluarga, sahabat atau saudara mara selari dengan pelbagai warna bunga yang menceriakan.  

"Melalui RFP 2024 juga, kita menyediakan 22 taman yang akan bertanding bagi merebut pelbagai anugerah antaranya Taman Diraja, Taman Malaysia Madani dan Taman Bandar Putrajaya.

"Selain itu, beberapa agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Sepang, Perbadanan Labuan, Jabatan Landskap Negara, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Majlis Bandaraya Johor Bahru, Perbadanan Putrajaya turut mengambil bahagian," kata Salwa lagi.

Perbadanan Putrajaya dan beberapa majlis perbandaran termasuk DBKL, Majlis Perbandaran Sepang dan Perbadanan Labuan akan mengambil bahagian dalam RFP 2024.


Sementara itu, Faezah pula berkata, RFP 2024 turut menyediakan Adventure Garden dan Camping Garden, khusus bagi membolehkan pengunjung menikmati ketenangan, relaks dan menghilangkan tekanan selepas seharian di pejabat atau tempat kerja.  

"Kami membawa beberapa pengusaha perkhemahan untuk merealisasikan impian itu dan memeriahkan suasana floria manakala Indoor Pavilion yang diadakan setiap tahun, diganti dengan Astaka Flora, iaitu kawasan terbuka menempatkan gubahan bunga, pertandingan orkid, bonsai dan terrarium dengan tema tropika.

"RFP tahun ini akan menghimpunkan 500 spesies orkid, pertandingan orkid tempatan, bonsai dan pameran terrarium. Buat pertama kalinya, kami mengadakan satu anugerah khas, "Floria Most People Choice Garden Award".

"Sebelum ini, kami mengambil juri profesional mengadili acara itu tapi khusus untuk RFP 2024, kami mahu pengunjung memilih sendiri taman mana yang mereka suka dan menganggap paling cantik. Jadi, kami menyediakan kod QR di setiap taman yang mengambil bahagian dan mereka boleh mengundi dengan menimbas kod QR," katanya lagi.

RFP 2024 akan menyediakan 22 taman yang bertanding bagi merebut pelbagai anugerah, antaranya Taman Diraja, Taman Malaysia Madani dan Taman Bandar Putrajaya.


Selain itu, bagi memeriahkan RFP 2024, pihaknya mengadakan 100 acara sampingan sepanjang 11 hari floria diraja Putrajaya termasuk bengkel dan demo, pertandingan "cupcake", bengkel gubahan bunga, mencanting batik, demo penjagaan pokok bonsai, orkid, penjagaan tanaman dalam rumah dan bicara tumbuh-tumbuhan.

"Ada pelbagai persembahan nyanyian termasuk orkestra dari Sekolah Alam Shah, tarian, pertunjukan fesyen Kolej Vokasional Sepang, Fun Run, Fun Ride, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, zumba, face painting dan badut superhero sepanjang 11 hari Royal Floria Putrajaya 2024. 

"Jadi, jangan lupa membawa keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan acara yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Bagi peminat kopi, kami mengadakan pertandingan "Mencari Barista Latte Art" bagi mencungkil kebolehan anak tempatan menghias secawan kopi dengan seni dekorasi bertemakan Flora. Jika anda Barista yang kami cari, ayuh buat pendaftaran secepat mungkin kerana hadiah yang disediakan amat menarik," katanya.   

Sasaran RFP 2024 ialah 500,000 pengunjung tapi jumlah itu dijangka meningkat berikutan sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 di Putrajaya.


Mengenai bayaran tiket masuk, katanya bagi warganegara, mereka hanya perlu membayar RM10 (dewasa), RM10 (kanak-kanak) manakala RM30 (dewasa) dan RM25 (kanak-kanak) bagi bukan warga negara. Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kanak-kanak bawah enam tahun tidak dikenakan bayaran masuk. 

"Saya menasihatkan orang ramai membeli tiket secara dalam talian kerana lebih mudah dan tidak perlu bersesak-sesak di kaunter tiket. Malah, kami sudah membuka pembelian secara online sejak 12 Ogos 2024 melalui talian https://floria.putrajaya.my.  

"Sasaran kami tahun ini ialah 500,000 pengunjung tapi jumlah itu dijangka meningkat berikutan sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 yang turut diadakan di Dataran Putrajaya, tidak jauh dari tapak Royal Floria Putrajaya 2024. Mereka boleh berjalan kaki dalam 5 atau 10 minit ke lokasi floria di Presint 2, Persisiran Tasik Putrajaya selepas selesai acara perarakan," katanya.  

Bagi memberi peluang orang ramai membeli belah produk berkaitan tanaman, penganjur turut menyediakan Garden Bazar yang menjual pelbagai produk tumbuh-tumbuhan, tanaman landskap, spesies orkid, pokok buah2an, baja, pasu, produk berasaskan rotan,  jualan kebun komuniti Putrajaya, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, kraf batik selain gerai makanan berkonsepkan taman.

RFP setanding dengan pameran keindahan bunga dan taman di luar negara termasuk Chelsea Flower Show di London. 


Di tapak RFP 2024, ada food truck yang menyediakan makanan tempatan, jalanan dan antarabangsa. Pengunjung boleh makan dalam suasana taman sambil menikmati keindahan bunga-bungaan dan persembahan di pentas utama.  

"Bagi kemudahan di tapak floria, kami menyediakan surau konsep kabin dan dalam bangunan, 60 unit tandas, enam unit kerusi roda, khemah paramedik, 1,000 tapak parkir, 20 pengawal lalu lintas terutama di jalan masuk utama selain tiga bas pengantara percuma di lokasi yang akan dimaklumkan kepada orang ramai nanti  

"Bas pengantara dengan kekerapan 30 minit akan beroperasi jam 7.30 pagi hingga 10.30 malam (Isnin-Jumaat) dan dilanjutkan sehingga jam 12.30 pagi (Sabtu-Ahad). Selain itu, Perbadanan Putrajaya juga menyediakan pengangkutan air iaitu sebuah bot cruise dan dua teksi air dengan harga berpatutan dari beberapa stesen ke tapak floria.

"Bagi menjadikan kunjungan ke RFP 2024 pengalaman menyeronokkan, pakai kasut yang selesa dan elak menggunakan selipar, bawa payung atau topi kerana cuaca dijangka panas, cermin mata gelap, kipas tangan selain air mineral jika haus sepanjang di tapak floria," katanya. - KitaReporters

19
6
0
5
0
You will be interested