Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Terkadang yang pahit itu penawar yang manis itu racun. Begitulah kehidupan. Nak tak nak perjuangan hidup perlu diteruskan demi sesuap nasi.
Luahan sedih dan sayu bekas kakak ipar Datuk Seri
Siti Nurhaliza yang juga pengurusnya, Rozi Abdul Razak dalam Instagramnya
meruntun hati netizen terutama kelab peminat penyanyi tersohor itu, Sitizoners.
Menurut Rozi, pada 26 September 2023 merupakan hari terakhir bagi kedai makan miliknya beroperasi setelah berbelas-belas tahun. Kedai makan yang diberi nama Restoran Resipi Sangdewi itu merupakan perniagaan milik keluarganya.
Rozi terpaksa akur menutup kedai makannya di lokasi ini.
Jelas Rozi lagi, mereka terpaksa akur berpindah dan
menutup operasi berikutan arahan daripada pihak pengurusan tempat itu.
“Hari Selasa ini, 26 September (2023) merupakan hari
terakhir, Restoran Resipi Sangdewi berniaga di lokasi asal kami, di CMC Centre,
Taman Connaught, Cheras. Kami diminta keluar atau berpindah disebabkan
pengurusan di situ mahu membangunkan tempat tersebut.
“18 tahun tiga bulan kami di lokasi yang sama, satu-satunya peniaga yang kekal menyewa di situ sejak restoran kami beroperasi pada 3 Jun 2005. Jujurnya sedih tetapi tidak punya pilihan,” ujarnya.
Arahan penutupan oleh pihak pengurusan itu tidak mematahkan semangat Rozi. Perniagaan yang diusahakan oleh keluarganya itu perlu dipertahankan.
Justeru, Rozi kini giat mencari lokasi baharu dan bercadang mahu mengecilkan perniagaan tersebut.
“Kami sedang mencuba mendapatkan tempat terdekat dari lokasi sekarang dan mungkin mengecilkan perniagaan untuk menu set sahaja. Saya juga perlu memberi laluan kepada kakak saya yang mahu berehat disebabkan faktor usia dan juga keluarga.
"Abang-abang saya akan meneruskan perniagaan ini, doakan ya. Moga urusan ke hadapan ini dipermudah-Nya dan ada rezeki untuk Resipi Sangdewi terus beroperasi.
“Terima kasih kepada seluruh pelanggan kami selama ini. Segala memori di sini bukan hanya memori tetapi rezeki yang telah menghadirkan nilai dalam keluarga kami. Berkaca-kaca mata menyunting perkongsian video ini. Ini adalah perjuangan anak-anak arwah Haji Abdul Razak dan arwah Hajah Zauyah,” tulisnya pilu.
Pelbagai jenis masakan kampung dijual di sini.
Sementara itu netizen terutama ahli kelab peminat
Siti Nurhaliza iaitu Sitizoners memberi kata-kata semangat kepada Rozi. Menurut
mereka, banyak kenangan manis di lokasi lama tersebut.
Rata-rata pengikut Rozi dalam Instagram melahirkan rasa sedih dan berharap Rozi dapat menemui lokasi baharu secepat mungkin. - KitaReporters
Banyak kenangan manis di lokasi lama.