Selera & Santai 17 Mar, 2021

Kalau ke Bukit Fraser jangan lupa ke Glasshouse! Tempat melepak minum latte dan tengok kaktus

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this

Kawasan Menara Jam, Mercu tanda utama Bukit Fraser. 


SUDAH berpuluh-puluh tahun tidak mengunjungi Bukit Fraser. Baru-baru ini sempat bercuti 2 hari 1 malam di pusat peranginan ala England itu, sempena percutian Tahun Baru 2021 dan beberapa hari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua (PKP 2.0). 

Cuaca sejuk kebiasaan di pusat peranginan tanah tinggi Bukit Fraser ialah antara 17 hingga 24 Celcius.  Dan pada musim hujan (Disember- Januari) terkadang suhu turun lebih rendah. Jolokan Little England  sesuai diberi bagi kawasan pelancongan pergunungan yang sejuk sepanjang tahun itu.


Kisah-kisah menarik berkaitan Bukit Fraser:

https://kitareporters.com/search?search=bukit+fraser


Glasshouse Fraser's Hill


Ini kerana bukan sahaja cuacanya seperti musim dingin di England atau negara empat musim, malah bangunan-bangunan yang ada di situ juga kebanyakan bereka bentuk Inggeris. Malah kebanyakannya adalah bangunan lama yang dibina pada zaman penjajahan British dahulu. 

Bukit Fraser adalah tempat tinggal dan tumpuan percutian pegawai-pegawai tinggi penjajah Inggeris pada zaman kolonial kerana persis keadaan di negara sendiri dan menghilangkan kerinduan mereka pada kampung sendiri. 

Dengan kelas tersendiri, sebagai sebuah pusat percutian yang santai, tidak terlalu sesak kerana tiada pembangunan pesat sejak berpuluh-puluh tahun dahulu, malah dari dahulu sehinggalah sekarang serupa sahaja keadaannya. Tetap sebagai sebuah bandar kecil yang boleh dilawati ke serata kawasan dalam masa beberapa jam sahaja.


Himpunan kaktus pelbagai jenis dalam pasu dalam Glasshouse Fraser's Hill


Nak berkongsi mengenai sesuatu yang baru iaitu Glasshouse Fraser’s Hill. Antara tempat disyorkan untuk dikunjungi apabila ke Bukit Fraser, rupa-rupanya ia adalah tempat dwifungsi, iaitu rumah kaktus dan kafe

Malangnya, kami sampai terlalu awal pagi itu, Glasshouse Fraser’s Hill belum pun dibuka. Jadi kami hanya merakam kenangan dari luar bangunan sahaja. Sewaktu ditutup, tidak nampak suasana seperti kafe melainkan hanyalah rumah kaca yang mempamerkan pelbagai pokok kaktus pasuan yang comel.

“Kalau ke Glasshouse, pastikan korang tak lupa memesan menu Signature yang menjadi kegemaran ramai iaitu Burnt Cheesecake dan kek gula Melaka dipadankan dengan secawan kopi latte yang mempunyai aroma sungguh memikat,” kata seorang pengunjung sambil menambah, pelanggan boleh duduk makan ditemani pokok kaktus di meja dalam rumah kaca itu. 


Kaktus pasuan yang dipamerkan di atas meja tengah.


Reka bentuk bangunan berbumbung tinggi curam, dengan seluruh dinding di sekeliling daripada bahan kaca lut sinar, telus pandang tanpa sebarang langsir atau bahan lapisan lain. 

Terdapat sebuah lagi bangunan bukan kaca di sebelahnya. Di situ ialah kaunter pesanan dan tempat menyediakan makanan.

Pelanggan boleh makan di luar bangunan mahupun di dalam rumah kaca dalam keadaan santai diulit kedinginan semula jadi alam di bukit peranginan itu.

Bagi penggemar kaktus, tempat ini wajib dikunjungi apabila ke Bukit Fraser kerana anda boleh memilih jenis kaktus kesukaan untuk dibeli.


Glasshouse Fraser's Hill, kedai kaktus dan kafe, suasana dalaman.


Banyak tempat kami kunjungi, termasuk tempat-tempat lama yang pernah kami berada seperti di kawasan Menara Jam yang menjadi mercu tanda utama di Pusat Bandar Bukit Fraser, Tasik Allan's Water dan rumah penginapan Ye Olde Smokehouse.

Alhamdulillah kunjungan kami ke Bukit Fraser berjalan dengan lancar dan selamat, iaitu sehari sebelum kejadian tanah runtuh yang agak kuat di Jalan ke Bukit Fraser, pada Ahad 3 Januari 2021, yang memerangkap berbelas-belas kereta dan motosikal, dengan 40 mangsa dewasa dan kanak-kanak terperangkap di perjalanan dalam dua runtuhan yang berlaku.

Runtuhan itu bagaimanapun tidak membabitkan jalan dari Kuala Lumpur melalui Jalan Kuala Kubu Baru - Bukit Fraser yang kami guna. Jalan itu tetap boleh dilalui walaupun ada tanda jalan dibaiki akibat runtuhan lama. Runtuhan terbaru itu membabitkan Jalan Bukit Fraser- Raub. - KitaReporters


Kaktus comel dalam pasu untuk pilihan pelanggan

2
1
0
0
0
You will be interested