GARA-GARA meminta bayaran untuk hidangan samosa dan puri, seorang pemilik kedai makan di Lucknow, India ditolak ke arah kuali menggoreng yang mengandungi minyak panas sehingga melecur. Seorang pemilik kedai makan tepi jalan, juga di Lucknow, pula ditembak oleh seorang pemuda yang marah kerana dia disajikan dengan capati sejuk oleh pemilik kedai berkenaan. : KitaReporters
BANDAR Lucknow di negeri Uttar Pradesh, di bahagian utara India. - Kredit foto: Britainnica
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan India:
https://kitareporters.com/search?search=india
Dua peristiwa ini berlaku selang sehari di bandar Lucknow, negeri Uttar Pradesh, di bahagian utara benua kecil India.
Sudah menikmati makanan yang dipesan di warung makan atau restoran, bayarlah. Jangan pula hendak makan percuma. Lebih buruk lagi, sudahlah tidak mahu bayar, mencederakan pula pemilik kedai.
SAMOSA makanan enak yang juga menjadi kegemaran rakyat Malaysia. - Kredit bloggers.
Inilah yang berlaku di sebuah kedai makan di Gomti Ram, Lucknow, pada 28 Disember 2020. Sekumpulan pemuda bukan sahaja tidak mahu membayar selepas menikmati samosa dan puri, mereka malah mencederakan pemilik kedai makan tersebut dengan menolaknya ke kuali mengandungi minyak panas.
Memetik laporan Timesnownews.com, kejadian berlaku apabila sekumpulan remaja berkunjung ke sebuah kedai makan berkenaan yang dimiliki Ramnath Yadav.
ketika kejadian, dua anak lelaki Ramnath, Ranjeet dan Pradeep berada di kedai, Memang setiap hari mereka membantu bapanya berniaga.
Pada pukul 8 malam hari kejadian, sekumpulan pemuda datang ke kedai makan tersebut dan memesan samosa serta puri. Ramnath segera menyajikan makanan yang diminta.
Tetapi apabila Ramnath meminta bayaran, yang tidak pun terlalu mahal, kumpulan remaja tersebut menjadi berang.
Dalam keadaan marah, mereka menolak Ramnath dan Pradeep ke arah kuali menggoreng dengan minyak yang sedang mendidih.
MENGGORENG puri di India. Juga kelihatan susunan samosa di atas dapur. - Kredit foto: Alamy.
Akibat perbuatan tersebut, kuali mengandungi minyak itu terbalik.
Ramnath dan anaknya sedera dan melecur di beberapa bahagian badan terkena kuali dan minyak panas. Kedua-dua mereka dikejarkan ke Hospital Ram Manohar Lohia untuk rawatan.
Selepas kejadian tersebut, kumpulan remaja berkenaan melarikan diri. Mereka bakal berhadapan beberapa pertuduhan jenayah termasuk provokasi, sengaja mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
PURI menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia yang berkunjung ke restoran mamak. - Kredit foto: Swasthi's Recipe.
Kejadian ini berlaku hanya sehari selepas satu kejadian di mana seorang pemilik kedai makan tepi jalan di daerah Etah, Awadesh Yadav ditembak oleh seorang pemuda kerana Awadesh dikatakan menyajikan capati sejuk.
Menurut Awadesh, dua pemuda datang ke kedai makannya berhampiran stesen bas Etah dan memesan makanan. Ketika makan, kedua pemuda berkenaan, Kasustab Singh dan Amit Chauhan, mendakwa capati yang disajikan sudah sejuk.
Ekoran itu kedua-dua pemuda tersebut bertengkar dengan Awadesh. Dalam pertengkaran itu seorang daripada pemuda tersebut mengeluarkan pistol dan menembak Awadesh.
Peluru tersebut mengenai peha dan kaki kanannya. Dia dibawa ke hospital untuk rawatan.
Kasustab dan Amit kemudian ditangkap dan dua pucuk pistol dirampas daripada mereka.
Kedua-duanya menghadapi tuduhan cuba membunuh, ugutan jenayah serta mendatangkan kebimbangan kematian atau kecederaan parah. - KitaReporters
CAPATI juga kegemaran rakyat Malaysia. - Kredit foto: site.googles.co