DUA beradik di Kampung Usaha Jaya, Labis, Johor gigih mengusahakan produk makanan berasaskan kacang soya terutama tauhu sejak hampir 10 tahun lalu sebagai sumber rezeki, meskipun kedua-duanya tidak pernah termimpi bergelar usahawan berkenaan.
Mohd Nadzri Esa, 39, dan adiknya, Mohd Izzuddin, 33, bukan hanya berkorban waktu tidur untuk bangun sekitar jam 4.30 pagi bagi memulakan tugasan tetapi hanya dapat bercuti sehari dalam tempoh sebulan demi memenuhi permintaan pelanggan di sekitar Labis.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan usahawan
Nazri menutup pencetak tauhu dengan kain nipis yang merupakan salah satu proses menghasilkan tauhu.
Menurut Mohd Nadzri, penglibatannya dalam bidang pembuatan produk hiliran kacang soya iaitu tauhu cuma sekadar kebetulan selepas dia memberanikan diri membeli peralatan terpakai daripada seorang pengusaha tauhu berbangsa Cina pada tahun 2011.
"Ketika itu saya bekerja sebuah kilang papan di Labis. Saya tertarik dengan peralatan berkenaan hingga sanggup gunakan wang simpanan RM7,000 untuk membelinya walaupun ketika itu langsung tiada pengetahuan memproses tauhu.
"Saya bernasib baik kerana pengusaha berkenaan yang tidak mahu lagi menjalankan perniagaan membuat tauhu sudi menurunkan ilmunya kepada saya. Selama sebulan menimba pengetahuan berkaitan sebelum saya buat keputusan berani memulakan perusahaan sendiri.
"Peringkat awal dulu, saya benar-benar rasa janggal dan malu apatah lagi ketika hanya menumpang di suatu sudut tepi Pasar Awam Labis bagi memasarkan produk. Cabaran persaingan dengan peniaga-peniaga yang telah lama bertapak turut membuatkan saya rasa kecil serta rendah diri," katanya.
Tambahnya, berkat kesabaran serta usahanya berbaloi apabila tauhu dihasilkan bersama bantuan Mohd Izzuddin kian mendapat sambutan pelanggan bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu tetapi juga pelbagai jenis kaum lain.
Katanya lagi, mereka kini mampu menjual sekitar 1,000 hingga 1,500 keping tauhu setiap hari dan bersyukur kerana turut mendapat perhatian Jabatan Pertanian Segamat yang menyalurkan bantuan untuk membina sebuah bangunan serta beberapa mesin pada 2013 bagi kembangkan perniagaan.
Mohd Izzuddin menapis air kacang soya bagi asingkan hampas.
Sementara itu, Mohd Izzuddin berkata setiap hari mereka berdua akan bangun sekitar jam 4.30 pagi untuk membersih dan merendam kira-kira 50 kilogram kacang soya bagi melembutkannya sebelum boleh dikisar empat jam selepas direndam.
Katanya, rutin hariannya akan diteruskan dengan membantu abangnya berkemas untuk ke Pasar Awam Labis bagi memasarkan tauhu yang telah disiapkan pada hari sebelumnya dan dia akan tinggal melakukan tugasan lain di bengkel bersebelahan rumah ibu bapanya.
"Selepas kacang soya direndam, proses seterusnya ialah mengisar bagi dapatkan air kacang soya yang merupakan bahan asas pembuatan tauhu. Biasanya, bermula jam 9 pagi dan akan siap sekurang-kurangnya tiga jam kemudian.
"Air kacang soya kemudiannya dimasak sehingga mendidih sebelum dicampurkan sejenis bahan untuk membekukannya dan boleh dituang ke dalam pencetak khas bagi menghasilkan tauhu yang sudah sedia dipasarkan.
"Selain tauhu, kami juga bekalkan air kacang soya kepada beberapa penjaja serta penduduk di sekitar Labis selain menerima tempahan daripada mereka yang mahu membeli taufu fa terutama ketika bulan puasa atau untuk majlis tertentu," ujarnya.
Mohd Izzuddin turut mengakui lebih selesa bekerja sendiri yang disifatkannya punyai banyak masa untuk keluarga kerana masa untuk proses membuat tauhu hanya beberapa jam berbanding kerjayanya sebelum ini sebagai pemandu lori.- KitaReporters
Tauhu dihasilkan oleh Mohd Nazri dan Mohd Izzuddin turut mendapat permintaan dari kaum Cina.