Lambakan peniaga terutama sekali di jalanan yang menjual makanan dalam kalangan bangsa Melayu seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Namun, berapa ramai peniaga jalanan ini yang berusaha untuk mendapatkan serta memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)?

Penulis bertuah menemui pengusaha Pizua Karipap Enterprise, Shahrezuana Sabtu, 40, yang menjual produk kuih karipap tetap sudah memperoleh pensijilan halal daripada JAKIM sejak 13 tahun lalu.
“Kita dapat lihat ramai peniaga jalanan terutama kuih-muih tradisional tidak mengambil berat mengenai memiliki sijil halal daripada JAKIM ini.
“Bagi pihak kami, kami mahu memastikan hidangan karipap yang disediakan di premis jualan kami memenuhi piawaian halal yang ketat, sekali gus memberikan jaminan kebersihan dan keselamatan makanan kepada pelanggan.
“Buat masa ini, kami mempunyai tiga jenis perisa karipap dan kesemua tiga perisa inti daging, ayam serta telur serta sayuran telah memiliki sijil halal juga memperoleh bekalan dari pihak yang juga sudahpun diperakui halal oleh JAKIM.
"Bagi kami, sijil halal ini adalah sesuatu yang wajib bukannya pilihan. Bukan semua orang boleh sesuka hati memperoleh sijil ini dan kami sendiri bersabar melalui tapisan ketat mengambil masa beberapa minggu untuk mendapatkan perakuan ini,” katanya.
Shahrezuana berkata demikian pada majlis Forum Semarak Halal Peringkat Daerah Segamat 2025, yang Bertajuk Halal Adalah Tuntutan, Bukan Pilihan Dan Penyampaian Sijil Halal kepada Usahawan di Masjid Bandar Segamat pada 8 November 2025.
Hadir sama Kadi Daerah Segamat, Mohd Azhar Samadun dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Segamat (MPS), Mohd Helmi Shangri.
Pizua Karipap Enterprise yang sudahpun memiliki pensijilan halal sejak tahun 2012 lalu mengakui perniagaan mereka ini bukan semata-mata untuk mengaut keuntungan.
“Sebaliknya kami mahu meyakinkan pelanggan bahawa dari bahan mentah hingga ke meja hidangan mereka, semuanya mencapai piawaian yang ditetapkan. Ini paling penting.
“Selain itu, pihak kami turut merancang untuk membuka lagi cawangan lain pada masa akan datang dan tentunya mahu dilengkapi sijil halal.
"Kita mengikut proses yang ditetapkan JAKIM, termasuk dari segi penggunaan produk, operasi kedai dan penyediaan makanan.
"Kita wajib perbetulkan mengikut piawaian dan kemudian, baru kita memulakan proses mendapatkan pensijilan halal," kongsinya.
Tambah Shahrezuana, konsep halalan toyyiban ini mesti menjadi rukun jual dan beli dalam kalangan Muslim ketika menjual ataupun membeli supaya amalan muamalat harian kita sentiasa dikira sebagai ibadah di sisi Allah SWT.
"Ibadah dalam kehidupan Muslim bukan hanya solat, puasa dan zakat sahaja, tetapi termasuklah hal muamalat harian seperti berjual beli untuk meneruskan kelangsungan hidup dan melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT dan manusia," tambahnya lagi. - KitaReporters