Seramai 500 kaki pancing berkumpul di Kolam 1 dan 2, Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyertai Cabaran Joran Selangor 2025 pada Ahad 10 Ogos 2025. Kemenangan mutlak milik Haron Harrani Abdullah, 31, dari Dengkil selepas berjaya menaikkan seekor patin seberat 8.055 kilogram. - KitaReporters
Aksi “patin menganas” pada saat-saat akhir mencuri tumpuan lebih 500 kaki pancing yang berkumpul di Kolam 1 dan 2, Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyertai Cabaran Joran Selangor 2025 pada Ahad 10 Ogos 2025, bersempena promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pertandingan anjuran bersama Lestari Events dan UPM Holdings dengan kerjasama Tourism Malaysia itu menerima penyertaan luar biasa, termasuk peserta dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Perak, serta wakil dari negara China yang pertama kali turun berentap di kolam ikonik UPM.
Sejak awal pagi, peserta sabar menunggu tarikan. Namun menjelang detik penamat, suasana menjadi gamat apabila patin mula galak menyambar umpan, memaksa joran melentur dan peserta berhempas pulas mengawal asakan.
Spesies tongsan, rohu dan lekoh turut memberi cabaran sengit kepada kaki pancing yang hadir.
Kemenangan mutlak milik Haron Harrani Abdullah, 31, dari Dengkil selepas berjaya menaikkan seekor patin seberat 8.055 kilogram menggunakan umpan roti pandan. Tangkapan itu melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000.
Haron, yang bekerja sendiri dan sudah 15 tahun aktif dalam dunia pertandingan memancing, menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil pengalaman panjang serta sokongan rakan-rakan.
“Saya gembira dan bersyukur. Selain hadiah, saya hargai persahabatan dan perkongsian ilmu di tepi kolam seperti ini,” katanya tersenyum.
Tempat kedua dimenangi Azrull Fitri Sharifuddin, 51, dari Sungai Besi dengan patin seberat 6.320 kilogram, sekali gus meraih RM3,000.
Mohd Fairuz Bilal, 41, dari Sungai Merab, Selangor pula di tempat ketiga dengan patin 6.235 kilogram yang membolehkannya membawa pulang RM1,000.
Pengurus Besar, UPM Business Management Sdn Bhd, Shahril Dasti berkata, menyifatkan sambutan kali ini membuktikan potensi besar kolam pancing UPM untuk dijadikan pusat rekreasi setempat. Katanya, lokasi ini bukan sahaja sesuai untuk pertandingan memancing, malah mampu menarik keluarga dan pelancong untuk beriadah.
Beliau turut mengumumkan rancangan menganjurkan satu lagi pertandingan memancing pada bulan November 2025 sempena Pesta Konvokesyen UPM, dengan tawaran hadiah yang lebih lumayan bagi menarik lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara.
Selain memancing, Bukit Ekspo UPM menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi seperti golf, paintball, abseiling dan aktiviti santai lain yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Keindahan landskap kampus yang menghijau menambah pengalaman rekreasi yang segar dan menyeronokkan.
Acara ini juga selari dengan inisiatif TMM 2026, menjadikan UPM destinasi unik yang menggabungkan sukan, rekreasi dan pelancongan dalam satu lokasi.
Cabaran Joran Selangor 2025 sekali lagi membuktikan bahawa memancing bukan sekadar hobi, tetapi platform untuk mengeratkan silaturahim, berkongsi teknik serta mempromosikan lokasi-lokasi menarik di Malaysia kepada dunia.
Dengan debaran patin “menganas” dan hadiah lumayan yang ditawarkan, tidak hairanlah penganjuran kali ini meninggalkan kenangan manis buat semua peserta, sekali gus mencetuskan keterujaan menantikan edisi November 2025 nanti sempena pesta konvokesyen UPM. - KitaReporters