Selera & Santai 11 Sep, 2023

Video| Tular nasi ayam claypot tak halal! Boleh bikin sendiri! Terima kasih Cef Obie kongsi resipi!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Pada awal September 2023 tular mengenai sebuah restoran yang menyediakan nasi ayam periuk tanah (claypot chicken rice) sebagai menu terlaris sejak lebih 20 tahun. Pemilik restoran itu beragama Islam dan mengesahkan bahawa makanan yang disediakannya halal.

Bagaimanapun, seorang pengguna TikTok mendedahkan restoran terbabit menggunakan arak beras (rice wine) sehingga mengejutkan ramai pihak. Maka bermulalah penyiasatan pelbagai pihak termasuk netizen mengenai pihak terbabit.

Rupa-rupanya restoran terbabit bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah. Ia disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan di Facebooknya berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis tersebut.



Nasi ayam claypot merupakan makanan yang bukan sahaja digemari kaum Cina, tetapi juga Melayu. Ia sering dijual di restoran Cina dan medan selera di pusat beli-belah. Namun, untuk menjumpai yang betul-betul sedap atau ‘kick’ kebanyakannya di restoran milik kaum Cina yang sudah tentu tidak halal.

Tidak hairanlah ramai yang mahu ‘serbu’ restoran yang tular tersebut apatah lagi mendapat tahu ia dimasak oleh pasangan Melayu. Namun malangnya, pihak terbabit pula menggunakan barang yang tidak halal.

Ada netizen menyarankan orang ramai yang teringin makan nasi ayam claypot agar memasaknya sendiri. Jangan khuatir tidak tahu resipinya kerana pada zaman serba canggih ini, maklumat hanya di hujung jari.

Apabila memasaknya sendiri, sudah pasti ia halal seratus peratus. Terima kasih diucapkan kepada Cef Obie atau nama penuhnya, Muhamad Gunawan Jamil, 42, kerana sudi berkongsi resipi nasi ayam claypot.


Cef Obie sering memberi kursus kepada golongan yang mahu menambah ilmu dalam bidang masakan.


Cef yang berasal dari Johor Bharu dan menetap di Ampang, Selangor ini  merupakan pengasas dan perunding F&B MGJ Consultancy serta berpengalaman selama lebih 20 tahun dalam bidang masakan.

Berikut adalah resipi nasi ayam claypot yang dikongsinya.

Bahan-bahan: (ayam kicap claypot) :

1/4 ayam potong kecil

3 ulas bawang putih diketuk

4 hirisan halia tua

3-5 tangkai cili kering

6 sdm kicap cair

2 sdm kicap pekat manis

2 sdm sos tiram

2 sdm tepung jagung

2 sdm minyak bijan

5-7 biji cendawan shitake (direndam hingga lembut)

1 sdt cuka

Sedikit daun bawang

Gula dan garam

1/2- 3/4 cawan air

1 sdt serbuk lada sulah

Cara menyediakan :

1.Panaskan minyak, masukkan bawang putih, halia tua dan cili kering.

2.Tumis wangi kemudian masukkan ayam dan bahan-bahan yang lain. Tumis hingga separuh masak dan matikan api.

*Cef Obie tidak menggunakan lapcheong dan wine shaoxing.

Bahan-bahan : (nasi)

1 cawan beras (rendam air 20 minit dan buang airnya)

2 cawan air

1 sdm pati ayam

1/2 sdt serbuk lada sulah

1 keping ikan masin tenggiri yang telah digoreng dan dihiris

Cara menyediakan :

1.Satukan beras, air, pati ayam dan serbuk lada sulah ke dalam claypot berpenutup dan masak hingga nasi jadi separuh masak .

2.Kemudian letak ikan masin tenggiri, ayam kicap claypot atas nasi tersebut dan tutup kembali tudung periuk tanah. Tanak hingga nasi masak.

3. Ketika nasi siap, taburkan daun bawang, hirisan cili api dan bawang putih cincang serta sedikit lagi minyak bijan. Jika suka boleh pecahkan sebiji telur.

Hiasan :

Daun bawang, cili api, bawang putih cincang dan sedikit minyak bijan, satu biji telur (pilihan). Siap untuk dihidangkan.



Sementara itu, terima kasih juga kepada salah seorang pengguna TikTok yang turut berkongsi resipi halal nasi ayam claypot.

Pengguna TikTok yang dikenali sebagai Che Sayang Kitchen itu dilihat berkongsi resipi makanan tular tersebut dan mendapat 11 ribu lebih tanda suka (setakat pada 10 September 2023). - KitaReporters

13
12
0
18
0
You will be interested