Selera & Santai 25 Jul, 2020

Hikmah PKP! Buat sambal hitam buah belimbing original Pahang

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

BOLEH dikatakan semua pengusaha kecil yang terbabit dengan jualan makanan tertekan ketika berdepan dengan ancaman wabak COVID-19 apatah lagi kemelut dalam kehidupan kian perit setelah kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak empat bulan lalu dan memasuki penghujung tempoh fasa pemulihan yang akan berakhir pada 31 Ogos 2020 ini. : KitaReporters


Sebelum ini, kehidupan kebanyakan pengusaha berkenaan agak lumayan bergantung kepada saiz perniagaan dan pasaran, tetapi sekelip mata sahaja menyaksikan mereka diundang kesusahan apabila halimunan virus tersebut menular di negara ini.

Antara pengusaha yang tertekan dengan senario itu, iaitu Nor Azam Mohamed, 29, iaitu generasi kedua Felda Kota Gelanggi 4, Jerantut. 

Sebelum wabak COVID-19 menular, dia merupakan seorang pengendali makanan di sebuah kantin sekolah rendah.

"Setelah dua bulan setengah berjual makanan di kantin, akhirnya datang musibah penyakit ini, akhirnya saya terpaksa memberhentikan operasi kantin berikutan sekolah ditutup setelah kerajaan melancarkan PKP.

"Saya tidak menyangka perniagaan pengendali makanan juga berdepan penutupan operasinya menyebabkan kehilangan pendapatan apatah lagi cuma 'memerap' di rumah sehingga fikiran juga menjadi buntu untuk mencongak peluang yang boleh mendatangkan pendapatan," katanya di Felda Kota Gelanggi 4, Jerantut.  

Bekas pekerja Poliklinik Pusrawi berkata, akibat tiada pendapatan 'kantung' kewangannya semakin kosong yang turut memberi kesan perbelanjaan dapur, hutang kereta, pinjaman kewangan dan sebagainya.

Buah belimbing buluh selain boleh dicampur dalam masakan singgang ikan air tawar, buah ini boleh diproses dijadikan Sambal Hitam antara makanan popular di Pahang. - Kredit gambar: Ihsan psv3.blogspot.com


"Akhirnya tergetus di hati saya untuk membuat sambal (asam) hitam buah belimbing sebagai memperjudikan peluang (nasib) kalau-kalau makanan ini mendapat sambutan walaupun didapati sudah banyak di pasaran.

"Idea untuk mengusahakan makanan ini secara komersial timbul setelah saya melihat banyak buah belimbing di belakang rumah termasuk jiran berdekatan gugur begitu sahaja tanpa dimanfaatkan sebelum ini untuk peluang menambah pendapatan," katanya.

Nor Azam Mohamed sedang memasak sambal hitam belimbing di rumahnya, Felda Kota Gelanggi Empat, Jerantut


Katanya, dia dan isterinya Deanna Ukasya Ng Kook Soon, 25, mula memasak sambal hitam setelah mempelajari secara singkat daripada ibunya, Norhuda Hassan dan nyata seperti kata orang-orang tua 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan' akhirnya menjadi realiti sewaktu tempoh PKP itu. 

"Sebagai perintis pengeluaran makanan ini, saya menyediakan bahan asas, iaitu buah belimbing seberat dua kilogram, ikan bilis (3 kilogram), cili api (2 kilogram) dan bawang seberat 3 kilogram dan memasak dalam tempoh tiga jam.

Pengeluaran pertama Sambal Hitam hasil usaha Nor Azam Mohamed dan isterinya, Deanna Ukasya Ng Kook Soon. 


"Pengeluaran pertama sambal hitam belimbing ini saya (dapat) diisi dalam 40 buah bekas seberat 200 gram dengan harga RM15 dan mula dipasarkan kepada rakan di Felda Kota Gelanggi Dua dan Kota Gelanggi Empat yang dipromosi menerusi talian WhatsApp.

"Sekejap sahaja habis dijual apabila ramai rakan mula menyokong malahan mengulangi tempahan yang sama, di samping permintaan juga diperoleh daripada saudara mara di Kajang, Ipoh, Alor Setar, Kuantan, Pekan dan Bandar Jengka setelah mengetahui kami membuat dan memasarkan makanan ini menerusi WhatsApp dan Facebook," ujarnya.   

Nor Azam Mohamed (kiri) dan isterinya, Deanna Ukasya Ng Kook Soon bersama Sambal Hitam hasil usaha mereka.  


Bapa kepada dua orang anak berusia tujuh bulan dan empat tahun itu berkata, berasaskan banyak permintaan menerusi COD (hantar dan bayar), dia dan isteri mula menggiatkan usaha itu secara serius dengan jumlah pengeluaran makanan itu berganda.

"Sejak empat bulan ini, tempahan menerusi COD ini semakin meningkat malahan sambal hitam ini sudah merentas ke negeri Sabah dan Sarawak menerusi bantuan pasaran di sana," katanya.   

    

Sambal hitam juga dibungkus dalam pek yang mudah bagi urusan menghantar kepada pelanggan yang jauh menggunakan penghantaran ekspres.


Azam berkata, pasaran secara dalam talian menerusi saluran interaktif WhatsApp kepada saudara mara dan kenalan yang jauh serta laman sosial Facebook banyak membantu perniagaan itu.

Sambal Hitam yang dipromosi menerusi laman sosial Facebook milik Deanna Ukasya 


Pek botol produk makanan Chocolicious juga dijual untuk menampung pendapatan. 


"Isteri saya juga menyediakan produk makanan Chocolicious untuk pasaran dengan harga RM10 bagi sebekas beratnya 200 gram sebagai pendapatan tambahan selain sambal hitam," ujarnya. 

Katanya, oleh kerana pasaran melampaui sempadan negeri ini ke semua tempat, dia menerusi bantuan rakannya menyediakan pelekat jenama perniagaan sendiri dan bekas serta pembungkusan yang lebih menarik.

Deanna Ukasya bersama produk Sambal Hitam original Pahang untuk pasaran seluruh negara



Orang ramai yang ingin menikmati sambal hitam buah belimbing 'original' Pahang hasil usahawan muda ini bolehlah menghubunginya melalui talian 012 2662673 (Deanna Ukasya) dan Nor Azam Mohamed (017 5402384) atau boleh melayari laman FB Deanna Ukasya. - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested