Selera & Santai 28 Dec, 2025

Dulu kartunis, kini pemilik warung makan! Bijan pelukis majalah Ujang jadi pengusaha Warung Bijan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

PEMINAT majalah humor tentu pernah membaca majalah kartun ‘Ujang’ yang popular sekitar tahun 1990-an, seiring dengan majalah kartun lain seperti ‘Gila-Gila’ dan ‘Batu Api’.

Majalah ‘Ujang’ sudah lama tiada di pasaran. Lalu ke manakah pergi pelukis-pelukis kartunnya yang selama ini memerah idea memastikan sajian humor terbaik dan mengegeletek hati pembaca? Masing-masing membawa diri meneruskan kehidupan selepas majalah ditutup.


Ibrahim Anon aka Ujang


Untuk rekod, majalah ‘Ujang’ diasaskan oleh kartunis Ibrahim Anon, dikenali dengan nama Ujang, yang menjadi nama majalah. Dia menerbitkan majalah ‘Ujang’ selepas keluar daripada majalah ‘Gila-Gila’.

Ujang’ mula diterbitkan pada 1 Januari 1994 di bawah syarikat Kharisma Publications, kemudian MOY Publications. Majalah ini pernah mencatat edaran ratusan ribu naskhah sebulan.

Kartunis-kartunisnya dikenali dengan nama buah dan sayur, seperti Lengkuas, Petai, Kobis Bunga, Manggis, Ciku, Padi, Bawang, Bijan dan Taugeh.

Kartun popular ‘Din Beramboi’ (rekaan Ujang) menjadi fenomena. Juga ‘Mat Despatch’ karya Lengkuas (Allahyarham Khairul Azhar Baharuddin) dan ‘Bersama Selamanya’ karya Allahyarham Aie (Saari Sulong).

Selain itu yang popular ialah ‘Aku Budak Minang’ dan ‘Jibam’ karya Ujang, serta ‘Usop Santorian’ yang kemudian diadaptasi menjadi siri animasi TV pertama di Malaysia.


Tinggal kenangan.... majalah 'Ujang' September 2012, keluaran bumper khas sempena Hari Raya Aidilfitri. 


Majalah ‘Ujang’ ditutup secara rasmi apabila MOY Publications menamatkan operasi pada 5 Ogos 2015. Walau sudah tiada di pasaran, majalah lama kini menjadi bahan koleksi sebagai memenuhi kerinduan peminat.

Selepas berkarya hingga titisan dakwat terakhir, pelukis-pelukis kartun majalah ‘Ujang’ mencari haluan sendiri bagi meneruskan hidup. Ini termasuk Bijan (Syahru Maizam Jamin), 51, yang berasal dari Kampung Seri Menanti, Muar, Johor.

Popular sebagai kartunis, dia mengorak langkah berbeza dengan membuka warung makanan di Malim Nawar, Perak. Warung tersebut mula beroperasi pada 2017, terletak di bawah pokok di tepi jalan raya.


Kartunis Syahru Maizam jamin (Binjai) membuka warung makanan di Malim Nawar, Perak sejak 2017.


Dalam persekitaran suasana kampung yang tenang dan damai, warung tersebut jadi tempat tumpuan penduduk setempat. Bijan menggunakan pengalaman membantu bapanya berniaga dahulu dalam mengendalikan warung tersebut.

Pelbagai makanan enak seperti mi, laksa sarang dan nasi ayam, dengan harga mampu menjadikan warung itu popular. Ada menu bermula dengan RM5. Minuman panas dan sejuk disediakan.

Mi Jawa adalah antara menu kesukaan ramai. Bayangkan mi dengan kuah pekat, enak dan mengenyangkan. 

Juga terdapat nasi ayam bakar (grill), laksa sarang serta beberapa menu ringkas lain. Bijan juga menerima tempahan untuk majlis atau keraian.


Warung makan Bijan dalam ketenangan suasana kampung di tepi jalan besar di Malim Nawar, Perak.


Antara sajian enak di Warung Bijan. Dari kiri nasi ayam, mi Jawa dan laksa sarang. Apa pilihan anda?


Keputusan Bijan membuka warung bukan hanya untuk menyambung rezeki, tetapi meneruskan kehidupan dengan lebih tenang dalam kelompok masyarakat setempat, dilingkungi ketenangan desa. 

Namun itu tidak bermakna Bijan melupakan terus bidang lukisan terutama kartun. Misalnya beliau berkarya bergabung dalam majalah ‘Sukun’ bersama rakan kartunis, Nukun Sukun. 

Mereka pernah bekerja sebumbung untuk majalah ‘JENAKArama’ di Taman Maluri, Kuala Lumpur tahun 1992.


Sambil mengendalikan warung sambil melukis jika ada kelapangan. Bijan mahu pastikan bakat melukis terus subur.


Pada masa lapang Bijan berkarya menghasilkan kartun, termasuk yang berkaitan dengan warungnya. Dengan terus melukis, dia memastikan bakatnya terus subur di samping mengurus  perniagaan.

Kepada para pembaca majalah ‘Ujang’ dan peminat kartunis Bijan khususnya, datanglah menjamu selera di Warung Bijan. Pada masa sama boleh bertemu dengan kartunis popular itu. 

Yang ingin buat tempahan boleh hubungi nombor 011-73970875. KitaReporters


Lakaran kartun Bijan yang ada hubung kait dengan warungnya di Malim Nawar.

##ends

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

10
4
0
9
0
You will be interested