Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz (berbaju biru tengah) bergambar beramai-ramai bersama peserta-peserta program Himpunan Basikal Klasik 2022 di Muzium Kapal Selam, Klebang, Melaka. - Gambar skrin tangkap layar TV3.
Khalayak mungkin bertanya ada lagi tak basikal tua atau klasik di zaman serba moden ini. Bagi pemilik-pemilik basikal antik atau klasik pastinya tidak mustahil buat mereka masih lagi menyimpan barang ‘rare’ daripada pelbagai jenis koleksi basikal tua yang berusia lebih separuh abad itu.
Pada Sabtu, 25 Jun 2022 di Melaka, berlangsung satu acara dikenali Himpunan Basikal Klasik di Bukit Rambai anjuran bersama oleh Kelab Asamboi Bikers dan Kelab Basikal Klasik Bukit Rambai.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan basikal lama dan baru
Ada peserta siap beruniform lama polis untuk menyertai Himpunan Basikal Klasik 2022. - Kredit foto: FB Rahim Rahim
Kaum wanita juga tidak ketinggalan turut serta dalam program Himpunan Basikal Klasik 2022 di Melaka. - Kredit foto: Akarim Arahman
Antara mereka yang menyertai program Himpunan Basikal Klasik 2022 di bandaraya bersejarah Melaka. - Kredit foto: FB Akarim Arahman
Program
tersebut yang julung kali diadakan selepas pascapandemik Covid-19 ini turut disertai
pemilik-pemilik basikal klasik dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia
dan Thailand.
Mereka tidak hanya setakat bertemu dan berkumpul tetapi melakukan kayuhan sejauh 15 kilometer bermula dari Bukit Rambai, Klebang dan berakhir Pulau Gadong.
Para peserta bergambar bersama basikal klasik masing-masing pada program Himpunan Basikal Klasik 2022 di Melaka. - Foto kredit Utusan Malaysia.
Pelbagai jenis basikal klasik dapat kita lihat seperti Hercules, Raleigh, Airborne, Norton dan Triumph.
Apa yang
lebih menarik dan menghiburkan dengan melihat gelagat para peserta berkayuh
dengan mengenakan pakaian beranika ragam seperti pakaian posmen, askar, polis, petani,
orang kampung, baju Melayu berserta tajak dan lain-lain.
Peserta-peserta terdiri daripada golongan remaja, wanita serta warga emas sama ada individu atau yang mewakili pelbagai kelab seperti Basikal Klasik Sri Manjung, Klang Classic Bicyle Club, Basikal Klasik Perlis, Basikal Tua GB Teluk Intan, Basikal Tua Kelantan dan lain-lain.
Datuk Akramuddin Abdul Aziz (tengah) bersama para peserta yang menyertai program Himpunan Basikal Klasik 2022 di Klebang, Melaka.
Pengerusi
Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata Himpunan Basikal
Klasik 2022 di Melaka adalah satu program bertepatan dengan misi kerajaan
negeri Melaka bagi menyemarakkan bandar bersejarah kekal relevan sebagai
destinasi pelancong tempatan dan luar negara.
Beliau
turut mengalu-alukan program sedemikian diteruskan dan dimartabatkan sebagai
khazanah negara supaya generasi hari ini tidak lupa bahawa satu masa dahulu basikal
menjadi kenderaan penting negara.
“Kita hanya dapat melihat basikal tua ini ketika meraikan hari kebangsaan setiap 31 Ogos. Selain itu kebanyakan pemilik-pemilik basikal ini terus menyimpan di rumah mereka sahaja,” tambah beliau ketika bertemu dengan pihak media dalam pelancaran majlis tersebut.
Terdahulu, Pengerusi program Roslan Mohd. Salleh, ketika bercakap kepada media berkata “tujuan diadakan perhimpunan seperti ini adalah satu inisiatif bagi memperkenalkan Melaka sebagai produk pelancongan, di samping memperkenalkan bandaraya bersejarah yang pernah dijajah oleh Portugis dan Belanda agar tidak dilupakan sejarahnya.
“Selain itu,
untuk menarik perhatian serta memberi peluang kepada pemilik-pemilik basikal
klasik berkumpul dan mengadakan aktiviti-aktiviti ke arah menjalinkan hubungan
silaturahim baik sesama mereka.
“Lebih
menarik lagi apabila program ini mendapat sokongan dan kerjasama dalam kalangan
peserta sehingga berjaya mengumpul 200 orang termasuk dari luar negara," tambahnya.
Himpunan Basikal Klasik ini sudah pasti mengamit nostalgia serta mengimbau kembali zaman 50-an, 60-an dan 70-an di mana basikal telah menjadi kenderaan penting dan popular ketika itu. – KitaReporters
Rujukan:
https://www.utusan.com.my/nasional/2022/06/200-basikal-klasik-berhimpun-di-melaka/
https://fb.watch/dTSLisenvP/