PERKONGSIAN seorang pengguna Twitter mengenai kejadian malang yang menimpa dirinya apabila pinggan plastik jenama terkenal milik ibunya musnah dek kecuaian dirinya menarik perhatian netizen termasuk selebriti sehingga mendapat lebih 30.8k ulang kicau. : KitaReporters
Menurut pengguna Twitter yang dikenali sebagai Aina Farisya itu, kejadian berlaku ketika dia membakar piza dan menggunakan pinggan plastik jenama terkenal sebagai pelapik.
Keterujaannya untuk menjamah piza buatan sendiri semakin membuak-buak apatah lagi melihat cheese (keju) yang meleleh-leleh daripada piza tersebut.
Namun keterujaannya itu hanyalah sementara apabila baru menyedari objek yang disangka keju itu rupa-rupanya adalah pinggan plastik jenama terkenal milik ibunya.
Daripada perasaan teruja kemudian bertukar menjadi cemas kerana bimbang dimarahi ibunya.
“Weh, aku buat piza lepas tu aku letak atas pinggan pastu pinggan tu cair dalam oven pastu aku ingat tu cheese aku. Gembira sangat. Akhirnya baru aku ingat pinggan. Apa aku nak jawab pada mak aku. Habis pinggan Tupperware dia,” tulisnya.
Pinggan plastik yang cair benar-benar kelihatan seperti keju.
Namun kejadian itu menyebabkan ada segelintir netizen mengecamnya kerana tindakan kurang cerdiknya memasukkan plastik ke dalam oven atau ketuhar pembakar.
“Paling pemalas aku pun pakai penutup periuk yang jenis besi tu nak bakar piza. Ala periuk zaman dulu tu. Tapi takdelah bodoh sangat pakai Tupperware,” ujar seorang netizen.
Dalam masa yang sama, Aina Farisya turut memuat naikpermohonan maaf kepada ibunya.
“Dear mama. I'm really sorry. Saya tahu saya bodoh. Tapi saya tetap cantik dan comel. Saya tahu nanti orang cakap kalau cantik comel tapi bodoh tak guna juga. Takpe chill lah, hahahahaha.
"Mamaku tersayang, benda ni saya takkan bagi tahu sehingga awak yang terperasan sendiri. Maafkan saya,” tulisnya.
Terbaharu, Aina Farisya berkongsi berita gembira apabila kejadian tersebut sudah diketahui ibunya dan sedikitpun dia tidak marah, malah mendapat pujian.
“Hai semua!!! mak aku dah tahu. Dia tak marah pun. Pastu aku tunjuk tweet aku, dia kata saya bangga dengan awak, hahahaha baguslah.
"Tapi komen jangan dibaca kalau tak kuat,” tulisnya.
Sementera itu, cef selebriti Datuk Fazley Yaakob turut meninggalkan komen dan menzahirkan niat untuk belanja dua dulang pembakar piza untuk gadis tersebut.
“Bagi alamat, saya belanja dua piza baking tray. Cakap mak saya bantu ganti ok?” tulisnya.
Datuk Fazley bermurah hati untuk belanja dua dulang pembakar.
Nasib baik ibu dia tak marah.
‘Emak-emak’ dengan Tupperware berpisah tiada. Malah lebih berharga daripada emas.
Bukan sahaja anak, bapak sekali akan kena marah kalau rosakkan atau hilangkan Tupperware kesayangannya. Jadi, jangan main-main dengan Tupperware! - KitaReporters