Selera & Santai 21 Mar, 2023

Sembang-Sembang| Bubur lambuk, nasi ulam! Ais batu, habuk papan! Nostalgia Ramadan masa dulu-dulu!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> normalahamzah251@gmail.com

Share this

Gambar hiasan


Ramadan semakin hampir. Nostalgia juga menggamit.

Alhamdulillah, Ramadan datang lagi.. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih memberi peluang untuk kita semua bertemu bulan penuh barakah ini. 

Kedatangan Ramadan yang mulia ini sememangnya dinanti-nantikan kerana Ramadan adalah bulan yang dijanjikan Allah SWT sebagai sebaik-baik bulan. 

Bulan untuk mengejar pahala, bulan untuk menggugurkan dosa, bulan untuk menggapai sejahtera dan bulan bersedekah jariah.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan berbuka puasa


Terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan. Begitu juga dengan hikmah dan manfaat di dalamnya. Tidak kurang kenangan dan nostalgia

Teringat saya akan suasana menyambut Ramadan di kampung pada masa dahulu.

Dua minggu sebelum Ramadan tiba Ibu-ibu sudah kalut dengan pelbagai persiapan. Tepung, gula, kacang hijau dan kacang tanah mesti sudah siap sedia dalam rumah.

Pendek kata kelengkapan dan barang makanan mesti cukup. Beras  pula perlu dikisar untuk buat kuih muih masa berbuka. Contohnya buat kuih lapis, tepung talam, bingka dan lai-lain.

Ibu ibu dahulu tak main tunjuk-tunjuk, semua buat sendiri.



Kisarnya pula tak boleh laju-laju.. Mesti penuh tertib supaya beras yang dikisar halus dan tidak keluar dari putaran kisar. Jika tidak kuih tidak cantik dan tidak sedap.

Masa dahulu bukan ada jualan macam sekarang. Bazar Ramadan berlambak. Belum dikira restoran dan gerai yang bagai cendawan tumbuh.

Ada duit semua dapat.. tapi tak sama dengan air tangan sendiri.


Anda yang telah berusia pasti ingat akan ais batu ketul habuk papan? 

Ais batu ini menjadi satu kemestian waktu berbuka. Biasanya dijual seketul atau dipotong tiga mengguna gergaji kecil bergantung kepada pelanggan. Harganya sangat murah dalam 25 sen hingga 20 sen mengikut saiz.

Menariknya ais ini perlu di"book" sehari sebelum sebab ais jenis ini sangat terhad dan permintaannya pula sangat tinggi.

Ia sangat menyegarkan untuk dipadankan dengan sirap selasih, sirap cincau, sirap bandung dan air kelapa. Letak dalam cendoi yang dibuat sendiri pun sedap.



Tak cukup dengan itu daun-daun untuk buat nasi ulam juga diambil lebih awal. Dicuci bersih dipotong halus-halus dan disimpan dalam peti sejuk.

Ulam-ulaman daun lamuni, selom, daun kunyit, ulam raja, daun kesom, pucuk mengkudu, bunga kantan, daun kaduk, pucuk gajus, daun limau purut, daun pegaga dan macam-macam lagi daun ulam-ulaman lain turut menjadi pilihan untuk ramuan nasi ulam.

Kalau hendak yang fresh boleh dipotong pada masa hendak digunakan sebelum digaul dengan nasi dan ikan masin. Biasanya ikan talang yang dibakar. Kerisik,bawang merah, serai dirincik. 

Ini antara menu kegemaran orang Kedah pada bulan Ramadan.



Suasana tambah menarik pada sebelah petang bila acara bertukar-tukar menu bermula. Anak-anak akan jadi rider untuk hantar kuih ke rumah jiran dan saudara mara berdekatan. Balik bukan tangan kosong kadangkala lebih daripada sepinggan.

Nikmat berkongsi rezeki pada bulan Ramadhan yang mulia.

Kadang kadang kuih muih lauk pauk tak payah beli… bagi sepinggan dapatnya berpinggan-pinggan. Indahnya Ramadan rezeki hidup berjiran serta berkongsi rezeki.



Tambah selera dengan adanya bubur lambuk kata orang sekarang. Tapi di Kedah kami panggil kanji. Ini juga makanan wajib untuk berbuka.

Tak makan bubur lambuk atau kanji tak sempurnalah berbuka. Hendak dapatnya juga perlu beratur. Biasanya di masjid ataul surau.

Penduduk atau AJK surau akan bergotong royong mengacau. Sumbangan beras dan perancahnya sumbangan daripada orang ramai atau anak kariah.



Paling menarik waktu berbuka. Kalau adik beradik ramai maka bergotong royong pula menyiapkan hidangan. Hidangan pula diletakkan atas suratkhabar yang dibentang di lantai.

Bersusun hidangan lauk pauk kuih muih dan gelas minuman mengikut jumlah keluarga. Meriah waktu berbuka sambil berebut-rebut makanan…semua nak ambil, semua nak makan.

Menyertai solat tarawih juga satu kenangan… Meriah makanan dengan jamuan moreh. Riuh rendah budak budak bermain sambil menjerit.



Jika hendak dikira Banyak lagi kenangan berkaitan Ramadan. Apapun yang utama jangan lupa.

Antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadan juga ialah Allah menurunkan kitab suci al-Quran yang menjadi panduan dan petunjuk bagi manusia. Oleh itu sepanjang bulan mulia ini sebagai hamba-Nya, kita disuruh bersahabat dengan al-Quran. 

Sama seperti orang lain, saya juga mengharapkan agar Ramadan kali ini saya berpeluang menambah ibadat kerana pada bulan ini Allah SWT menjanjikan habuan bukan kepalang banyaknya buat umatnya yang taat mengikuti perintah. 

Ingat! Setiap amalan yang kita lakukan pada bulan-bulan lain dan diteruskan pada bulan Ramadan akan meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda. 

Semoga Ramadan kali ini kita tidak terus terleka dan merebut peluang yang ada untuk bersyukur, bertaubat dan menambahkan lagi ibadat buat bekalan di hari akan datang ketika kita rijemput kembali bertemu dengan-Nya. 

Hidup ini hanya sementara, sampai masanya kita akan dipanggil pulang. Tidak sesaat pun terlewat atau terawal. Tetapi tepat pada masanya.

Selamat berpuasa Dan beribadah. Jumpa lagi di catatan akan datang. - KitaReporters


15
10
0
9
0
You will be interested