Selera & Santai 14 May, 2025

Video| Hobi main burung! Pelaburan menguntungkan! Dapat pendapatan lima angka! Jika suara merdu!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

.


Padang Semarak di Taman Wetland, Putrajaya menjadi lokasi tetap pertandingan suara burung merbuk.


"SEMASA kecil, dalam usia sembilan atau 10 tahun, saya selalu mengikut ayah ke pelbagai program berkaitan burung merbuk, lama kelamaan saya jatuh cinta sehingga menjadi seorang peminat tegar spesies unggas hutan itu.

"Dari beberapa ekor dan sekadar hobi, kini saya memiliki lebih 50 burung merbuk di rumah selain yang diternak bersama rakan di Thailand," kata juara Pertandingan Suara Burung Merbuk siri 4 2025 di Padang Semarak, Taman Wetland, Presint 13, Putrajaya, Peter Liew.

Beliau yang menetap di Subang Jaya, Selangor menggondol juara berganda bagi burung merbuk kategori Remaja dan BBB (burung muda).


Peter Liew (kiri) menerima piala dari Mohamad Ridzwan selepas burung Merbuk peliharaannya muncul juara kategori Remaja.


Suasana pertandingan burung merbuk yang beradu suara di Padang Semarak, Taman Wetland, Presint 13, Putrajaya.


"Saya menjadi peminat tegar burung merbuk sejak 30 tahun lalu, burung ini memang istimewa kerana memiliki suara merdu  berbanding spesies unggas lain. Daripada hobi, aktiviti ini berbaloi kerana pelaburan kecil boleh memberi keuntungan yang besar. 

"Kadangkala apabila berehat di rumah, kita akan terhibur mendengar suara burung itu yang mendayu-dayu, tak payah dengan bunyi lain, hati rasa tenang, hilang rasa segala stres masa itu.

"Burung ini selain memiliki suara yang merdu, ia juga ada nilai komersial kerana saya boleh menjual anak dan burung dewasa, di antara RM13,000 hingga RM18,000. Paling murah pun anak burung berusia dua bulan berharga RM5,000 tapi jika pernah menjadi juara dalam pertandingan, harganya pasti mahal," katanya. 


Seorang juri mendengar dengan tekun bunyi suara Merbuk bagi memilih suara yang sedap.


Katanya, untuk memastikan merbuk yang dipelihara mengeluarkan suara yang baik, latihan amat penting, sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Ini bagi memastikan burung itu tidak kekok apabila masuk pertandingan.

"Penjagaan tidak terlalu mahal jika kita tahu caranya. Saya akan memandikan burung merbuk sebulan sekali manakala makanannya dipastikan cukup termasuk vitamin menggunakan resipi sendiri untuk memastikan kesihatannya dan mengelak penyakit.


Burung merbuk diletakkan di dalam sangkar yang cantik sebagai memberi penghormatan kepada unggas istimewa itu.  


"Bagi burung merbuk kategori C, dalam usia dua bulan sudah boleh masuk pertandingan. Tapi, burung kategori A dan B mungkin mengambil masa, di antara setahun atau dua tahun. Yang penting kita rajin melatih supaya suaranya sedap," katanya.  

Peter pernah menyertai pertandingan peringkat antarabangsa di Narathiwat, Selatan Thailand dan memenangi tempat kesembilan dan menerima hadiah daripada Puteri Maha Chakri Sirindhorn. 

Pertandingan burung merbuk di Narathiwat, Thailand adalah acara tahunan yang dinantikan oleh peminat burung dari Thailand, Malaysia, dan Singapura. Ia menarik ribuan peserta serta pengunjung setiap tahun. 


Burung merbuk mahukan cuaca yang panas terik untuk menjadikan haiwan itu aktif mengeluarkan suara.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Suara Burung Merbuk dan Terkukur Malaysia , Mohamad Ridzwan Mohd Ali berkata sebanyak 150  burung merbuk mengambil bahagian bagi kategori Burung A (kasar), Burung B (semi kasar), Burung C (nyaring), Burung Remaja dan Burung BBB (muda). 

Beliau berkata, peserta terdiri daripada peminat burung merbuk sekitar Kuala Lumpur dan Selangor selain dari Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.

"Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan jumlah penyertaan, cuma kali ini cuaca agak redup dan ini membuatkan burung merbuk tidak aktif berbunyi.

"Jika cuaca panas terik, merbuk lebih galak mengeluarkan bunyi dan itu memang tabiat semula jadi burung itu," katanya.  


Mohamad Ridzwan Mohd Ali


Ditanya mengenai Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) , katanya PSSBMTM berharap dapat mengadakan pertandingan pada peringkat negara-negara ASEAN bagi mempromosi TMM 2026 dan menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia tapi ia bergantung sama ada mendapat tajaan.

"Persatuan akan berbincang dengan Perbadanan Putrajaya, jika ada peruntukan insya-Allah kami akan mengadakan pertandingan seni suara burung Merbuk untuk peringkat antarbangsa. 

"Jika ada tajaan, persatuan juga boleh mengadakan cabutan bertuah dengan menawarkan hadiah lebih lumayan, sekali gus menarik jumlah penyertaan yang ramai," katanya. 


Peminat burung merbuk sanggup duduk di tengah panas semata-mata mahu melihat suasana pertandingan dan mendengar suara merdu unggas peliharaan mereka.


Dalam perkembangan yang sama, pemenang Pertandingan Seni Suara Burung Merbuk dan Terkukur Putrajaya Siri 4 2025 bagi kategori  A (suara kasar) diungguli Jensen Chew dari Shah Alam, Kategori B (suara seni kasar) dimenangi Albert Yong dari Damansara, Selangor, manakala Weng Yeah dari Klang muncul juara bagi merbuk kategori C (suara nyaring). - KitaReporters 


Bagi memastikan burung Merbuk peliharaan menghasilkan suara yang baik, latihan amat penting, sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

11
7
0
9
0
You will be interested