
Tajuddin Idris (tengah) bersama Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pendidikan dan Koleksi Hidup, Bahagian Botani, Jabatan Landskap dan Taman PPJ, LAr Nur Nisha Mohd Idrus (kiri) dan Penolong Pengarah Seksyen Flora dan Fauna, Bahagian Botani PPj, Fatin Nabilah Huda Ismail.
KELULUT Putrajaya ialah projek penternakan lebah kelulut (stingless bee) yang dijalankan oleh komuniti setempat dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) di beberapa lokasi sekitar pusat pentadbiran negara itu.
Ia bagi mempromosikan pertanian bandar, meningkatkan ekonomi tempatan dan menghasilkan produk madu kelulut berkualiti tinggi.
Sejak tahun 2015, PPj melaksanakan Program Pertanian Bandar Wilayah Persekutuan yang membabitkan penternakan kelulut. Program ini termasuk kursus latihan, pemindahan teknologi, dan pemantauan berterusan untuk memastikan amalan terbaik dalam penghasilan madu kelulut.
Ia sejajar dengan kedudukan dan potensi besar madu kelulut sebagai produk kesihatan yang menerima banyak permintaan dari dalam dan luar negara selain mampu dikomersialkan secara meluas.

Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak (kanan) menunjukkan salah satu sarang kelulut yang ditemui di Hutan Rimba Alam.
Bagi memastikan prospek kelulut terus berkembang, Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakukan ekspedisi selama dua hari di Taman Rimba Alam yang juga dikenali "Khazanah Alam Putrajaya" kerana ia adalah taman awam utama daripada 12 taman di Putrajaya.
Pengarah Bahagian Botani Jabatan Landskap dan Taman PPj, Mohd Tajuddin Idris, berkata Ekspedisi Kelulut Bandar Putrajaya 2025. yang diketuai Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut UMT, Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak bertujuan memperkasa usaha menternak kelulut melalui komuniti Putrajaya.
"Alhamdulillah ramai peserta dari komuniti Putrajaya mengambil bahagian dan ia adalah komitmen Perbadanan Putrajaya ke arah pembangunan bandar yang lebih lestari, berdaya saing dan mesra biodiversiti.

Madu kelulut mempunyai banyak khasiat dan boleh dikomersialkan untuk pasaran tempatan dan luar negara.
"Ada empat projek penternakan kelulut membabitkan komuniti di Putrajaya iaitu Laman Kelulut Taman Botani Presint 1, Kebun Kelulut Presint 15H, Kebun Kelulut Rimba Desa Presint 9 dan Kebun Kelulut Presint 16.
"Lokasi-lokasi ini bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengeluaran madu kelulut, tetapi destinasi pelancongan dan pusat pendidikan mengenai pertanian bandar dan biodiversiti," katanya selepas merasmikan Ekspedisi Kelulut Bandar Putrajaya 2025.
Ekspedisi selama dua hari di Taman Rimba Alam, Putrajaya itu disertai peserta terdiri dari komuniti tempatan, kumpulan penyelidik UMT dan Bahagian Botani, Jabatan Landskap dan Taman PPj.

Madu kelulut boleh dipelbagaikan untuk menghasilkan pelbagai produk hiliran.
Beliau berkata, ekspedisi dua hari itu bertujuan merekod taburan spesies kelulut di hutan sekitar Putrajaya, mengumpul penternak kelulut dan platform perkongsian maklumat, melatih penternak kelulut khususnya di Putrajaya untuk lebih mahir dan berdaya saing, menjaga penghasilan makanan melalui penghasilan madu kelulut yang berkualiti dan meningkatkan imej dan produk pelancongan di bandar bestari itu.
"Melalui program seumpama ini, semangat kerjasama dapat dipupuk bagi menyatukan komuniti melalui khidmat sokongan pakar dalam aspek penternakan kelulut bagi memastikan Putrajaya terus lestari," kata Tajuddin.

Peserta komuniti Putrajaya menunjukkan bagaimana madu kelulut boleh diadun untuk menghasilkan produk seperti sabun dan produk kosmetik.
Mohd Tajuddin berkata, PPj turut membangunkan Laman Kelulut, satu-satunya pusat yang menempatkan pameran kelulut berkonsep beescape di Taman Botani dengan lebih 100 rumah kelulut.
"Ia bukan hanya berfungsi sebagai pusat pengeluaran, tetapi destinasi pelancongan dan pendidikan. Pengunjung, boleh mempelajari ekosistem kelulut, amalan pertanian lestari, dan proses pengeluaran madu. Ia sekali gus menyokong inisiatif Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Prof Dr Shamsul Bahri dan Mohd Tajuddin bergambar kenangan bersama sebahagian peserta Ekspedisi Kelulut Bandar Putrajaya 2025.
"Madu kelulut semakin mendapat perhatian sebagai komoditi bernilai tinggi kerana khasiatnya yang unik. Selain sebagai makanan, madu kelulut juga berpotensi untuk dieksport sebagai produk premium, termasuk dalam bentuk kosmetik dan suplemen kesihatan," katanya.
Layari laman web www.ppj.gov.my jika anda mahu maklumat lebih lanjut mengenai lokasi, program, atau peluang pelaburan dalam industri kelulut di Putrajaya.

Ekspedisi Kelulut Bandar Putrajaya 2025 selama dua hari di Taman Rimba Alam, Putrajaya disertai komuniti tempatan, kumpulan penyelidik UMT dan staf Bahagian Botani, Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya.