Selera & Santai 19 Sep, 2025

Jom telusuri Sungai Juru! Penang River Cruise diperkenal! Lihat keindahan alam dan kampung nelayan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

SELAMA ini banyak produk pelancongan di Pulau Pinang tertumpu di bahagian pulau. Antaranya Kereta Api Bukit Bendera, Taman Rama-Rama, Tokong Ular, Akuarium Tunku Abdul Rahman di Batu Maung dan Taman Burung.


'Penang River Cruise' menampilkan pelayaran santai merentasi Sungai Juru dengan keindahan flora dan fauna di persekitaran.


Kini di tanah besar Seberang Perai ada tarikan pelancongan baharu. Bukan di atas daratan tetapi di atas sungai! Produk pelancongan tersebut dikenali sebagai ‘Penang River Cruise’ atau Penelusuran Sungai Pulau Pinang.

Dengan konsep pelancongan air, ia begitu unik, menampilkan kelainan daripada yang lain. Ia memberi peluang kepada pelancong tempatan dan luar negara menikmati keindahan alam semula jadi dengan menaiki bot menyusuri Sungai Juru, Bukit Mertajam.

Diperkenal sejak tiga bulan lalu, pelayaran menaiki bot tersebut menjanjikan keseronokan menaiki bot menelusuri Sungai Juru dalam suasana santai dan nyaman sambil menikmati pemandangan di sekitar.

Sepanjang aktiviti menelusuri sungai itu, pelancong menikmati keheningan dan keindahan semula jadi Sungai Juru seperti paya bakau, ladang akuakultur kerang, perkampungan nelayan tradisional serta pemandangan Bukit Juru.

Mereka juga dapat menyaksikan pemandangan menarik flora dan fauna, di samping persekitaran menghijau dengan lambaian pokok kayu dan nipah di sepanjang pelayaran sepanjang lebih kurang 12 kilometer, mengambil masa dua jam.


Perkampungan nelayan memagari Sungai Juru antara pemandangan menarik menaiki 'Penang River Cruise'.


Penelusuran atau pelayaran ini juga membolehkan pelancong menikmati dan menghayati khazanah serta warisan budaya Seberang Perai yang dipamer di sepanjang pelayaran. 

Ini termasuk melihat sendiri perkampungan nelayan yang memagari tebing sungai serta menyaksikan aktiviti harian mereka. Dari kejauhan pula kelihatan Jambatan Pulau Pinang. 

Hasrat kerajaan negeri bukan sahaja untuk menambah tarikan pelancongan tetapi menampilkan Seberang Perai khususnya sebagai lokasi pelancongan pilihan ramai serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi. 

Ternyata matlamat ini mula membuahkan hasil memberangsangkan. Walaupun baharu diperkenal, ‘Penang River Cruise’ mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong. Ini termasuk pelancong dari China, Hong Kong dan Amerika.

Secara tidak langsung, cruise ini menampilkan Sungai Juru sebagai simbol keharmonian alam semula jadi dengan budaya tempatan. Gandingan alam dan kebudayaan menjadikan cruise (pelayaran) tersebut bukan sekadar bersantai tetapi juga menerap elemen mendidik dan menghibur kepada pelancong.


Seronoknya! Penelusuran 'Penang River Cruise' dalam suasana santai menyusuri Sungai Juru dengan keindahan pokok kayu dan pokok nipah menghijau di tebing sungai.


Jarang pelancong dalam dan luar negara berpeluang menyaksikan flora dan fauna serta haiwan tertentu yang belum pernah dilihat sebelumnya. 

Antaranya monyet daun perak, tupai gergasi hitam, spesies burung, biawak dan ular air yang jarang ditemui. Pendek kata seperti ‘zoo laut’ pula Sungai Juru ini!

Lebih menyeronokkan, pelancong bukan sekadar dibawa menyelusuri sungai, tetapi meereka juga diberi peluang menimba pengalaman menyertai aktiviti seperti menangkap ketam, menjala ikan dan menyauk kerang.

Ini adalah atara aktiviti yang biasa dilakukan oleh nelayan negara ini. Apabila pelancong luar khususnya diberi peluang melakukan aktiviti sama, ia mendedahkan mereka kepada aktiviti nelayan dan merasai sendiri bagaimana nelayan mencari rezeki. 

Penang River Cruise’ juga menyajikan pemandangan indah matahari terbenam dan ‘cermin langit’. Memang sangat mempesona menyaksikan matahari kekuningan berangkat untuk beradu, menandakan siang berlalu, malam menjelang.

‘Cermin langit’ terbentuk apabila permukaan air membias pelbagai imej, antaranya rumah air, bot nalayan, dan kehijauan tebing sungai. Paduan elemen ini melakar suasana seperti sebuah lukisan yang sungguh indah.


Walaupun baharu diperkenal tiga bulan lalu, 'Penang River Cruise' mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong dalam dan luar negara.


Sasaran ‘Penang River Cruise’ ialah menjadikan Sungai Juru dan Bukit Juru sebagai destinasi ekopelancongan serantau. Kehadirannya bagi menyeimbangi kawasan Juru yang sarat dengan pembangunan bandar seperti perindustrian, komersial dan perumahan.

Pada masa sama, ia diharap turut menaik taraf hidup nelayan serta penduduk keseluruhannya melalui aktiviti yang ada hubung kait dengan pelancongan air. 

Jika ingin lari daripada kesibukan kota dan ingin merasai kedamaian menyusuri sungai, ‘Penang River Cruise’ adalah pilihan sesuai. 

Datanglah nikmati pelbagai keindahan dan keseronokan menyusuri sungai sambil menikmati laut terbentang luas di hilir Sungai Juru. - KitaReporters

 

 

 

12
11
0
11
0
You will be interested