Selera & Santai 26 Jul, 2025

Lapar? Nak nikmati masakan kampung enak gaya Perak! Jom kita ke Lesong Hud by TokPah! Pasti sedap!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

Restoran 'Lesong Hud by TokPah' di Jalan Kamaruddin Isa, Fair Park, Ipoh, menyediakan pelbagai masakan kampung gaya Perak yang menyelerakan. Ia terletak bersebelahan Hotel Fair Park. - Kredit foto: Oh My Perak.


INGIN menikmati masakan kampung sejati di Bandar Raya Ipoh, Perak. Tidak perlu berpusing ke sana ke sini mencari-cari. Restoran ‘Lesong Hud by TokPah’ sedia menanti, menyediakan pelbagai menu makanan berteraskan masakan kampung untuk memenuhi cita rasa pengunjung.

Menu kampung gaya Perak pasti menyelerakan. Restoran ini baru dibuka awal Julai 2025. Namun merasai keenakan menu disediakan, serta sambutan hangat pengunjung, bagaikan restoran Lesong Hud by TokPah sudah lama bertakhta di hati pengunjung.


Cef berpengalaman memastikan masakan kampung memenuhi cita rasa setiap pengunjung. 


Sebut sahaja masakan kampung yang digemari, kebanyakannya ada dalam senarai menu restoran. Misalnya untuk peminat gulai tempoyak, tentu ingin mencuba ‘Gulai Tempoyak Ikan Patin Lior (Liar’) Sungai Perak.

Ikan patinnya segar, isinya lembut. Masakan pekat, sedikit rasa masam. Kalau dapat memang bertambah nasi, ratah ikan sampai kepala!

Selain itu, satu lagi menu istimewa ialah ‘Ayam Bakar Percik Abah Hud’. Kuah percik bersantannya memang enak, sehingga menjilat jari. Pendek kata seperti sebuah iklan ayam goreng segera popular.


Enaknya! Gulai tempoyak, masak lemak daging salai, kerabu, ayam percik dan sayuran serta ulam, sambal belacan dan sambal tempoyak melengkapi menu serba enak di Lesong Hud by TokPah.


Bagi para penggemar daging, pastikan anda mencuba ‘Lemak Cili Api Daging Panggang Kampung’. Dagingnya lembut, tidak liat tidak keras, mudah dikunyah. Kuah lemaknya yang pekat, dengan rasa sedikit pedas, sangat menyelerakan.

Untuk sayur, terdapat sayur bernama ‘Sayur 4Frenz Tumis Belacan’. Sayur ini mengandungi kombinasi petai, bendi, terung dan kacang kelisa. 

Pendek kata ulam petai dan tiga jenis sayuran ini disatukan dalam tumis belacan. Tidak perlu ambil asing-asing.


Sayur '4Frenz Tumis Belacan'  kombinasi petai, terung, bendi dan kacang kelisa pilihan pengunjung.


Gulai tempoyak dan 'Kerabu Pucuk Paku Laman Desa' dua menu utama Lesong Hud by TokPah.


Jangan lupa kerabu! Restoran Lesong Hud by Tok Pah menyediakan ‘Kerabu Pucuk Paku Laman Desa’ yang rangup, masam dan pedas. 

Mengiringi ulam-ulalam kampung pula ialah sambal tempoyak dan sambal belacan. Cicah ulaman dalam sambal, enaknya tidak terkata.

Untuk minuman, juga terdapat banyak menu menarik disediakan. Antaranya ‘Air Pandan Lembayung’, ‘Awan Dingin’, dan ‘Mat Jenin’. 

Menarik kan namanya? Untuk tahu rasanya kena cuba sendiri.


Deretan minuman termasuk sirap selasih, asam boi dan orange di Lesong Hud by TokPah.


Bagi yang minat set makanan, apa kata pilih sahaja set disediakan. 

Set ini mengandungi nasi putih, sambal belacan, ulaman dan keropok. Lauk setnya pula ada set bawal goreng panas atau daging masak hitam berempah. Boleh sahaja tambah lauk secara ‘add on’.


Set makanan ikan bawal goreng juga antara menu pilihan ramai pengunjung.


Jangan terlepas menikmati 'Cucur Udang Signature Hud' apabila berkunjung ke Lesong Hud by TokPah.


Satu lagi menu istimewa di Lesong Hud by TokPah ialah ‘Signature Cucur Udang Hud’. Jangan lupa mencuba. Saiz cucur berbaloi, udangnya banyak. Memang puas hati makan.

Bagi penduduk Ipoh, atau dari luar ibu negeri Perak itu yang ingin merasai masakan kampung Perak, jangan bertangguh. Luangkan masa menikmati sajian di ‘Lesong Hud by TokPah’ di 85 Jalan Kamaruddin Isa, Ipoh, Perak.


'Roti Goyang' antara sajian minuman pagi pilihan ramai di Lesong Hud by TokPah.


Kedudukannya bersebelahan Hotel Fair Park. Boleh guna parkir Hotel Fair Park yang luas. Tak perlu pening kepala berpusing-pusing mencari parkir. 

Perniagaan bermula seawal pukul 7 pagi sehingga pukul 7 petang. Kerana itu ia juga menyediakan pelbagai makanan untuk sarapan pagi, termasuk menu popular ‘roti goyang’. - KitaReporters  


Pengunjung menikmati keenakan makanan yang  disajikan di Lesong Hud by TokPah, Ipoh, Perak.

 

 

 

13
7
0
11
0
You will be interested