Tidak semua orang suka makan makanan eksotik terutama orang Melayu. Ini kerana kebanyakan makanan eksotik tidak halal. Antara makanan eksotik yang halal ialah landak, arnab, belangkas, pelanduk, belut, dhab dan lain-lain.
Hidangan eksotik menjadi pilihan sesetengah orang kerana ia digembar-gemburkan dengan khasiatnya yang tersendiri. Antaranya ialah berupaya mencegah dan merawat penyakit, melancarkan peredaran darah, menambah tenaga dan mengekalkan awet muda.
Ada satu lagi haiwan eksotik yang sering dimakan
iaitu tupai. Bagi masyarakat Melayu khususnya, haiwan seperti tupai merupakan
makhluk perosak yang suka merosakkan tanaman dan memakan buah-buahan. Namun,
jarang sekali melihat orang Melayu menjadikan tupai sebagai hidangan.
Seorang individu telah berkongsi satu video dalam TikTok menunjukkan mereka sedang menikmati juadah tupai goreng berempah. Video tersebut mengundang pelbagai persoalan daripada netizen. Sebenarnya masih ramai yang keliru tentang hukum memakan tupai.
Ada yang kata halal dan yang kata sebaliknya.
“Betul ke halal?,” tanya salah seorang netizen.
Ia berlaku kerana pelbagai pendapat mengenai hukum memakan tupai dalam media sosial. Ada yang kata halal dan sebaliknya. Jadi, ramai yang terkeliru.
Justeru, di sini penulis berkongsi pendapat daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum memakan tupai yang telah dikeluarkan pada tahun 2020 lalu.
Menurut mereka, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum memakan tupai. Dalam hal ini Imam al-Nawawi telah menyatakan bahawa:
Maksudnya : “Adapun musang buah, tupai, fanal, qaqum dan hawasil (hukum memakan haiwan-haiwan tersebut), ada dua pendapat. Pendapat yang sahih sebagaimana yang telah dinaskan hukumnya adalah halal. Manakala pendapat yang kedua mengatakan hukumnya adalah haram.”
Selain itu, Ibnu Qudamah pula telah menukilkan
pendapat daripada al-Qadi bahawa haram memakan tupai kerana ia menggigit dengan
taringnya. Maka, ia menyerupai juraz (sejenis tikus besar). Ada kemungkinan
juga hukum memakannya adalah harus kerana ia menyerupai yarbu’ (tikus gurun).
Apabila ada ketidakpastian (ragu-ragu) antara dua
hukum yang mengharuskan atau mengharamkan, maka yang didahulukan adalah harus
kerana ia adalah hukum yang asal dan keumuman pada nas mengkehendakinya.
Syeikh Zakaria al-Ansari mengatakan bahawa tupai adalah daripada jenis-jenis musang. Dan musang termasuk dalam haiwan yang bertaring tetapi taringnya lemah dan tidak digunakan untuk memangsa. Oleh sebab itu, ia halal dimakan.
Syeikh Daud al-Fatani juga telah memasukkan tupai (sinjab) sebagai antara binatang darat yang halal dimakan.
Bagaimanapun, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah menyenaraikan haiwan tupai ini termasuk dalam kategori haiwan yang haram dimakan.
Hidangan tupai goreng.
Jadi, kesimpulannya mereka cenderung kepada pendapat
yang mengharamkan memakan daging tupai yang merupakan salah satu pendapat dalam
mazhab Syafie dan ini merupakan pendapat yang lebih selamat (ahwat).
Sebagaimana yang telah diketahui, spesies tupai
merupakan hidupan yang semakin pupus. Justeru, menjadi tanggungjawab bersama
dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang (supaya dapat
melihat dan mengenalinya).
Oleh itu, bertepatan dengan kaedah Saddu al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.
Tambahan lagi, tupai merupakan hidupan liar yang dipelihara sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta 716.
Pemerintah (kerajaan) berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting. Justeru, menjadi tanggungjawab rakyat untuk taat dan menyokong ulil amri (pemerintah) dalam hal-hal yang makruf (baik). - KitaReporters