Selera & Santai 29 Sep, 2023

Top Viral Food Festival: 20 makanan, minuman yang tular! Di Sunway Putra Mall, 29 Sept - 1 Okt 2023!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Setelah selesai acara Nasi Kandaq Fest yang berjaya mengumpulkan lebih kurang 20,000 peminat tegar nasi kandar, sekarang kaki-kaki makan semua boleh menikmati satu lagi acara FriedChillies dan Sunway Putra Mall bertema ‘makanan viral’. 

Top Viral Food Festival (Festival Makanan Viral Terbaik) akan berlangsung selama 3 hari bermula dari 29 September 2023 hingga 1 Oktober 2023. 

Berbeza dari Nasi Kandaq Fest di mana hanya nasi kandar dan lauk-pauknya diraikan, acara kali ini akan menggabungkan pelbagai makanan viral dalam media sosial dari brisket yang lembut, donut-pizza yang mengiurkan sehinggalah minuman segar yang menyejukkan.

“Sejak kebelakangan ini, memang tak boleh dinafikan yang pelbagai makanan yang inovatif telah dihasilkan dan dijual melalui platform media sosial. 

"Efek langsung daripada pandemik dan sekatan keluar rumah telah memberi manusia dari pelbagai lapisan masyarakat masa untuk berkarya dan juga mencari rezeki alternatif demi menampung kelangsungan hidup,” kata Adly Rizal, Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies. 




“Objektif acara ini diadakan adalah, selain menyediakan produk acara yang berkualiti untuk rakyat Malaysia terutamanya golongan ‘foodies’, kami juga ingin menyokong perniagaan makanan hero-hero tempatan yang amat bersemangat ini. 

"Kami jangka pengunjung acara ini bukan sahaja dari golongan muda yang dahagakan content yang trendy, malah juga golongan yang berkeluarga kerana selain daripada makanan yang hebat-hebat kami juga ada merancang aktiviti-aktiviti yang pasti akan menghiburkan semua.”

Pada hari-hari acara, akan ada buskers dan juga pertandingan makan Man Vs. Food. Satu Pertandingan Cosplay Pose juga akan berlangsung dan lebih kurang 500-1000 peminat cosplay dijangka akan datang untuk bertanding dan menonton. 

Panel juri pertandingan ini terdiri daripada cosplayer-cosplayer lejen seperti Azamcos (The Ultimate Cosplayer), Din (LoL Cosplay) dan Adam John.  

Vendor-vendor yang akan berada di Top Viral Food Festival ini terdiri daripada pengusaha F&B yang sedang hangat dalam media sosial dan diminati penggemar makanan dan mereka yang selalu memantau trend terkini. 

Bayangkan kesemua 20 vendor viral di bawah satu bumbung, pengunjung hanya perlu datang ke satu tempat sahaja dan menikmati semua juadah yang tersedia dengan cara santai. 

Antara nama-nama yang pasti orang akan kenali adalah Beard Brothers BBQ, TanjakCrew, Suka Dessert dan Donut Viral Opah yang seringkali jadi sebutan ramai sejak tahun 2021. 



“Kami sungguh teruja atas sambutan Nasi Kandaq Fest minggu lepas. Memang acara makanan seperti ini sesuatu yang menyatukan semua penduduk Malaysia tak kira bangsa atau agama, tua atau muda,” ujar Tan Ai Vee, Ketua Pemasaran, Sunway Putra Mall. 

“Kami harap acara-acara seperti ini akan terus bertempat di Sunway Putra Mall di mana tak kira panas atau hujan, semua orang boleh menikmatinya dengan selesa di mall kami. 

"Ini memang selari dengan visi kami yang mall bukan sahaja untuk membeli-belah tapi juga tempat di mana komuniti boleh berkumpul untuk bersosial dan mengeratkan silaturahim,” dia tersenyum.

FriedChillies adalah jenama di sebalik tabir acara-acara makan meletup seperti I Eat Nasi Lemak dan Ayam Lejen dan mereka selalu mencari lokasi yang menarik untuk dijadikan tapak acara. 

Tapak Ayam Lejen adalah stesen LRT Ara Damansara (pada tahun kedua acara tersebut, walaupun dilanda hujan ribut, peminat ayam goreng tetap datang untuk menjamu selera di lokasi stesen). 

I Eat Burgers pula menyajikan acara 12 jam penuh kegilaan burger, di mana 20 tokoh terdiri daripada gerai Ramli Burger ke kedai burger gourmet tak putus-putus menghidangkan burger-burger juicy kepada para fanatik burger.



“Sunway Putra Mall memang sesuai dengan kami kerana mereka betul-betul sayangkan ruang mereka dan lokasi ini cukup dengan berbagai stesen perkhidmatan awam yang berhampiran dan juga mudah untuk servis e-hailing. 

"Suasana sewaktu acara nasi kandaq sangat meriah kerana kita boleh rasa ‘vibe’ ibu kota sambil menikmati juadah yang sedap-sedap. 

"Kami harapkan suasana yang sama untuk Top Viral Food Fest minggu ini jadi marilah kita beramai-ramai mengunjunginya,” tambah Adly. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
11
0
11
0
You will be interested