Program lawatan khusus membabitkan warga emas bukan sahaja memberi peluang untuk meningkatkan kesihatan secara fizikal malah menyediakan satu platform bagi mereka kekal aktif secara sosial dan mental.

Ahli-ahli wanita Koperasi Ex-Rail Bhd merakam memori di Cameron Highlands.
Keseimbangan
antara aktiviti fizikal, mental dan sosial itu merupakan juga kunci kepada
kesejahteraan yang menyeluruh malah boleh dianggap antara penyelesaian unik
memenuhi keperluan kesihatan warga emas dengan lebih holistik.
Namun
semakin meningkat usia bermacam cabaran mengenai kesihatan fizikal, mental
serta sosial mula menghantui kehidupan dalam kalangan warga emas dan menjadi
tanggungjawab bersama anak, saudara mara atau kawan-kawan supaya mereka tidak
kemurungan.
Sebagai mengelak masalah hal sebegini membelenggu ahli yang rata-rata warga emas, Koperasi Ex-Rail Bhd mengorak langkah buat kali pertama menganjurkan trip dengan membawa 44 ahli mereka untuk bersantai sambil berlibur ke Cameron Highlands, Pahang selama dua hari bermula 1 Oktober 2025.

Ahli koperasi menenangkan fikiran dengan menghirup pelbagai jenis minuman daripada daun teh.
Ketua
Pegawai Operasi koperasi berkenaan, Abdul Rahim Osman, berkata selain bersantai
dan berlibur, ahli yang rata -rata kategori warga emas juga dapat mengeratkan
ukhuwah antara satu sama lain ibarat sebuah keluarga walaupun jarang berjumpa.
Menurutnya,
walaupun mereka itu sebahagian besar ahli Persatuan Bekas Kakitangan Keretapi
Tanah Melayu (PBKKTM), lawatan berkenaan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk
melapangkan fikiran dan minda warga emas di samping sentiasa menjaga kesihatan.
Tambahnya,
sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR), nasib
ahli koperasi juga diberi perhatian kerana mereka juga merupakan tenaga penting
untuk menyuarakan pandangan serta menyumbangkan tenaga membela nasib bekas
kakitangan KTM.
“Apabila menyertai lawatan ini mereka boleh berehat dan berlapang dada seketika dengan melihat keindahan alam di samping memikirkan sesuatu untuk membantu memajukan lagi koperasi khusus dalam perniagaan,” ujarnya.

Memilih petai yang dijual di Pasar Pagi Orang Asli Ringlet.
Antara tempat
menarik dilawati termasuklah Blue Valley Tea Kuala Terlah, Kea Farm Berincang,
Bharat Tea Tanah Rata dan Pasar Pagi Orang Asli Ringlet.
Sementara
itu, Koordinator rombongan lawatan berkenaan, Abdul Razak Mohd Yusoff, memaklumkan
trip itu juga sebagai titik permulaan bagi koperasi melihat sejauh mana
pembabitan ahli untuk melancong ke lokasi yang boleh membantu dari segi
kecerdasan kesihatan.
Menurut
beliau, daripada maklumat yang diceritakan oleh ahli-ahli keluarga terbabit khususnya
anak yang tinggal bersama memberi galakkan kepada ibu bapa mereka mengikuti
lawatan berkenaan supaya berpeluang membuka minda dan menghirup udara segar di
pergunungan.
Tambahnya, saranan anak itu memberi gambaran bahawa mereka mengambil berat mengenai kesihatan ibu bapa supaya mengambil peluang mengikuti kawan-kawan untuk beriadah, bersantai dan berlibur mencari ketenangan daripada terperap di rumah sahaja.
Ahli-ahli Koperasi Ex-Rail Bhd tidak melepaskan peluang merakamkan kenangan di kebun teh.
Jelasnya, selain itu, lawatan berkenaan secara tidak langsung memberi idea kepada ahli
untuk berfikir mengenai projek pelancongan dan sosial dengan kos berpatutan
yang boleh dilaksanakan dalam menjana pendapatan koperasi amnya.
“Ia juga
sebagai mempelbagaikan aktiviti koperasi yang baharu tiga tahun ditubuhkan
untuk mencari sumber kewangan bagi dimanfaatkan pula membantu ahli atau bekas
kakitangan KTM yang dikategori miskin atau asnaf,” ujarnya.
Bagi seorang
ahli, Zainab Hashim, berkata trip yang dianjurkan koperasi itu amat bermanfaat
kepada mereka terutama dalam kalangan warga emas untuk keluar bersantai dan
berlibur bagi menghilangkan rasa stres dalam usia lanjut.
“Walaupun anak ada membawa keluar untuk berehat di tempat menarik namun ia lebih seronok dapat bersama-sama rakan yang sudah lama dikenali kerana membuka peluang bertanya khabar disamping merapatkan persahabatan dan ukhuwah,” katanya. - KitaReporters

Ahli-ahli Koperasi Ex-Rail Bhd merakam kenangan dalam program lawatan ke Cameron Highland, Pahang.