Selera & Santai 06 Feb, 2023

Video| Demi masa depan! Haziq buka bisnes shellout! Kini ada dua cawangan! Nak buka yang ketiga pula!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

HAZIQ Nadzli bersama isterinya Eyra membuat persediaan masa depan dengan menjalankan perniagaan restoran berkonsepkan shellout di Johor Baharu, Johor. - Kredit foto: FB Hazali Ramli


PENGALAMAN perit yang dilalui segelintir pemain bola sepak yang berdepan kesukaran hidup selepas bersara mendorong penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Muhammad Haziq Nadzli untuk mengambil sikap ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Justeru, sebagai persediaan untuk masa depan, Haziq, 25, membabitkan diri dengan dunia perniagaan apabila membuka restoran berkonsepkan shellout dan kini mengorak langkah lebih jauh apabila mampu membuka cawangan kedua baru-baru ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bisnes restoran

MAJLIS doa selamat dan pelancaran restoran Haziq Shell'All'Out yang memulakan operasi secara rasmi pada 19 Januari, 2023. - Kredit video: Hazali Ramli.


Menurut isterinya, Hazirah Qasdina Hazali atau lebih dikenali sebagai Eyra Hazali, yang merupakan seorang pelakon, Haziq mula menceburi bidang itu secara kecil-kecilan dengan membuka kedai berkonsepkan shellout di medan selera The J, Sri Alam, Johor Bahru, Johor pada 2021.

“Sebagai pemain bola sepak, Haziq sedar jangka hayat kariernya tidak lama, tidak seperti pekerjaan lain yang boleh bekerja sehingga usia 60 tahun, kalau kaki tangan kerajaan, ada pencen selepas bersara.

“Walaupun, ramai berkata pemain sekarang sangat beruntung berbanding pemain zaman dahulu kerana menikmati gaji yang tinggi serta mendapat pelbagai kemudahan namun kemewahan yang dinikmati sekarang akan lenyap selepas mereka bersara. 

“Jika Haziq tidak mengambil sikap beringat dari sekarang, tidak mustahil dia akan menghadapi kesukaran selepas bersara kerana simpanan akan susut dari sehari ke sehari sedangkan hidup pada masa depan pasti lebih mencabar.


SEJAK dibuka, sambutan pelanggan ke atas Haziq Shell'All'Out sangat luar biasa. - Kredit video: Hazali Ramli


“Justeru, pemain bola sepak seperti Haziq perlu membuat persediaan untuk menghadapi keadaan itu. Saya sendiri sebagai pelakon juga tidak selamanya akan berada di atas, sampai masa akan berundur, jadi kami perlu merancang masa depan kami dari sekarang.

“Keluarga kami terutama ibu bapa juga sentiasa mengingatkan kami akan hal ini. Selepas berbincang, kami bersetuju untuk mencuba perniagaan kedai makan berkonsepkan shellout, sesuai dengan trend terkini.

 “Kami bermula di medan selera The J yang memang popular di Johor Bahru. Alhamdulillah, sambutannya sangat luar biasa,” ujar Eyra yang tidak menolak bahawa aura Haziq sebagai pemain bola sepak dan skuad JDT turut membantu melonjakkan perniagaan itu. 

“Alhamdulillah, sejak dibuka, pelanggan tak putus-putus. Walaupun Haziq sekarang sedang sibuk membuat persiapan bersama JDT untuk menghadapi liga bola sepak musim 2023 namun operasi restoran ini tetap berjalan lancar, dikendalikan oleh rakan kongsi dan kakitangannya,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.



Ekoran itu, Haziq mengorak langkah lebih berani untuk mengembangkan perniagaannya dengan membuka restoran Haziq Shell’All’Out yang beroperasi di No 37, Jln Perjiranan 4/6, Bandar Dato Onn, Johor Baharu.

Restoran yang dilancarkan secara rasmi pada 19 Januari, 2023 itu juga mendapatkan sambutan luar biasa sehingga pelanggan terpaksa beratur menunggu giliran untuk mendapatkan tempat.

Haziq, pemain kelahiran Kuala Lumpur membina nama bersama JDT sejak 2017 dan kini merupakan salah seorang penjaga gol utama pasukan itu bersama Farizal Marlias dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang baru menyertai skuad itu musim ini.



Namun, menurut Eyra, walaupun suaminya itu kini sedang menikmati karier bersama JDT namun dia yakin, akhirnya mereka akan kembali menetap di Kuala Lumpur terutama selepas Haziq bersara kelak.

Untuk itu, Haziq kini merancang untuk meluaskan empayar perniagaannya dengan membuka cawangan di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

“Kami dilahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Keluarga kami pun di Kuala Lumpur, jadi perancangan kami mahu kembali ke sana (Kuala Lumpur) suatu hari nanti. Shellout di Kuala Lumpur adalah antara persediaan kami.

“Tapi, buat masa sekarang, kami mahu membina serta menikmati kehidupan kami di Johor. Kami sangat gembira di sini terutama bersama keluarga JDT,” kata pelakon yang mula mencipta populariti menerusi drama bersiri Mr Grey itu. - KitaReporters


AHLI keluarga Eyra turut memberi sokongan kepada perniagaan Haziq. - Kredit foto: FB Hazali Ramli.


KELUARGA Haziq dan Eyra antara pendorong yang menggalakkan pasangan itu menceburi bidang perniagaan sebagai persediaan masa depan. - Kredit foto: Hazali Ramli

13
9
0
20
0
You will be interested