Selera & Santai 28 Jan, 2026

Video| Isu Airbnb haram berleluasa! Pelancong asing jadi mangsa! Boleh jejaskan kempen TMM 2026!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. đź“§: [email protected]

Share this

Pelancong dari Indonesia sejak sekian lama menjadi antara penyumbang terbesar kepada industri pelancongan Malaysia. 

Setiap tahun, jutaan warga negara jiran itu memilih Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Johor sebagai destinasi percutian, membeli-belah dan perubatan. 



Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), kehadiran pelancong Indonesia dijangka terus meningkat dan menjadi antara penyumbang utama kepada kempen kebangkitan pelancongan negara. 

Namun di sebalik kemeriahan sektor pelancongan, satu perkongsian tular dalam media sosial membuka sisi gelap yang jarang diperkata, khususnya berkaitan sewaan apartmen dan kondominium secara harian. 

Seorang pelancong Indonesia mendedahkan pengalaman pahit apabila dia dan rakan-rakannya tidak dibenarkan masuk ke unit penginapan yang telah dibayar kerana pihak pengurusan bangunan melarang aktiviti sewaan jangka pendek.

Dalam perkongsiannya, pelancong itu menjelaskan bahawa tidak semua apartmen di Malaysia dibenarkan untuk disewa secara harian. Walaupun bayaran telah dibuat, pihak keselamatan dan pengurusan tetap menghalang mereka daripada memasuki unit yang ditempah. 

Katanya, pengalaman itu menjadi pengajaran besar agar pelancong lain lebih berhati-hati dan selektif ketika menyewa apartmen di Malaysia.



Perkongsian tersebut segera mengundang reaksi pelbagai pihak, termasuk warga tempatan dan pelancong lain yang pernah mengalami situasi hampir sama. 

Ramai yang mengakui bahawa isu ini bukan perkara baharu, tetapi masih berlaku kerana wujud pemilik unit yang terus mengambil tempahan walaupun mengetahui bangunan mereka tidak membenarkan sewaan harian.

Seorang netizen, mengingatkan bahawa tidak semua penginapan dalam platform seperti Airbnb (AirBed & Breakfast) sebenarnya dibenarkan oleh pihak pengurusan. 

Katanya, ada banyak unit yang masih beroperasi secara senyap walaupun ia secara teknikal dilarang.

Menurutnya, pilihan paling selamat bagi pelancong adalah menginap di hotel kerana risikonya jauh lebih rendah berbanding menyewa apartmen yang statusnya meragukan. 

“Hati-hati apabila tempah melalui Airbnb. Ada tempat yang masih beroperasi walaupun sebenarnya dilarang oleh pihak pengurusan. Paling selamat, tempahlah hotel,” nasihat netizen itu. 


 



Komen itu disokong oleh netizen lain, yang menjelaskan bahawa kebanyakan kondominium bertaraf kediaman memang tidak boleh digunakan sebagai Airbnb atau homestay harian. 

Hanya bangunan yang berstatus komersial dibenarkan berbuat demikian, namun ramai pelancong tidak mengetahui perbezaan ini dan hanya melihat harga murah serta gambar cantik yang dipaparkan dalam aplikasi tempahan.  

“Apartmen bertaraf kediaman memang tak boleh buat Airbnb. Yang bertaraf komersial sahaja dibenarkan,” jelas netizen tersebut. 



Isu ini menjadi lebih panas apabila seorang netizen tempatan, meluahkan kemarahan terhadap pemilik unit yang dianggap mengambil kesempatan. 

Menurutnya, jika pemilik sudah tahu bahawa pengurusan bangunan melarang sewaan harian, mereka sepatutnya tidak menerima tempahan.

Namun masih ada yang sanggup mengambil wang pelancong dan membiarkan mereka terkandas di lobi apabila disekat oleh pihak keselamatan. 

Malah dia menyatakan bahawa tindakan tegas pihak berkuasa diperlukan supaya pemilik terbabit dipaksa memulangkan wang yang telah dibayar.  

“Pemilik apartmen nak scam pelancong ke? Dah tahu pengurusan tak benarkan, masih ambil tempahan. Lepas itu orang tak boleh masuk, duit hangus. Sepatutnya polis paksa pemilik pulangkan wang tempahan,” ujarnya dalam nada marah. 



Nada sama turut dikongsi oleh seorang lagi netizen menyifatkan perkara ini sebagai sesuatu yang buruk untuk ekosistem pelancongan Malaysia. 

Katanya, jika pelancong asing mengalami pengalaman seperti ini, ia bukan sahaja merugikan mereka secara peribadi, malah mencalarkan reputasi negara sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan teratur.

Menariknya, pelancong dari Indonesia sendiri mengakui bahawa masalah ini bukan hanya berlaku di Malaysia. 

Menurutnya di Indonesia juga banyak apartmen tidak dibenarkan disewa secara harian, namun ada pemilik yang mengajar penyewa untuk berbohong kepada pengawal keselamatan dengan mengatakan mereka menyewa secara bulanan. 

Menurutnya, pemilik juga terdesak mencari pendapatan tambahan untuk menampung kos penyelenggaraan dan bayaran lain.  

“Di Indonesia pun banyak apartmen tak boleh disewa harian. Tapi saya pernah disuruh pemilik berbohong pada pengawal keselamatan, cakap sewa bulanan. Pemilik pun perlukan pendapatan,” cerita netizen tersebut. 



Pengakuan itu disambung oleh seorang lagi netizen yang berkongsi pengalaman lebih ekstrem.

Katanya, ketika melawat Malaysia pada Oktober 2025 lalu, mereka dibantu oleh wakil pemilik unit untuk masuk secara senyap melalui laluan belakang bangunan.

Bagasi dibawa melalui loading dock dan mereka menaiki lif barang supaya tidak menarik perhatian pihak keselamatan. 

Mereka masuk ke apartmen tanpa melalui lobi utama, seolah-olah melakukan sesuatu yang perlu disorokkan. 

Walaupun pada ketika itu dia berterima kasih kepada pemilik, ramai netizen mengingatkan bahawa tindakan sebegitu sebenarnya mendedahkan pelancong kepada risiko keselamatan dan masalah undang-undang.  

“Oktober lalu di Malaysia, pemilik bantu kami masuk melalui loading dock. Kami naik lif barang supaya tak dicurigai. Masuk lobi tanpa bagasi. Terima kasih owner,” katanya. 



Kisah-kisah seperti ini menjadi semakin membimbangkan apabila Malaysia sedang bersiap sedia menyambut lonjakan pelancong sempena TMM 2026. 

Kempen besar-besaran ini bertujuan memulihkan dan memperkukuh sektor pelancongan negara selepas tempoh mencabar dan pelancong dari Indonesia dijangka terus menjadi antara penyumbang utama.

Namun, jika isu sewaan haram dan penipuan halus seperti ini dibiarkan berleluasa, ia berpotensi menjejaskan keyakinan pelancong terhadap Malaysia. 

Bagi ramai pelancong bajet dan backpacker, sewaan apartmen sering menjadi pilihan kerana harganya lebih murah dan ruang lebih luas. 

Tetapi tanpa pemahaman jelas tentang undang-undang dan peraturan bangunan, mereka boleh terperangkap dalam situasi yang memalukan dan merugikan. - KitaReporters



11
13
0
12
0
You will be interested