Selera & Santai 07 Mar, 2026

Jom makan kerang, siput! Pekan Ramadan Jalan Matang Buluh jadi pilihan! Lokasi moreh warga utara!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Setiap kali Ramadan menjelma, tradisi menikmati kerang dan siput rebus selepas solat tarawih atau untuk moreh terus menjadi pilihan masyarakat sekitar negeri Perak dan Pulau Pinang.



Pelbagai jenis kerang, siput dan lala yang siap direbus serta dibakar dihidangkan kepada pelanggan sebagai juadah pilihan.


Pekan Ramadan di Jalan Matang Buluh di Bagan Serai, Perak yang berlangsung sejak 1 Ramadan 1447H (19 Februari 2026) lalu kembali meriah dengan kehadiran pengunjung saban malam, sekali gus mengekalkan reputasinya sebagai antara lokasi tumpuan utama sepanjang bulan mulia ini.

Acara tahunan itu bukan sahaja menarik penduduk setempat, malah menerima kunjungan orang ramai dari pelbagai daerah di Perak serta negeri lain. 

Suasana selepas solat tarawih jelas memperlihat deretan gerai dipenuhi pelanggan yang tidak melepaskan peluang menikmati juadah moreh bersama keluarga dan rakan-rakan.


Orang ramai beratur dan meneliti pilihan kerang serta pelbagai jenis siput yang dijual.

Pengunjung memenuhi ruang makan yang disediakan.

Antara tarikan utama ialah kerang rebus, kerang bakar serta pelbagai jenis siput yang sentiasa menjadi pilihan ramai. Aroma makanan laut yang baru direbus dan dibakar menjadi daya penarik tersendiri, terutama bagi penggemar hidangan tradisional utara.

Selain itu, pelbagai gerai turut menawarkan menu lain seperti laksa, mi kari, bihun sup, lai chi kang, keropok lekor, burger, char kuetiau, kuetiau kerang, jagung, ubi rebus, roti arab, peknga, ais krim roti, jeli kelapa, capati, putu mayam, yong tau foo serta aneka minuman dan pencuci mulut.


Tiga pekerja tekun menguruskan periuk besar berisi kerang dan siput yang sedang direbus bagi memastikan juadah sentiasa panas dan segar untuk pengunjung.

Capati dan putu mayam panas juga turut dijual.

Berlokasi bersebelahan bangunan Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Perabot Ali, kawasan tersebut mudah diakses dengan kemudahan parkir yang luas serta percuma, sekali gus memudahkan pengunjung yang datang dari luar daerah.

Pekan Ramadan Jalan Matang Buluh ini beroperasi setiap hari sepanjang Ramadan dari jam 8 malam hingga 1 pagi, menjadikannya destinasi pilihan untuk menikmati moreh dalam suasana santai dan penuh kemeriahan. – KitaReporters/FB Perak Press


Jeli kelapa segar antara pencuci mulut kegemaran pengunjung di Pekan Ramadan Jalan Matang Buluh. 


Seorang peniaga menunjukkan kemahiran memasak apabila api marak menyambar kuali ketika menyediakan hidangan panas.

11
14
0
14
0
You will be interested