Selera & Santai 07 Apr, 2023

Nak pergi cuti? 10 destinasi termurah dalam pasaran yang telah ditinjau! Sibu tersenarai! - Agoda

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Dengan ramai di seluruh Asia dan Australia yang menantikan hujung minggu yang panjang dan cuti yang bakal menjelang, para pelancong yang gemarkan tawaran murah pasti akan merasa gembira mengetahui bahawa Agoda telah menganalisis data untuk mendedahkan destinasi pelancongan termurah. 

Di Malaysia, Sibu, Sarawak telah muncul sebagai destinasi dengan kadar penginapan yang paling kompetitif bulan ini.

Disebabkan keghairahan Agoda untuk mendapatkan pelancong tawaran terbaik dan harga yang paling kompetitif, platform pelancongan digital Agoda telah menganalisis kadar purata bilik penginapan di destinasi-destinasi pelancongan pada bulan April 2023 ini. 

Di Malaysia, Sibu, Sarawak adalah destinasi pelancongan yang paling berpatutan, dengan kadar purata bilik RM136 (USD34). 

Tambahan pula, turut tersenarai di kedudukan 5 teratas di Malaysia adalah Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Taiping.

Destinasi dengan kadar purata penginapan termurah di seluruh rantau Asia Pasifik ialah Khon Kaen di Thailand, Sibu di Malaysia, Surakarta di Indonesia, Puri di India, Bacolod di Filipina, Ninh Binh di Vietnam, Chiba di Jepun, Gwangju di Korea Selatan, Kepulauan Kinmen di Taiwan, dan Brisbane di Australia.



“Dalam menelusuri tahun 2023 dan cuti umum yang bakal menjelang di pelbagai rantau, ramai antara kami sedang merancang masa rehat yang sewajarnya,” kata Cleland Robertson, Pengarah Perkhidmatan Rakan Kongsi – Malaysia dan Brunei di Agoda. 

“Tetapi pada masa yang sama, dengan kos sara hidup yang sering dilaporkan dalam berita di seluruh dunia, kami semua cuba untuk menjadi lebih bijak dalam menguruskan perbelanjaan kita. 

"Saya berharap penemuan tinjauan Agoda ini dapat membantu para pelancong menemui beberapa destinasi menarik dan menjimatkan kos dalam percutian yang dirancang.” 

Walaupun destinasi pelancongan yang disenaraikan merupakan destinasi dengan harga termurah, lokasi-lokasi yang dikaji ini mempunyai banyak tawaran yang menanti para pelancong dan tidak kurang juga tarikan yang tersembunyi. 

Contohnya, pantai yang meriah, taman tema yang mengujakan, tempat kerohanian yang suci dan pusat tumpuan penggemar makanan. 


Berikut adalah antara tarikan hebat di sepuluh destinasi termurah dalam pasaran yang telah ditinjau:



1. Khon Kaen, Thailand (Kadar purata bilik: RM120 [30 USD]): 

Walaupun Khon Kaen dikenali sebagai bandar Dinosaur Thailand, ia adalah sangat moden! 

Bandar universiti ini mempunyai banyak kedai kopi yang bergaya, tasik bandar yang menjadi tapak festival sepanjang tahun, Pasar Malam Ton Tann yang mempunyai pelbagai jenis gerai makanan dan persembahan muzik secara langsung dan banyak lagi. 

Khon Kaen juga merupakan pangkalan yang ideal untuk menerokai kawasan luar bandar di sekitarnya,untuk menggali khazanah peninggalan zaman Jurassic misalnya, atau menikmati keindahan puncak bukit kuil Wat Tham Saeng Tham yang menakjubkan.

Jika anda merancang untuk bercuti pada bulan April, pastikan anda membawa belon air dan pistol air kerana dari 13-15 April, Khon Kaen bakal menjadi hos kepada salah sebuah parti Songkran (Tahun Baharu Thai) yang terbesar di Thailand. 

Kunjungilah Tasik Kaen Nakhon dan bersedia untuk bermandi percikan air di salah sebuah festival air yang paling hebat di Asia.

Penerbangan dari dua lapangan terbang di Bangkok ke Khon Kaen beroperasi setiap hari dan biasanya berkos rendah, dengan tiket sehala tersedia pada bulan April bermula pada harga kurang daripada 750 Thai Bath (~22 USD).



2. Sibu, Malaysia (Kadar purata bilik: RM136 [34 USD])

Sibu, yang terletak di negeri Sarawak merupakan sebuah destinasi tarikan yang jarang mendapat perhatian ramai. 

Ia mempunyai pelbagai tarikan seperti aneka makanan yang enak, warisan sejarah dan budaya yang kaya serta keindahan alam semula jadi yang menakjubkan. Kunjungilah Kuil Tua Pek Kong untuk mengetahui lebih dekat amalan tradisi penduduk setempat dan nikmati keindahan ibarat ‘syurga’ bagi pencinta alam di pelbagai taman, rizab alam semula jadi dan denai pejalan kaki seperti Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima, Taman Tasik Sibu dan Jejak Warisan Sungai Merah.

Seperti mana-mana di Malaysia, tidak sukar bagi anda mendapatkan makanan di Sibu, dari kopitiam tempatan sehingga ke Pasar Malam Sibu. 

Untuk pengalaman yang tulen, cubalah Mee Sua yang popular di Sarawak (mee halus dalam sup herba), Mi Kampua, atau kompia popular (pastri pipih dengan inti daging).

Jom terokai sendiri permata mesra bajet Sibu dan jangan lupa membawa pulang cenderahati dari Pasar Besar Sibu!



3. Surakarta (Solo), Indonesia (Kadar purata bilik: RM148 [37 USD])

Dari segi sejarah, Surakarta yang lazimnya dikenali sebagai Solo telah menjadi pusat kekuasaan di Jawa Tengah. 

Pada tahun 1745 mahkamah Mataram telah dipindahkan ke sini dari Yogyakarta, dan, sejak itu, bandar ini telah membina reputasinya sebagai hab budaya. Menampilkan tarian Solo, wayang kulit, batik buatan tangan dan banyak lagi, Solo kekal sebagai bandar yang kaya dengan keanggunan dan kehalusan tradisi seninya. 

Bandar ini mendapat perhatian ramai sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai tempat kelahiran Presiden Joko "Jokowi" Widodo.

Sesiapa sahaja akan menikmati perjalanan menaiki beca melalui bandar lama ini, tetapi Solo menjadi tarikan istimewa bagi penggemar muzik tradisional. Rancang percutian anda untuk mengunjungi salah satu daripada dua acara menarik akan datang: Festival Solo Menari dan Festival Keroncong Solo. 

Solo Menari adalah sebuah acara untuk memperingati Hari Tarian Sedunia pada 29 April setiap tahun. 

Begitu juga, Festival Keroncong Solo (22-23 Julai) adalah sebuah acara tahunan untuk memperkenalkan, memelihara, dan memperkasakan muzik rakyat tradisional yang unik di Solo.



4. Puri, India (Kadar purata bilik: RM152 [38 USD])

Dikenali sebagai salah sebuah daripada empat tapak penghijrahan suci di India, yang dipanggil "Char Dhams'', Puri merupakan salah sebuah bandar tertua di India dan ia adalah pusat tarikan kepada para penganut agama Hindu, para penggemar sejarah dan juga penjelajah sepanjang tahun. 

Bandar ini menampilkan sejarah India melalui seni dan budaya yang digambarkan dalam reka bentuk rumit watak dan cerita mitologi yang ditampilkan dalam kraf tangan. 

Apabila berada di Puri, jangan ketinggalan untuk mencuba makanan yang lazat di Puri seperti 'Malpua' dan hidangan udang yang lazat yang dipanggil 'Chungi Malai'. 

Apa lagi? Pantai kuning keemasan di Puri juga diperakui sebagai salah sebuah pantai terbersih di India. Kini, sudah tiba masanya untuk merancang percutian anda ke destinasi yang murah tetapi kaya dengan budaya ini.



5. Bacolod, Filipina (Kadar purata bilik: RM188 [47 USD])

Bersesuaian dengan gelarannya sebagai 'The City of Smiles (Bandar Senyuman)', Bandar Bacolod dan penduduk tempatannya yang mesra dan lemah lembut pastinya boleh memberikan para pengunjung satu pengalaman kulinari yang tidak mudah untuk dilupakan. Pelbagai makanan di sini yang enak pastinya akan membuatkan anda tersenyum lebar.

Nikmati ketenangan di Sharyn's Cansi House dan cubalah cansi, sejenis makanan kegemaran tradisional di wilayah Negros (di mana terletaknya Bacolod). Cansi adalah sup yang diperbuat daripada daging betis dan sumsum tulang lembu, yang lazimnya dicampur dengan ramuan masam kegemaran penduduk setempat, iaitu buah batuan. 

Kunjungilah kelas memasak di Bong Bongs, di mana anda boleh menyediakan hidangan istimewa tempatan, piaya. Roti leper ini diisi dengan inti muscovado dan sirap glukosa tempatan. 

Inasal ayam atau ayam bakar dengan rasa “smoky” yang unik merupakan sejenis hidangan tempatan Ilonggo yang boleh dibeli di rangkaian kedai makan Manukan Country. 

Lengkapkan lawatan makan anda dengan menikmati pelbagai pilihan pencuci mulut dari Calea, yang terkenal dengan pai coklat mereka. 



6. Ninh Binh, Vietnam (Kadar purata bilik: RM 188 [47 USD])

Keindahan Ninh Binh telah menawan hati mereka yang telah menetap di sana selama beribu-ribu tahun. Terletak hanya sejam dari ibu negara, Hanoi – puncaknya yang menjulang tinggi, laluan air yang damai, kuil gergasi dan pagoda bertingkat telah menawan hati semua yang meneroka ke sana. 

Terkenal sebagai lokasi penggambaran filem blokbuster Kong, Ninh Binh yang dilindungi UNESCO telah mengalami kebangkitan semula minat daripada pelawat disebabkan tarikan 'Tembok Besar' Vietnam, aktiviti mendayung di sungainya yang berkilauan, dan memanjat 500 anak tangga yang dipahat di permukaan gunung untuk ke Gua Mua. 

Pemandangannya yang indah berubah sepanjang tahun. Perjalanan ke sana adalah mudah, dengan adanya pelbagai pakej lawatan berkumpulan yang ditawarkan oleh banyak syarikat pelancongan di Hanoi, yang menepati bajet semua para pelancong yang ingin mengunjungi salah sebuah daya tarikan tersembunyi Vietnam.



7. Chiba, Jepun (Kadar purata bilik: RM276 [69 USD])

Wilayah Chiba di Jepun, yang boleh dikunjungi dalam perjalanan yang singkat dari Tokyo melalui kereta api, mempunyai pelbagai tarikan pelancong. 

Disneyland Tokyo dan DisneySea adalah taman tema yang terkenal di dunia yang terletak di Chiba, manakala Semenanjung Boso mempunyai pantai yang bersih dan hutan yang tebal untuk para pencinta alam semula jadi. 

Bandar Chiba merupakan ibu kota kepada wilayah ini dan merupakan hab hiburan yang meriah, dengan tarikan seperti Taman Tepi Laut Makuhari dan pusat beli-belah Aeon Mall Makuhari Shintoshin.

Salah sebuah tapak bersejarah yang harus dilawati di Chiba ialah Narita-san Shinshouji, sebuah kompleks kuil Buddha yang menakjubkan yang terletak di bandar Narita. Kuil yang dibina sejak abad ke-10 tersebut terkenal dengan seni bina yang indah, ukiran yang halus, dan taman yang menakjubkan.

Selepas seharian bersiar-siar dan menjamu selera dengan hidangan tempatan, para pengunjung boleh merehatkan diri di salah sebuah mata air panas yang terdapat di Chiba. 

Keseluruhannya, Chiba adalah sebuah destinasi yang harus dilawati bagi mereka yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi, warisan budaya, tarikan yang mengujakan dan masakan yang lazat di Jepun.



8. Gwangju, Korea Selatan (Kadar purata bilik: RM 364 [91 USD])

Terkenal sebagai bandar budaya dan seni, Gwangju menawarkan pelbagai aktiviti budaya dan seni sepanjang tahun, termasuk sebatang jalan yang dikhaskan untuk aktiviti kesenian, muzium seperti Pusat Seni Asia dan Muzium Seni Gwangju, serta banyak galeri dan kedai antik. 

Ini menjadikan Gwangju salah sebuah destinasi paling menarik untuk para pengembara yang ingin meneroka seni, persembahan dan teater.

Menjelang musim bunga ini, para pencinta seni mempunyai sebab lain untuk melawat bandar ini, iaitu untuk Gwangju Biennale ke-14, festival seni terbesar dan tertua di Asia yang akan berlangsung di serata bandar dari 7 April hingga 9 Julai dengan tema "Soft and Weak Like Water (Lembut dan Longlai Seperti Air)".



9. Kepulauan Kinmen, Taiwan (Kadar purata bilik: RM376 [94 USD])

Kepulauan ini mungkin tidak begitu diketahui di luar negara, tetapi Kinmen adalah sebuah pulau yang mempunyai banyak tugu peringatan bersejarah dan ketenteraan untuk dilawati. 

Tarikan utama destinasi ini yang harus dikunjungi adalah fenomena 'Air Mata Biru' yang boleh disaksikan di pinggir pantainya. Kilauan biru bioluminesen dari dalam air ini sememangnya menakjubkan.

Selain daripada monumen, Kinmen juga terkenal dengan Tiram Batu. Para penggemar makanan pastinya akan teruja dengan 'Festival Budaya Tiram Batu dan Gandum' yang bakal dianjurkan pada 22 April hingga 21 Mei. 

Para pengunjung harus mencuba aktiviti menuai tiram dari ladang ternakan dan menyertai pertandingan mengupas cengkerang tiram, yang mana anda boleh membawa pulang semua tiram yang anda telah kupas! Terdapat juga aktiviti seperti melawat ladang gandum dalam kereta elektrik, lawatan ladang eko tiram dan banyak lagi aktiviti untuk sekeluarga.



10. Brisbane, Australia (Kadar purata bilik: RM504 [126 USD])

Brisbane, ibu kota negeri Queensland, adalah bandar ketiga terbesar di Australia. 

Bandar yang terletak di pinggir sungai ini terkenal dengan gaya hidup alfresco subtropika dan merupakan satu tempat yang ideal untuk menikmati aktiviti luar, dengan adanya taman botani yang indah, tempat perlindungan haiwan dan presint budaya dinamik, South Bank. Di sini juga terdapat pasar mingguan, kafe dan bar, serta pantai buatan manusia yang menakjubkan di tepi sungai.

Tambahan pula, Brisbane terletak berhampiran dengan beberapa pantai Queensland yang bersih. Dengan adanya pelbagai aktiviti yang menarik di pantai, Brisbane bukan sahaja sebuah destinasi pelancongan paling murah di Australia, tetapi juga salah satu destinasi yang paling memikat.

Selain daripada membantu para pelancong untuk memilih destinasi yang murah, Agoda juga membolehkan mereka untuk mendapatkan penjimatan tertinggi dengan fitur seperti Price Freeze (Pembekuan Harga), Price Alerts (Makluman Harga), diskaun gabungan, tawaran harian dan banyak lagi untuk membantu orang ramai melancong dengan kos lebih rendah. - KitaReporters/Kenyataan Media


7
11
0
10
0
You will be interested