Roti jala gulung biasa warna hijau, biru, jingga dan kuning ditambahkan hiasan pemandangan alam.
ROTI jala je pun!! Untuk dimakan!! Untuk dimasukkkan ke dalam mulut, kunyah dan telan. Buat mengenyangkan perut!!
Makan roti jalan memanglah sedap, tapi nak membuatnya bukan semua mampu buat dengan elok dan kemas. Peminat roti jalan sendiri pun tak tentu tahu membuatnya. Dia tahu makan saja.
Roti jala tradisional yang kita kenali sejak dahulu berwarna kuning iaitu warna yang terhasil daripada kuning telur, iaitu antara bahan utama untuk membuat roti jala, selain tepung. Ditambahkan sedikit pewarna kuning untuk menguatkan tonanya. Ringkas sahaja bahannya.
Selain tepung dan telur ialah air, santan atau susu segar atau campuran keduanya, minyak masak dan sedikit garam halus dan pewarna kuning (warna asal roti jala). Dimakan dengan kuah kari.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan masakan
Penggunaan warna makanan untuk mencantikkan kuih tertentu seperti kek, agar-agar dan puding, bukanlah perkara baru dalam dunia masakan.
Pada masa dahulu pewarna ni tidaklah diguna sembarangan untuk semua jenis makanan, rata-rata mengekalkan warna tradisi kuih terbabit seperti kuih bingka tepung warna hijau pandan yang mungkin juga ditambahkan sikit hijau tiruan, kuih lopes juga lumrahnya berwarna hijau sahaja dan roti jala warna kekuningan.
Penghasil roti jala berhiaskan lukisan ini turut menunjukkan contoh gambar yang menjadi ilhamnya untuk diterapkan pada persembahan roti jalannya. - Kredit foto: Facebook Kelab Roti Jala
Namun keghairan bagi menampakkan sesuatu kuih itu lebih cantik, atau untuk memberi kelainan sebagai tarikan tetamu atau pelanggan, macam-macam idea kreatif terhasil.
Maka kemudiannya penggunaan warna semakin popular, roti jala yang secara tradisinya kuning, tidak terkecuali memperlihatkan perubahan.
Kini anda boleh lihat roti jala merah jambu, hijau biru dan sebagainya. Ada orang cepat tertarik tetapi ada juga yang tidak dapat menerimanya, terasa tidak dapat menelan jika kuih berkenaan lain daripada warna kebiasaannya.
Roti jala gulung berhias motif anggota pasukan beruniform. - Kredit foto: Facebook Kelab Roti Jala
Pernah juga nampak roti jala berwarna asing sekali sekala muncul di media sosial pada masa dahulu. Sekarang semakin kerap muncul. Semakin kreatif mereka menghasilkan roti jala dengan pelbagai idea persembahan.
Nak tengok roti jala aneka warna dengan kepelbagaian reka hias susunan dan persembahan, ada satu kumpulan facebook dikenali Kelab Roti Jala.
Buka laman itu, anda akan dapati pelbagai idea kreatif oleh pakar pakar roti jala.
Grup itu dianggotai peminat roti jala, sama ada yang gemar memasak untuk makan sendiri atau jual, gemar makan atau membeli, dan kalangan pemula, iaitu yang baru nak belajar buat dan nak berkreatif.
Ahli bukan sahaja menunjukkan hasil kerja malah ada memuat naik gambar tutorial.
Persembahan gandingan roti jala gulung cara tradisi dengan gulung bentuk bunga mawar. - Kredit Foto - Facebook Kelab Roti Jala
Bagi penulis sendiri, belum lagi dapat menerima roti jala selain daripada warna kuning. Terasa macam bukan roti jala. Tak tertelan lantaran terasa sangat asing. Apa pun lain orang lain cita rasa dan seleranya.
Pun begitu, suka juga tengok kreativiti mereka menghasilkan pelbagai warna roti jala. Dan kagum pula melihat gaya persembahan hidangan roti jalan yang sangat kreatif, dan setanding dengan bentuk kek atau puding hiasan.
Lihat antara beberapa contoh persembahan mereka yang tidak jemu dipandang.
Roti jala yang dipersembahkan dalam bentuk baju berlipat warna hitam. - Kredit foto: Facebook Kelab Roti Jala
Roti jala yang dihias indah seperti ini boleh menggantikan kek hari jadi atau pun pulut kuning oleh pakar dalam bidang masing-masing. Kepelbagaian ini terhasil dek kerana kreativiti akal manusia yang dianugerah oleh Allah SWT. Sama ada mereka memang kreatif dan suka menatahias, atau suka melukis, ataupun kerana terdorong untuk menampilkan hasil tangan yang unik, lain daripada lain bagi tarikan pelanggan.
Misalnya roti jalan dikenali dengan bentuk gulung silinder, ada yang lebih kreatif mempersembahkan roti jala bentuk bunga mawar yang berkelopak, siap ditunjuk cara bagaimana membuatnya.
Hasil masakan yang cantik itu terhasil daripada gabungan seni masak dan menghias. - KitaReporters