Selera & Santai 20 Oct, 2020

Memo bantahan! Penutupan mengejut Taman Negara Kuala Tahan!

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

SERAMAI 363 orang pengusaha dan penggiat dalam sektor ekopelancongan membantah tindakan kerajaan menerusi Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana penutupan 'secara mengejut' kemudahan awam di pusat pelancongan Taman Negara Kuala Tahan mulai 6 Oktober 2020 lalu sehingga memberikan impak menanggung kerugian dan kehilangan pendapatan. : KitaReporters


Suasana lengang di pintu masuk sebuah resort berhadapan jeti Sungai Tembeling, manakala di seberang kelihatan restoran terapung tiada pengunjung domestik singgah, sementara pengangkutan bot penambang juga 'suram' berikutan 

penutupan sementara Taman Negara Kuala Tahan sejak 6 Oktober 2020 lalu. - Kredit foto: Penduduk Kuala Tahan


Sehubungan itu, seramai sembilan orang wakil persatuan pengusaha dan penggiat pelancongan berkenaan telah menandatangani petisyen memo bantahan untuk disampaikan kepada Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KTSU), Datuk Zurinah Pawanteh; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Majlis Keselamatan Negara; wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan.

Muka depan surat litup bertarikh 19 Oktober 2020 antara lima helaian petisyen bantahan penutupan sementara Taman Negara yang dihantar kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara, wakil rakyat dan pentadbiran daerah Jerantut. - Kredit foto: Abdul Jalil Abd Rahman.


Mereka terdiri daripada seramai 170 orang pemandu pelancong, pengusaha bot penambang Sungai Tahan dan Sungai Tembeling  (108 orang), pengusaha restoran dan rakit terapung (30 orang), agensi pelancongan (17), manakala 38 orang pengusaha hospitaliti (resort, chalet, guesthouse, pusat inap dan hostel) terlibat dengan aktiviti ekopelancongan di Taman Negara Kuala Tahan.

Bot penambang Sungai Tahan dan Sungai Tembeling yang memunggah pengunjung ke setiap destinasi taman peranginan hutan tropika berusia 130 juta tahun itu juga 'tersadai' akibat ketiadaan pengunjung. - Kredit foto: Norhasiyati Taharin


Bantahan itu timbul berikutan itu kerugian mencecah hampir RM2 juta bagi bulan Oktober dan November 2020 tahun ini telah ditanggung oleh pengusaha dan pemain dalam sektor ekopelancongan di pusat peranginan hutan tropka itu akibat pembatalan tempahan bilik, pakej aktiviti, sajian makanan, sewaan bot, pemandu pelancong dan bayaran fi (lesen pelancongan).  


ABDUL JALIL ABD RAHMAN


Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan yang juga Pengerusi Penaja petisyen bantahan, Abdul Jalil Abd Rahman berkata, tindakan mengeluarkan petisyen bantahan tersebut kerana pengusaha dan penduduk di sini 'sudah tidak tahan' lagi menanggung derita tekanan akibat penutupan Taman Negara oleh Perhilitan berikutan penularan pandemik COVID-19 mulai penghujung bulan September 2020 lepas.

Restoran terapung (floating restaurant) yang terkenal dengan masakan tempatan berasaskan ikan sungai juga lengang sejak penutupan sementara Taman Negara pada awal bulan Oktober 2020. - Kredit foto: Penduduk Kuala Tahan


"Memo bantahan ini berasaskan kalangan pengusaha di sini berdepan tekanan kerugian malahan langsung kehilangan pendapatan setelah berdepan dengan senario yang sama sejak Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 lalu sambil berharap kerajaan khususnya Perhilitan membuka semula kemudahan awam di sini mulai minggu ini.

Pemandangan dari arah Kampung Kuala Tahan menunjukkan kedudukan pintu masuk dan jeti memunggah penumpang ke kawasan Taman Negara kelihatan lengang berikutan penutupan sementara Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto: Norhasiyati Taharin


"Selain KTSU, kita juga berharap kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy juga endah dengan masalah yang ditanggung oleh pengusaha di sini dan menerusi petisyen ini kita mencadangkan Taman Negara Kuala Tahan diletakkan di bawah perbadanan (kerajaan negeri) seperti pusat peranginan Bukit Fraser, Pulau Tioman, Cameron Highlands di negeri ini," katanya di Jerantut hari ini, Selasa 20 Oktober 2020.


MOHD ABDUL RANI HARUN


Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Taman Negara Kuala Tahan, Leftenan Komander TLDM (Bersara), Mohd Abdul Rani Harun berkata, seramai 38 orang pengusaha hospitaliti di Kuala Tahan berkemungkinan 'gulung tikar' malahan berdepan tekanan kewangan paling teruk berikutan ketiadaan pelawat menginap di situ.

"Lebih tertekan kewangan dan perbelanjaan kami, apabila ramai pengunjung domestik membatalkan penginapan yang ditempah sebelum ini setelah penutupan mengejut taman ini oleh Perhilitan berikutan penularan pandemik COVID-19," katanya.


Sebuah pusat inap milik pengusaha tempatan kelihatanlengang sejak 6 Oktober 2020 berikutan ketiadaan pengunjung menginap termasuk membatalkan tempahan berikutan arahan mengejut penutupan sementara Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto: Mohd Abdul Rani Harun


Beliau yang juga Pengusaha Tebing Guest House selanjutnya menambah, dengan siapa lagi mereka hendak meminta tolong sumber kewangan sedangkan sehingga ini menanggung beban hutang bank setelah berakhir moratorium bulan lepas, pinjaman perniagaan, pinjaman membina premis (chalet dan rumah), pembayaran gaji pekerja, utiliti serta membayar balik pinjaman daripada agensi seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dan sebagainya. 


ROSLAN ABU KASSIM


Dalam pada itu, Pengerusi Bird Group Taman Negara, Roslan Abu Kassim berkata, pemain dalam sektor ekopelancongan seperti pemandu alam sekitar (nature guide), bot penambang termasuk Orang Asli etnik Batek yang memperoleh cuma upah harian (sekiranya ada pengunjung) kini diibaratkan sudah 'menggelupur' hilang mata pencarian.


Gambar fail 2019: Orang Asli etnik Batek yang menjadi pemandu alam sekitar (nature guide) turut kehilangan pendapatan berikutan penutupan sementara Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim


"Senario kesusahan ini ditambah pula apabila penduduk di sini bakal berdepan musim tengkujuh kian hampir berkemungkinan banjir melanda menyebabkan kekurangan pengunjung sedangkan penduduk memerlukan pendapatan bagi menghadapi persekolahan anak tahun depan termasuk membayar pinjaman.

"Kita memerlukan bantuan segera pihak kerajaan dan seboleh-bolehnya membuka semula taman ini untuk pengunjung kerana selama ini semua pengusaha dan penggiat tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP), pemakaian pelitup muka, etika kebersihan berasaskan norma baharu selepas PKP pada 15 Jun 2020 lalu," ujarnya. - KitaReporters

3
0
2
0
0
You will be interested