Putrajaya sekali lagi bakal menjadi tumpuan peminat fotografi! Pertandingan Fotografi Pelancongan Putrajaya (PTPC) 2025 anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) kembali dengan hadiah lumayan berjumlah RM19,800 menjadi rebutan.

Sejak diperkenalkan pada 2017, PTPC menjadi platform tahunan bagi mengetengahkan keindahan pusat pentadbiran negara sebagai destinasi pelancongan melalui rakaman gambar unik dan kreatif.
Tahun ini, pertandingan mengetengahkan tema “Keunikan Putrajaya” dengan dua kategori menarik iaitu siang dan malam.

Gambar Masjid Putra memukau dengan kubah merah jambu yang ikonik, terletak di tebing Tasik Putrajaya. Ia dirakam dalam PTPC 2023.

Bangunan Pejabat Perdana Menteri, Perdana Putra yang menonjol dengan kubah hijau dan seni bina Mughal-modennya, ia antara gambar yang diminati peminat fotografi.
Penolong Pengarah Unit Pelancongan, Bahagian Komunikasi Korporat PPj, Azwan Ezli Sable, berkata PTPC bukan sekadar pertandingan fotografi tetapi usaha memperkukuh daya tarikan pelancongan Putrajaya.
“Kami mahu orang ramai melihat Putrajaya bukan sekadar pusat pentadbiran, tetapi destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi.
Tahun ini istimewa kerana selain menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, ia juga bersempena 30 tahun penubuhan PPj," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat penyelaras PTPC 2025 di Perbadanan Putrajaya.

Azwan Ezli Sable
Beliau berkata, kebiasaannya peserta menghantar penyertaan foto waktu siang tetapi sebenarnya, suasana malam di Putrajaya sangat magikal dengan pancaran cahaya lampu, seni bina ikonik, serta pantulan tasik yang menawan.
"Kami amat menggalakkan peserta mencuba rakaman malam kerana kualiti gambar sebegini amat berharga,” katanya.
Azwan Ezli turut menyarankan peserta dan pengunjung untuk menginap di hotel sekitar Putrajaya supaya berpeluang menikmati aktiviti malam sama ada berjalan santai, beriadah, berbasikal atau merakam suasana bersama keluarga yang amat bersesuaian dengan tema keunikan Putrajaya pada waktu malam.

Antara pemandangan malam di Putrajaya yang memukau dan boleh dirakam peminat fotografi.
"Putrajaya sememangnya kaya dengan lokasi ikonik dan tarikan semula jadi - antaranya Taman Saujana Hijau, Taman Wetland, Taman Botani, serta lokasi riadah mencabar seperti Taman Cabaran dan gelanggang rock climbing serta aktiviti bersama komuniti iaitu kebun-kebun komuniti.
“Putrajaya adalah syurga fotografi. Dari sudut seni bina moden, landskap hijau, hinggalah ke aktiviti malam yang meriah, setiap sudut menawarkan peluang menghasilkan karya yang memukau.
"Kami harap PTPC 2025 mampu mencungkil bakat baharu serta memberi inspirasi kepada lebih ramai untuk melihat Putrajaya dari lensa berbeza,” katanya lagi. - KitaReporters

Pemandangan ikonik Putrajaya, termasuk jambatan yang diterangi dan suasana bandar yang bersinar dalam kegelapan.