Selera & Santai 05 Jan, 2026

Suara daripada surat-surat sunyi! Kisah Muhammad Asad! Melihat Islam dengan mata jernih, hati berani!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this


Oleh MOHAMED NASSER MOHAMED

Penulis Bebas


Pertama kali saya membaca buku The Road to Mecca karya Muhammad Asad, ia bukanlah sebuah edisi mewah, sebaliknya naskhah lusuh yang saya temui di sebuah kedai buku terpakai di sebuah pekan kecil. 



Namun isi kandungannya menggoncang. Tidak ada karya lain yang begitu sinonim dengan nama Asad selain buku yang diterbitkan pada 1954 itu. 

Ia bukan sekadar memoir perjalanan seorang lelaki Eropah yang menemukan Islam, tetapi sebuah pengembaraan rohani yang sarat dengan falsafah, pengalaman peribadi, dan pandangan dunia.

Membaca Asad seolah-olah membaca sebuah jiwa yang sedang mencari, tersandung, lalu bangkit dengan keyakinan.

Sabtu, 16 Ogos 2025, nama itu kembali bergema. Harta Space di Ampang yang lazimnya tenang bertukar meriah dengan kehadiran sarjana, penulis, aktivis budaya dan peminat wacana Islam dari dalam serta luar negara. 

Mereka hadir bukan sekadar menyaksikan pelancaran sebuah buku, tetapi meraikan warisan pemikiran seorang tokoh besar Islam moden.

The Unpublished Letters of Muhammad Asad akhirnya diperkenal kepada umum, dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad tepat jam 4.30 petang, disambut oleh tepukan gemuruh hadirin. 

Buku ini bukan sekadar penerbitan baharu, tetapi rakaman peribadi seorang sarjana yang hidupnya penuh gejolak. 

Ia diterbitkan bersama oleh Islamic Book Trust (IBT) dan Islamic Renaissance Front (IRF), dua institusi yang konsisten mengangkat wacana Islam progresif di Malaysia.


Jejak Seorang Pengembara, Dari Lviv ke Granada

Bagi sesetengah generasi, nama Muhammad Asad hanya dikenali melalui The Message of the Qur’an. Namun beliau sebenarnya sosok multidimensi -- seorang pengembara, diplomat, reformis, wartawan, dan di atas segalanya, penghubung antara dunia Islam dengan Barat.

Lahir sebagai Leopold Weiss pada 2 Julai 1900 di Lviv, ketika itu sebahagian daripada Empayar Austria-Hungary, Asad meninggalkan akar Eropah-Yahudi demi mencari makna baharu dalam Islam.

Pengembaraannya membawanya ke Timur Tengah, menghasilkan catatan terkenal The Road to Mecca, seterusnya memainkan peranan penting dalam pembentukan negara Pakistan.

Asad meninggal dunia di Granada, Sepanyol, pada 20 Februari 1992. Lokasi pemakaman itu seakan simbolik: Andalusia, tanah yang pernah menyaksikan puncak kegemilangan Islam, kini menjadi tempat peristirahatan seorang sarjana yang hidupnya dipenuhi pencarian makna.



Luka, Fitnah, dan Cinta dalam Surat-Surat Sunyi

The Unpublished Letters of Muhammad Asad membawa pembaca menelusuri sisi peribadi tokoh ini -- sisi yang jarang diangkat dalam karya akademik.

Surat-surat itu merakam:

  • Derita dipenjara di Ahmadnagar internment camp (kem tahanan) semasa Perang Dunia Kedua,

  • Kenangan indah sepanjang menetap di Pakistan,

  • Saat getir selepas meletakkan jawatan sebagai wakil Pakistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,

  • Fitnah yang menuduh beliau murtad serta ejen Barat,

  • Dan akhirnya keputusan besar untuk mengahwini Pola Hamida di New York.

Dalam salah satu suratnya, Asad meluahkan kekecewaan mendalam: “Very few people realize how I was treated at the time of my removal from the Pakistan Foreign Service, but it was an extraordinarily bitter experience.”

Namun di tengah badai fitnah itu, muncul cahaya solidariti. Tokoh seperti Maulana Abu’l-A’la al-Mawdudi tampil mempertahan maruahnya. 

Buku ini turut menyingkap bagaimana projek terjemahan al-Qur’an Asad mendapat dokongan Muslim World League melalui pejabatnya di Geneva, yang ketika itu dipimpin oleh Dr Said Ramadan, menantu pengasas Ikhwanul Muslimin, Hasan al-Banna.


Tun Dr. Mahathir: Membaca Keberanian Asad

Dalam ucapannya, Tun Dr. Mahathir menegaskan bahawa buku ini bukan sekadar catatan sejarah, tetapi juga refleksi jiwa seorang intelektual.

“Buku ini adalah cermin keberanian seorang pemikir yang tidak gentar menghadapi ujian demi mempertahan prinsip dan cintanya kepada Islam. Ia wajar dibaca oleh generasi muda yang mencari makna keikhlasan dalam perjuangan intelektual,” ujar beliau.

Ucapan itu disambut tepukan panjang, tanda penghargaan hadirin terhadap sosok yang pernah disebut sebagai jambatan antara Timur dan Barat.


Harta Space: Di Mana Surat-Surat Berbicara

Majlis pelancaran berlangsung penuh tertib namun sarat emosi. Hadirin pelbagai latar belakang -- daripada sarjana, penulis, sejarawan sehinggalah mahasiswa -- memenuhi ruang acara. 

Beberapa petikan surat dibacakan, mengundang rasa hening dan sebak kerana ia mendedahkan sisi rapuh seorang tokoh yang sering diselubungi aura keagungan.

Beberapa sarjana menyifatkan buku ini sebagai “hadiah intelektual” yang penting, kerana ia bukan sahaja mengisi ruang kosong dalam sejarah, malah membuka peluang untuk memperkaya wacana mengenai hubungan Timur-Barat, krisis identiti Muslim, dan politik fitnah.


Asad, Lebih Dekat Dari Sebuah Tafsir

Apa yang membezakan The Unpublished Letters of Muhammad Asad daripada karya beliau yang lain ialah suaranya yang intim. Di sini kita menemui Asad sebagai manusia biasa: kecewa, rindu, rapuh, tetapi tetap teguh.

Buku ini menjadikan sejarah hidup kembali, bukan sekadar fakta, tetapi pengalaman emosi yang dapat dirasai pembaca. Ia seolah-olah kita duduk berhadapan dengannya, mendengar cerita yang tidak sempat dicatat dalam buku-buku akademik.

Generasi baharu boleh menjadikan buku ini sebagai pintu masuk untuk mengenali karya Asad secara menyeluruh. Manakala pengkaji akan mendapati surat-surat ini membuka dimensi baru dalam menilai rangkaian intelektual dan geopolitik abad ke-20.



Relevansi Abadi pada Zaman Gelisah

Mengapa surat-surat seorang tokoh yang meninggal dunia lebih tiga dekad lalu masih penting? Kerana ia mengingatkan kita tentang nilai kejujuran pengalaman. 

Dalam dunia sarat polemik identiti, agama, dan geopolitik, kisah Asad membuktikan bahawa jambatan sentiasa boleh dibina walau dalam keadaan paling getir.

Surat-surat ini juga mengajar bahawa integriti dan prinsip jauh lebih berharga daripada kuasa atau jawatan. Bagi umat Islam hari ini, ia adalah pesan agar tidak gentar mempertahan kebenaran, meskipun berdepan badai fitnah.


Potret Batin Seorang Reformis

Pelancaran The Unpublished Letters of Muhammad Asad hanyalah langkah awal. Siri wacana dan diskusi tentang pemikirannya dijangka menyusul selepas ini. 

Kehadiran khalayak pelbagai generasi di Harta Space membuktikan bahawa warisan intelektual Asad terus hidup.

Lebih daripada sekadar koleksi surat, buku ini adalah potret batin seorang reformis Islam. 

Dari Granada ke Pakistan, dari penjara ke dewan diplomasi, dari fitnah ke solidariti, setiap helaian membuka ruang untuk memahami keberanian, kejujuran, dan kesetiaan seorang insan kepada kebenaran yang diyakininya.

Surat-surat sunyi itu akhirnya berbicara semula -- dan suara Asad terus bergema, menuntun generasi hari ini untuk melihat Islam dengan mata yang jernih, dan hati yang berani. - KitaReporters


Mohamed Nasser Mohamed ialah Editor Perunding lebih 150 penerbitan sejak tahun 2008, selain aktif berpuisi dan menulis blog. Artikel ini adalah pandangan penulis.


7
13
0
15
0
You will be interested