Selera & Santai 10 Dec, 2025

Simbol kesepakatan, perpaduan! Nasi ambeng kekal pilihan rakyat! Makanan tradisi untuk pelancong!

Share this

Nasi Ambeng menjadi menu tradisi dalam setiap majlis kenduri masyarakat Jawa di negara ini, terutama sekali di Johor, Selangor dan Perak.



Berbeza dengan hidangan lain yang kebiasaannya dihidangkan bersama lauk berkuah dan sayur di dalam pinggan berasingan, nasi ambeng dihidangkan bersama pelbagai jenis lauk-pauk asli Jawa yang agak kering di dalam satu talam atau besen besar bersama nasi putih.

Satu talam nasi ambeng ini kebiasaannya untuk dikongsi bersama empat orang atau lebih bergantung kepada saiz dulang atau talam yang dihidangkan.

Di sesetengah kawasan, nasi itu kemudiannya dibahagikan kepada empat orang makan. Sayur dan lauk-pauk seperti ayam masak ungkep, ikan masin dan sayur campur goreng kemudian dibahagikan bersama-sama nasi.

Menyerlahkan lagi keunikannya, nasi ambeng ini turut dihidangkan bersama mi goreng atau lebih dikenali sebagai tumisan.

Hidangan unik tradisi nasi ambeng ini juga sebagai satu simbol kesepakatan, perpaduan dan tolak ansur penduduk kampung, masyarakat atau keluarga, selain tanda berbesar hati tuan rumah kepada tetamu yang menghadiri majlis kenduri tersebut.

Dimasak secara 'rewang' (gotong royong) oleh penduduk tempatan, makanan tradisi ini sebenarnya tidak rumit untuk disediakan. Ramuannya mudah diperoleh serta tidak mengambil masa yang lama untuk di masak dan dihidangkan.



Penulis amat menggemari nasi ambeng ini memandangkan penulis juga berketurunan jawa. 

Penulis sempat menemui peniaga dan pembuat Nasi Ambeng, Nor Lisa Safie, 52, pada 2 Disember 2025 lalu di gerainya.

Menurut Nor Lisa, masyarakat Jawa biasanya menghidangkan nasi ambeng pada majlis keramaian seperti kenduri doa selamat, kenduri arwah, bercukur, berkhatan dan majlis tahlil.

Katanya, perkataan 'ambeng' tidak ada maksud khusus tapi nasi ambeng itu sendiri bolehlah diterjemahkan sebagai hidangan perdana tradisi kerana ia sering kali dihidangkan pada majlis tertentu dan dimakan beramai-ramai.

"Nasi ambeng ini tidak berkuah. Lauknya kering sahaja, antaranya mi goreng, ayam masak ungkep, serunding, ikan masin, sambal goreng (tempe, tauhu dan kentang goreng yang dimasak bersama suhun) dan kacang tanah. Jika di Jawa, ia turut dihidangkan dengan peyek (rempeyek).

"Jika dimakan di dalam talam, kita memanggilnya nasi ambeng. Namun, jika ia dibungkus untuk makanan seorang dan dibawa pulang oleh tetamu, ia dinamakan 'berkat'," katanya ditemui di gerainya di Bandar Segamat.

Nor Lisa berkata, ada di sesetengah tempat, resipi nasi ambeng ini diubah dan dimodenkan, terutama dari segi masakan ayam.

"Ada yang memakannya bersama ayam masak kicap dan ayam masak merah tetapi kami di sini masih mengekalkan resipi asli hidangan ini melalui masakan ayam ungkep.

"Ayam ungkep ini dimasak dengan menggoreng ayam berkenaan, kemudian dimasukkan ke dalam rencah yang sudah digoreng terlebih dahulu serta dibiarkan sehingga sejam sebelum diangkat.

"Antara bahan yang digunakan untuk rencah ungkep adalah ketumbar, jintan, bawang putih dan merah, serai, lengkuas, bunga lawang, kulit kayu manis serta kunyit," katanya.



Nor Lisa berkata, setiap kali pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke kampung inap desa, kaum ibu di kampung berkenaan akan memasak nasi ambeng secara gotong-royong untuk dihidangkan.

Pelancong yang datang bukan sahaja boleh melihat cara penyediaannya, malah boleh sama-sama memasak nasi ambeng bersama penduduk. 

Rata-rata pelancong, termasuk dari Barat dan Asia menyukainya. Mungkin kerana makanan ini tidak terdapat di tempat-tempat lain dan ia juga tidak begitu pedas

Jenama nasi ambeng kekal meniti di bibir penggemar makanan tempatan. Makanan tradisi masyarakat Jawa Tengah yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat tempatan kerana keunikan serta rasanya yang enak.

Nasi ambeng memang terkenal sebagai antara menu unik masyarakat Jawa, namun tidak ramai sedar ia sebenarnya turut mencerminkan keunikan budaya dan gaya hidup masyarakat berkenaan sejak ratusan tahun dahulu. - KitaReporters

6
8
0
4
0
You will be interested