Sebut sahaja budu, pasti orang akan tahu ia berasal dari Kelantan. Sebut sahaja nasi dagang, pasti orang tahu ia dari Terengganu. Sebut sahaja asam pedas, pasti orang tahu ia berasal dari Johor dan Melaka.
Kalau dari Pahang? Pasti ramai akan menyebut ikan patin masak tempoyak!
Namun tahukah anda, Pahang juga terkenal dengan satu
lagi masakan iaitu sambal hitam. Masakan ini semakin hari semakin digemari
bukan sahaja oleh penduduk Pahang tetapi juga negeri-negeri lain.
Keunikan masakan ini bukan sahaja terletak pada rasa tetapi juga penyediaannya.
Bahan-bahan yang digunakan tidak banyak tetapi proses pembuatan memakan masa agak lama. Justeru tidak hairanlah kalau harga di pasaran agak mahal. Antara bahan-bahan utama untuk sambal hitam original ialah belimbing buluh, ikan bilis, cili api dan bawang merah.
Sambal hitam Pahang memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam untuk siap dimasak.
Malangnya pada hari ni, ada segelintir peniaga
sambal hitam menggunakan resipi yang tidak original kerana kesuntukan masa.
Mereka menggunakan kicap agar sambal cepat dan kelihatan hitam. Kalau ikutkan
resipi original, belimbing buluh perlu direbus sehingga berjam-jam sehingga
airnya kering dan menjadi hitam.
Itu tidak sepatutnya berlaku kerana kini semakin ramai pembekal belimbing buluh yang siap direbus wujud. Jadi, peniaga boleh mendapatkan bekalan tersebut dengan mudah.
Bagi seorang peniaga sambal hitam, Nurul Akmar Mohd Ariffin, 43, dia mengekalkan proses pembuatan sambal hitam original dengan menggunakan belimbing buluh yang didapati daripada pembekal.
Dia akui, kadang-kadang bekalan belimbing buluh sukar didapati dan harganya mahal. Namun, demi memberi kepuasan dan menjaga kualiti sambal hitamnya, dia sanggup mengeluarkan modal lebih.
Jadi, tidak hairan mengapa kebanyakan sambal hitam yang berada di pasaran harganya agak mahal.
Antara bahan utama sambal hitam ialah belimbing buluh. Foto: Google image.
Menurut wanita berasal dari Pahang dan kini menetap di Bandar Tasik Selatan, Sungai Besi, Kuala Lumpur ini, selain sambal hitam dia juga menjual kuih loyang.
Segalanya bermula pada tahun 2020 iaitu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama akibat penularan COVID-19 lagi.
Pada mulanya dia hanya suka-suka dan memberi kepada
rakan-rakan merasa sambal hitam air tangannya. Namun tidak disangka-sangka
timbul idea untuk menjadikannya satu perniagaan. Sehingga kini, jualannya mampu
mencecah RM3,000 sebulan.
"Bermula dengan memberi kepada seorang kawan untuk merasainya. Namun, tidak disangka dia berminat untuk menjualnya. Kemudian kawan-kawan yang lain juga turut melakukan perkara yang sama. Maka di situlah bermulanya perniagaan ini.
"Namun, tidak beberapa lama kemudian iaitu ketika PKP, saya terpaksa berulang-alik ke balai polis ambil borang kebenaran rentas daerah untuk cash on delivery (COD). Sale pun jatuh sedikit ketika itu," cerita ibu kepada empat orang cahaya mata ini.
Nurul Akmar (baju biru) membuat penghantaran COD kepada pelanggan.
Bercerita mengenai keistimewaan sambal hitamnya, menurut Nurul Akmar, proses pembuatannya memerlukan kesabaran yang tinggi. Setiap jam 8.00 pagi, dia sudah masuk ke dapur dan mula menyediakan bahan-bahan untuk membuat sambal hitam dan kuih loyang.
Dia beruntung kerana suaminya, Md Azerul Ruba'e, menolongnya menyediakan sambal hitam.
Menurut Nurul Akmar, oleh kerana suaminya bekerja secara dalam talian di rumah, jadi mereka dapat bersama-sama menguruskan perniagaan sambal hitam dan kuih loyang.
Suami turut membantu dalam menyediakan sambal hitam.
"Seawal pagi saya sudah ke dapur menyediakan bahan-bahan untuk membuat sambal hitam dan kuih loyang. Mengenai keistimewaan sambal hitam, saya tidak kedekut belimbing buluh, tak bubuh kicap, masak hampir lapan jam dan paling penting ia resipi original dari Pahang.
"Kemudian saya tidak menggunakan garam dan bahan perasa (MSG), cili dikisar sangat halus, ikan bilis dikisar kasar agar pelanggan dapat merasai keenakan sambal hitam yang sebenar dan membuat retot (kukus) agar sambal tahan lama.
"Saya akui kadang-kadang saya juga bergelut untuk mendapatkan bekalan belimbing buluh rebus kerana ia sukar didapati dan harganya yang mahal. Memandangkan ibu saudara mempunyai pokok belimbing buluh dan gemar merebusnya untuk dijadikan stok, maka saya membeli daripadanya," katanya.
Selain sambal hitam, dia juga menjual kuih loyang.
Cerita Nurul Akmar lagi, kebanyakan pelanggannya datang dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Mereka mendapat tahu tentang perniagaan tersebut dari Facebook milik Nurul Akmar dan terus melakukan tempahan.
Buat pelanggan dari Kuala Lumpur dan Selangor, pastinya ada berita gembira untuk anda!
"Kepada pelanggan yang ingin mendapatkan sambal hitam boleh lihat dalam Facebook saya (Nurul Akmar). Caj penghantaran, saya berikan percuma untuk orang Kuala Lumpur dan Selangor," ujarnya yang merancang untuk menjual sambal kentang pula pada masa hadapan. - KitaReporters
Buat pelanggan dari kuala Lumpur dan Selangor penghantaran adalah percuma.