Selera & Santai 07 Jun, 2024

Asam pedas cair Pak Bakau tambat selera! Puas hati selepas dihirup kuahnya! Sejarah panjang 64 tahun!

@amran mulup
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang kini bermastautin di Melaka. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Inilah asam pedas cair Pak Bakau yang cukup dikenali di sekitar Jalan Hang Tuah dan Stesen Bas Lama.


Sebut sahaja asam pedas cair, mungkin ramai yang tertanya-tanya apa uniknya sajian asam pedas itu. 

Bagi pelanggan yang pertama kali menjamah asam pedas itu pasti akan bertanya, "Kenapa cair sangat?" Namun setelah menghirup kuahnya wajah yang berkerut terukir rasa puas hati. 

"Tak sangka asam pedas cair ini sedap rupanya. Makan nasi mesti menghirup kuahnya dan tak cukup semangkuk, kuahnya mesti ditambah." Itulah ungkapan yang sering diluahkan pelanggan ketika merasai pertama kali sajian itu. 

Satu lagi keunikan asam pedas ini kerana dijual hanya ikan tenggiri semata-mata dan lebih menarik ikan itu dipotong dadu.


Suriana Muhammad memotong dadu ikan tenggiri di Restoran Asam Pedas Mohktar Abu Bakar di Jalan Graha Maju, Melaka.


Pengusaha Restoran Asam Pedas Mohktar Abu Bakar di Jalan Graha Maju atau lebih dikenali jalan bus station lama, Suriana Muhammad, 52, berkata, sebenarnya asam pedas ini cukup popular dalam kalangan penduduk di Melaka kerana sebelum ini dikenali asam pedas Pak Bakau. 

Katanya, asam pedas cair Pak Bakau sudah menjangkau usia 64 tahun selepas diwarisi anak-anak Pak Bakau serta menantunya sehingga kekal hari ini. 

Menurut Suriana, bapa mertuanya, Allahyarham Abu Bakar telah mula berniaga asam pedas cair sejak tahun 1960-an di tepi muara Sungai Melaka dan arwah suami sudah membantu sejak di zaman sekolah.

"Dari situ berpindah pula ke pasar lama berdekatan panggung Cathay (kini dikenali Panggung Bangsawan) sebelum bertapak pula ke Graha Maju sehingga kekal hari ini." 

Arwah suami, Mokhtar Abu Bakar mewarisi asam pedas cair dan kami meneruskan legasi Pak Bakau di Graha Maju. 

"Dulu kami jual asam pedas seawal pukul 6.30 pagi hingga tengah hari. 

"Siapa yang tak kenal asam pedas cair Pak Bakau sebab itu ramai pelanggan saya terdiri daripada 60 peratus pesara kerajaan. Mereka ini dah makan masakan ini sejak zaman muda hingga bersara," katanya lagi.


Suriana menumis asam pedas cair untuk disediakan kepada pelanggan di Restoran Asam Pedas Mohktar Abu Bakar di Jalan Graha Maju, Melaka.


Suriana berkata sejak suaminya meninggal dunia pada September 2022, legasi masakan itu diteruskan serta dibantu oleh tiga anaknya, Muhd. Faris, Nur Nabila dan Muhd. Izzudin Mokhtar. 

Katanya, sejak itu dia menguruskan restoran tersebut serta dibantu oleh tiga anaknya itu namun masih mengekal kelazatan dan kesedapan asam pedas cair. 

"Saya buka restoran ini pada pukul 8.00 pagi dan semata-mata menjual asam pedas cair dan pelanggan tetap dah menunggu," ujarnya. 

Suriana berkata, menyediakan asam pedas cair ini amat mudah tidak perlu daun kesom, serai dan sayur-sayuran, sebaliknya sudah cukup dengan cili kering yang dikisar dengan bawang putih dan bawang merah yang ditumis terlebih dahulu. 

Katanya, sedikit air asam jawa, garam dan gula secukup rasa dipantau tahap kecairan asam pedas itu baru dimasukkan ikan tenggiri yang dipotong dadu dan tidak sampai setengah jam boleh dihidang kepada pelanggan. 

"Satu set asam pedas cair dua ketul ikan tenggiri dijual pada harga RM12, selain itu kita ada ayam goreng, sotong sambal dan tauhu taugeh," ujarnya lagi.

Suriana berkata, restorannya hanya dibuka dari Isnin hingga Jumaat dari pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang manakala pada cuti hujung minggu dan cuti umum tidak dibuka. - KitaReporters


Suriana Muhammad dan anaknya, Muhd. Izzudin Mokhtar menunjukkan asam pedas cair di Restoran Asam Pedas Mokhtar Abu Bakar di Jalan Graha Maju, Jalan Hang Tuah, Melaka. 

12
15
0
10
0
You will be interested