Selera & Santai 25 Jan, 2024

Menikmati keindahan alam Hulu Selangor! Sungai, tasik, air terjun melambai pengunjung! Moh kita!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this

Pemandangan kawasan air terjun di Kalumpang


Walapun berpuluh-puluh tahun menetap di Selangor, saya tidak pernah sampai ke seluruh daerah Hulu Selangor kecuali ke rumah sahabat di Sungai Buaya dan Bukit Beruntung. 
Namun baru-baru ini tergerak hati untuk meninjau dan jalan-jalan cari makan sambil melihat keindahan alam di daerah tersebut. 

Memilih untuk melalui jalan lama Kuala Kubu ke Tanjong Mal memang kagum saya dengan suasana yang tenang nyaman dan sejuk mata memandang sepanjang laluan. 

Jalan raya yang cantik dan rata serta bersih memudahkan perjalanan dengan yang tidak perlu menghadap jem.
Negeri Selangor yang bersempadan dengan Pahang  kaya dengan tarikan pelancongan yang lebih ke arah kawasan alam semula jadi. 
Banyak lokasi menarik ada di Hulu Selangor seperti air terjun, hutan lipur dan kolam air panas yang sesuai untuk pengunjung bersantai pada hari cuti dan hujung minggu bersama keluarga dan sahabat handai.

Gerai makanan menjual lemang di tepi jalan menghala ke Kuala Kubu ikut jalan lama. 


Tapak menunggang kuda untuk anak-anak sebelum mandi manda.


Melalui jalan lama Bukit Beruntung ke Kuala Kubu terdapat banyak kedai dan gerai makanan. Ada gerai jual buah-buahan dan hasil tanaman kampung. 

Terdapat sebuah gerai menjual lemang yang strategik di satu kawasan jalan Bukit Beruntung ke Kuala Kubu yang redup cantik suasananya. Selain lemang ada juga pisang goreng, laksa, cendol dan ABC serta masakan goreng goreng seperti bihun, mee dan kuey teow. 
Bagi yang melalui jalan ini boleh singgah menikmati makanan di sini sebelum meneruskan perjalanan ke pusat pelancongan lain di situ atau terus ke Bukit Fraser atau Tanjung Malim. 
Salah satu tempat yang popular di kawasan Hulu Selangor adalah Sungai Iki, Kalumpang yang merupakan  destinasi mandi air sungai yang sangat menarik untuk dikunjungi. 
Terdapat banyak kemudahan-kemudahan asas untuk pengunjung disediakan seperti chalet, resort, training centre, titian gantung, tempat parking kereta, kawasan BBQ, pondok rehat, tempat makan dan sebagainya
Dengan air sungai yang sejuk dan suasana yang cantik memukau dan menyegarkan mata, ia antara lokasi kegemaran pengunjung. 
Bagi yang membawa anak-anak boleh layan mereka menunggang kuda dan melihat burung di mini zoo selain mandi manda. 
Pendek kata pengunjung pasti gembira dan terhibur dengan kunjungan dan percutian mereka. 

Cantiknya Tasik Widuri


Tasik Widuri di Taman Widuri, Bukit Beruntung, juga destinasi yang sentiasa menambat hati pengunjung yang datang ke Hulu Selangor. 
Jika mencari tempat untuk merehatkan diri dan mendamaikan fikiran Tasik Widuri sangat sesuai sekali. 
Boleh berehat dan berjalan jalan di tepi tasik sambil minum di warung di situ. Sambil itu lepaskan pandangan ke arah tasik biru luas terbentang. Hendak merakamkan gambar kenangan pun boleh. 
Terdapat banyak gerai jualan dan minuman tradisi, goreng goreng dan Western. Sambil minum boleh layan telefon dan menikmati tenangnya air tasik. Sejuk mata memandang tasik yang dikelilingi oleh pohon-pohon hijau melentuk liuk dihembus bayu.
Untuk tambah memori elok datang ketika matahari terbenam kerana suasananya yang sangat menarik. Matahari terbenam dengan cahaya kekuningan membias pada permukaan tasik. Warna biru air bertukar kuning keemasan seperti taburan emas di permukaan tasik. .
Tasik tersebut mempunyai kedalaman berbeza. Tempat paling dalam mencecah sehingga 50 meter sementara yang lain antara 20 hingga 30 meter. 

Pelbagai aktiviti disediakan di Tasik Widuri. Kayak, naik bot mengelingi  tasik dan lain lain lagi antara aktiviti yang boleh menggembirakan anda seisi keluarga. 


Suasana Tasik Widuri waktu matahari terbenam


Ada banyak lagi tempat menarik untuk diterokai di Hulu Selangor. Apa kata sekali sekala bertukar cuti ke luar dari Kuala Lumpur. Ubah angin menghirup udara segar kehijauan alam sekitar dengan melalui jalan lama sambil menikmati suasana hijaunya alam.

Rancang percutian anda yang akan datang. Apa kata ke Hulu Selangor. Google tempat tempat menarik di Hulu Selangor. 

Moga ada kelainan dalam percutian anda dan keluarga kali ini. - KitaReporters


Antara chalet yang terdapat di kawasan Air Terjun Iki di Kalumpang.

12
8
0
10
0
You will be interested