SEBUT mengenai makanan, lain tempat lain gaya persembahannya. Ada masanya, menu pun berlainan, bahan yang dimakan pun berlainan. Antara nak makan atau tidak sahaja!! : KitaReporters
Belut dibelah dua dan digoreng garing rangup. Enak bagi mereka yang biasa makan, ngeri bagi yang tidak biasa.
Teringat sewaktu berkunjung ke Guilin, China, kami grup tetamu Muslim ditempatkan di meja makanan halal. Alhamdulillah, penganjur peka dengan peraturan makan kami umat Islam. Namun dalam keghairahan untuk santap, terus hilang selera apabila terlihat sesuatu yang mengejutkan di dalam bekas lauk ayam.
Pengalaman di Padang Bukittinggi, Sumatera Barat, Indonesia pun menarik juga.
Lauk pauknya enak menepati selera, tetapi terkujat melihat belut melingkar di dalam piring. Kepala terangkat seperti hendak mematuk, sebiji macam anak ular!
Yang menghilangkan selera kami sewaktu di Guilin, melihat ayam dihidang bersama kepala tanpa dibuang bahagian yang tidak boleh dimakan.
Potongan kepala ayam masih berparuh dan berbalung. Kuku kaki juga tidak dibuang, tak senonoh betul!
Masyarakat kita (orang Melayu), wajib buang dahulu bahagian paruh, begitu juga kukunya. Nampaklah bersih malahan lebih senang dimakan.
Mengadap hidangan di Restoran Simpang Ampek, antara menunya, Belut Goreng Balado. Pertama kali mahu mencuba. "Saya tak berani" - Hamdan.
Di Bukittinggi pula, sewaktu singgah makan tengah hari di Restoran Simpang Ampek, belut dihidang melingkar dalam piring dengan tiga kepala terangkat, sederet.
Terus teringat amalan di luar tabii puak yang 'main hentam' makan termasuk haiwan pemangsa dan beracun, iaitu ular.
Belut pula memang boleh dimakan, namun disebabkan jarang tengok dihidang seekor penuh, terasa pelik bagi kami, tetapi biasa bagi masyarakat di sana.
Yang biasa kita temui di tempat kita, masakan belut sup dan goreng yang isinya dipotong kecil. Sekali ternampak melingkar di dalam piring, terus terkedu, geli geleman.
Kami bertiga, tidak sanggup menjamahnya. Tapi dua lagi 'enjoy' makan.
"Krup krap.. krup krap... rangup," katanya.
Pinggan kiri sekali, Belut Goreng Balado melengkapkan set hidangan tradisional Minang.
Menurut Haris Abu Talib, dia juga tidak biasa makan belut goreng seperti itu tetapi terliur dan ingin mencuba.
"Apa rasanya?"
"Nasib ia digoreng! Walaupun nampak ngeri, saya paksa juga makan untuk pengalaman.
"Saya patahkan dulu supaya tak nampak kepala, kemudian makan sedikit sambil menutup mata. Rasanya seakan ikan keli goreng, tetapi tak semanis ikan keli," ujar Haris setelah berjaya mencuba makan belut masak berlado.
Sementara saya dan Hamdan Hassan, sampai ke sudah tak berani mencuba. Sekadar bergambar dengan belut goreng yang melingkar di dalam piring hidang.
Apa pun, dalam diam-diam, piring berisi belut goreng berlado akhirnya kosong, sudah tentulah dihabiskan oleh dua lagi rakan yang duduk semeja.
Belut Kering Balado. - Kredit foto: Primarasa
Dari segi kesihatan, menurut laman sesawang hellodoktor.com, belut memang mempunyai banyak khasiat, antaranya baik untuk mata dan otak, mengurangkan kemungkinan diabetes, merendahkan risiko penyakit kardiovaskular, menguatkan tulang dan pembentukan DNA.
Ia juga dapat meredakan kesakitan haid, melindungi kulit dan mengurangkan kedutan.
Namun bagi mereka yang mempunyai masalah kolestrol, belut yang berprotein tinggi ini boleh meningkatkan lagi kadar kolestrol, justeru, elak daripada mengambilnya dalam jumlah yang banyak. - KitaReporters