Kereta kabel di Genting Hinglands tetap jadi tarikan dan kini selepas PKP 2.0 dan pelaksanaan pelancongan secara konsep gelembung, pelancong tempatan sudah boleh ke sana.
SUASANA di pusat pelancongan terkemuka negara, Tanah Tinggi Genting atau Genting Highlands lenggang dan sebahagian besar kompleks dan kiosk juga terpaksa ditutup apabila bilangan pengunjung tempatan dan pelancong asing jatuh menjunam sejak wabak Covid19 melanda dunia pada tahun 2020 lalu.
Tinjauan baru-baru ini, mendapati banyak kedai ditutup kerana pemilik ruang niaga itu dilaporkan tidak ada tenaga pekerja. Selama ini banyaknya kedai termasuk yang berjenama dari luar negara khususnya restoran dipercayai menggunakan pekerja asing.
Namun, keadaan diharapkan bakal berubah dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan perjalanan rentas sempadan antara negeri-negeri di bawah PKPP dan perancangan membuka pusat-pusat pelancongan secara konsep gelembungan pelancongan.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Genting Highlands
https://kitareporters.com/search?search=Genting+Highlands
Lenggang.... Bolehlah pergi bercuti ke sini nanti, cuma kena ikut SOPlah.
Difahamkan, sebaik saja Covid-19 melanda dan kesan perniagaan yang merosot mendadak, sebahagian besar pekerja asing yang ditugaskan di bahagian tertentu termasuk kasino, restoran, pusat beli-belah dan pembantu di bahagian pengurusan dapornya ditamatkan kontrak dan dihantar pulang.
Tinjauan juga mendapati tidak banyak aktiviti pelancongan diadakan dan pusat beli-belah terutama di SkyAvenue kelihatan `lesu` kerana sebahagian besar perniagaan utama termasuk pasar raya dan pusat makanan terkemuka `menutup` sementara perniagaan mereka.
Stesen bas dan van sebelum ini sibuk mengangkut pelancong dari dalam dan luar negara banyak tersadai dan stesen kereta kabel yang pada hujung minggu akan sesak kini lenggang dan laluan beratur yang berliku hanya tinggal kosong begitu saja.
Sendu.... kurangnya pelancong nak singgah.
Sehubungan itu, pengunjung berpendapat, Genting Highlands harus mengubah strategi perniagaan dengan mengutamakan pelancong tempatan sementara keadaan dunia kembali pulih.
Sebelum ini, Genting Highlands dikatakan memberi banyak perhatian menarik pelancong luar negara terutama dari China yang sebahagian besarnya menjadikan aktiviti judi itu sebagai satu bidang perniagaan yang menguntungkan.
`Kaki judi` ini akan bergerak dari kasino ke kasino dalam rangkaian pusat perjudian antarabangsanya. Mereka dikatakan mempunyai bilik-bilik khas dengan keistimewaan yang luar biasa yang menjadi sebahagian daripada tarikan utama di Genting untuk memikat pelancong asing.
Malah pelancong dari Singapura dikatakan paling tertarik untuk menghabiskan masa judi pada hujung minggu di negara ini kerana kadar pertukaran wang yang lebih murah.
Antara restoran terkemuka dunia yang sepatutnya dibuka di SkyAvenue.
Beberapa pengunjung dan bekas kakitangan Genting Highlands berkata, pusat pelancongan itu perlu kembali kepada orientasi asal perniagaan yang diasaskan oleh mendiang pemiliknya, Tan Sri Lim Goh Tong iaitu pusat hiburan keluarga.
Seorang bekas kakitangan Genting Highlands, Syah Noor berkata pusat itu perlu mencari jalan`memikat` pelancong tempatan dengan aktiviti kekeluargaan kerana lokasi peranginan itu sangat sesuai untuk istirehat disebabkan udaranya yang sejuk.
Ia bukan hanya tertumpu kepada sektor menarik keuntungan perjudian semata-mata.
Skyworlds yang sepatutnya dibuka pada 2020. Dari kereta kabel dah boleh lihat taman tema hiburan.
Tahun lalu, syarikat Genting Malaysia Bhd (Genting) mengambil putusan mengurangkan 3,000 pekerjaan yang merangkumi 15 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja bagi kasino mereka, demikian dilaporkan oleh agensi berita Bloomberg.
Memetik sumber yang tidak dinamakan namun mengetahui hal berkenaan, laporan itu menyebut proses pemberhentian berkenaan menerusi skim pemisahan sukarela itu menyebabkan pusat peranginan itu turut kehilangan kakitangan dan pakar chef terkenal yang sudah bertahun-tahun menaikkan imej pusat pelancongan ternama itu.
Genting - yang menggaji lebih 20,000 tenaga kerja setakat 2019 - sebelum ini menawarkan pemotongan gaji untuk kakitangan mereka sebagai sebahagian daripada proses penjimatan buat konglomerat yang ditubuhkan pada 1965 itu.
Tiada apa lagi yang perlu ditunggu di sini... Seorang kakitangan dapur berhenti untuk pulang ke Sabah selepas dia berkhidmat di Genting selama 4 tahun.
Seorang pengunjung, Roslan Abdullah, 50, yang ditemui bersama keluarga berkata, dia datang untuk bersiar-siar di puncak tinggi itu tetapi sedih melihat pusat perniagaan banyak ditutup.
"Kalau sekadar untuk mengambil gambar baiklah kami pergi ke Cameron Highlands yang masih ada perniagaan hasil tani. Di sini, sudahlah kedai makan pun susah. Kerana anak-anak naik naik kereta kabel tulah yang kami datang," katanya.
Macam kata seorang lagi chef di Genting, Nor Azah Mahfuz, kenangan 19 tahun berkhidmat di Genting sangat mendalam.
Dia dan suaminya akan rindukan melihat suasana sesak orang bercuti, karenah pelancong Arab yang singgah di sini pada musim panas di negaranya.
Genting adalah pusat peranginan terbaik bukan saja sebagai tempat bekerja tetapi juga pusat istirehat, membeli-belah, pusat makanan terbaik di seluruh negara dan tempat hiburan yang dikunjungi ramai penghibur terkemuka dunia.
"Segala-galanya indah sebelum Covid-19. Saya membina kehidupan di sini, mendirikan rumah tangga dan menghantar gaji kepada ibu bapa kami.
"Bila suami ditawarkan VSS saya tidak mampu lagi bertahan seorang diri walaupun ganjarannya sangat hebat. Duit bukan segala-galanya. Saya lebih rindukan udara sejuk dan suasana bekerja sambil melihat pelancong bergembira bercuti di sini," katanya yang berhenti tiga bulan selepas suaminya ditamatkan kerja selama 15 tahun di hotel berkenaan.
Berikutan penutupan akibat pembaikian Arena of Star dan Genting Skyworlds, sebuah tema hiburan yang masih dalam pembinaan, menyebabkan pengunjung lebih tertumpu kepada aktiviti dalaman di Skytropolis.
Tetapi disebabkan pengunjung pun tidak ramai, taman hiburan itu tidak semeriah yang sebelum ini hendak berlegar-legar di kawasan itu pun akan `berlanggar bahu`. - Kitareporters