Momentum sukan permotoran lasak pacuan empat rota yang kian meningkat di negeri Terengganu kini mencipta penanda aras baharu setelah diumumkan sebagai salah satu dari 13 acara utama Kalendar Acara Tahunan (COE) untuk Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu bagi tahun 2026.

13 acara utama menjadi tumpuan disenaraikan dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) Negeri Terengganu 2026 sebagai usaha untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Ini sekali gus berada di landasan yang terbaik sebagai usaha untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang kini telah bermula.
Rentetan kejayaan penganjuran edisi ke-5 Terengganu 4x4 Merdeka Challenge yang berjaya menghimpunkan sebanyak 152 jentera lumba pacuan empat roda (4x4) melibatkan 304 peserta hampir dari seluruh negara pada tahun 2025 dilihat sebagai faktor utama untuk diiktiraf oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
Cabaran itu yang telah berlangsung di Bandar Kuala Nerus pada Ogos 2025 lalu telah membuka dimensi baharu sebagai salah satu produk pelancongan melalui penganjuran sukan.
Menambah momentum, terkini pasukan GG 4x4 yang berpangkalan dari negeri ini juga turut telah melakar sejarah di pentas kejuaraan dunia setelah meraih podium tempat ke-3 Rainforest Challenge Grand Final 2025 yang telah melabuhkan tirai di Gua Musang, Kelantan pada 10 Disember 2025 lalu.

Majlis pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan (COE) Negeri Terengganu 2026 disempurnakan oleh Razali Idris (dua dari kiri) dalam satu majlis yang telah berlangsung di sebuah hotel di Kuala Nerus, Terengganu pada 15 Disember 2025.
"Sukan lasak pacuan empat roda di negeri Terengganu ini mempunyai sejarah yang panjang sejak beberapa generasi terdahulu dan kini telah diangkat sebagai salah satu produk pelancongan negeri ini bagi mencipta satu lembaran baharu buat semua komuniti mahupun penggiat sukan lasak 4x4 ini khususnya di Terengganu.
"Secara peribadi, saya tidak melihat pengiktirafan ini ianya bersifat ekslusif sepenuhnya kepada kami selaku penganjur di mana sebenarnya ekosistem sukan ini di negeri Terengganu saling bekerjasama dengan kelab-kelab laub mahupun komuniti sukan 4x4 untuk turut sama mengangkat sukan ini sebagai produk pelancongan negeri Terengganu.," ujar Muhammad Muzzammil Mokhetar selaku pemegang taruh utama penganjuran Terengganu 4x4 Merdeka Challenge yang telah bermula sejak pada tahun 2023.

Lebih daripada 100 penganjuran acara dijadualkan untuk berlangsung bagi merancakkan sektor pelancongan negeri Terengganu, sekali gus memberi tambah nilai bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menjadi agenda nasional bermula pada tahun hadapan (2026).
Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT4x4) menjelaskan kunci kejayaan penganjuran selama ini adalah merupakan hasil kerjasama penganjuran dengan beberapa kelab tempatan seperti Kelab Terjoh! 4x4 Kuala Terengganu dan GG 4x4 yang hadir dengan pengalaman serta kepakaran masing-masing khususnya melibatkan teknikal penganjuran.
Seterusnya sebagai sebagai usaha untuk menarik lebih ramai jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini mahupun untuk mempromosikan sukan lasak pacuan empat roda ini dalam kalangan komuniti rekreasi, Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT4x4) bersama beberapa kelab-kelab pacuan empat roda tempatan kini turut sedang merangka satu program ekspedisi sejauh 60km menempuhi hutan belantara di Hulu Terengganu.

Sukan lasak pacuan empat roda (4x4) di Terengganu diiktiraf sebagai produk pelancongan baharu yang mampu untuk merancakkan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pada majlis yang sama, turut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris ialah kerjasama strategik antara Jabatan Pelancongan Negeri dan Kebudayaan Negeri Terengganu bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia yang memberi tambah nilai yang besar untuk turut sama menjayakan kempen TMM 2026 dengan pelbagai produk pelancongan dari negeri pantai timur ini.
Untuk rekod, Terengganu 4x4 Merdeka Challenge 2026 merupakan sebahagian dari 13 acara utama dan lebih dari 100 acara sampingan yang telah diumumkan dalam satu majlis yang telah berlangsung dengan penuh meriah di sebuah hotel di Kuala Nerus pada 15 Disember 2025. - KitaReporters/Kenyataan Media
