Selera & Santai 23 Mar, 2023

Kurma wajib pada bulan Ramadan! Mahal tetapi berkhasiat! Baik untuk kesihatan! Selamat berpuasa!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this


Sememang lumrah masyarakat Islam ketika kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, pasti buah kurma menjadi antara juadah utama ketika berbuka puasa dan bersahur.

Walaupun harganya dikatakan agak mahal seperti kurma Ajwa atau Nabi, namun ianya memiliki kandungan protein, asid folid, zat besi, kalsium, dan antioksida yang cukup tinggi.

Kurma Ajwa dijual dengan harga lebih RM100 sekilogram sehingga boleh mencecah RM150/kg mengikut saiz dan gred.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan buah kurma

Gambar hiasan... Setiap kali bulan Ramadan tiba, pasti umat Islam di seluruh dunia akan mencari-cari buah kurma kesukaan mereka untuk berbuka puasa atau bersahur. - Kredit foto: Bisnis.com.


Di Malaysia, terdapat pelbagai lambakan jenis kurma seperti Rabbi, Mazafati, Medjool, Safawi, Sayer, Zahidi, Nour, Dayri, Ajwa dan sebagainya. 

Rasulullah SAW sendiri berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum baginda menunaikan solat.

Dalam satu hadis: “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji kurma sebelum sembahyang. Sekiranya, tiada kurma, maka baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka, baginda meminum beberapa teguk air." (Riwayat Ahmad)

Menurut  Pakar Pemakanan atau Diet , kurma sebenarnya menyumbang  tenaga serta-merta kepada mereka yang memakannya dan amat sesuai bagi golongan berpuasa  sehingga 12 jam atau lebih bagi negara-negara tertentu.


5 jenis kurma popular di Malaysia:


1. Kurma Ajwa

Kurma ajwa adalah jenis kurma kesukaan Nabi berasal dari Madinah dan juga yang paling diminati oleh umat Muslim di dunia. Ciri-ciri kurma ajwa yang asli adalah:

·         Warnanya hitam pekat.

·         Ada beberapa garis kecil.

·         Rasanya sedang, tidak terlalu manis.

·         Bertekstur lembut.


2. Kurma Medjool (Majdoul)

Kurma Medjool tumbuh di iklim yang panas kering seperti di Asia barat dan Afrika.

Isi buahnya gemuk, lembab, dan manis. Kurma ini mengandungi serat dan mineral penting seperti potassium, magnesium, tembaga, dan mangan. 

·         Berwarna coklat gelap.

·         Rasa sederhana manis dan berlemak.

·         Isi buahnya gemuk dan bertekstur lembut.

·         Sedap di buat susu kurma.


3. Kurma Safawi

Kurma Safawi terkenal di Madinah dan Mekah. Kebiasaannya, pohon kurma Safawi adalah produktif, itulah yang membuat kurma Safawi lebih banyak tersedia dan mudah didapat dibandingkan dengan kurma-kurma lain. 

·         Warna coklat gelap.

·         Rasanya lazat, manis mirip dengan rasa kurma Ajwa.

·         Isi buahnya agak lembab dan bertekstur lembut.


4. Kurma Deglet Nour (Kurma bertangkai)

Kurma Deglet Nour berwarna kemerahan hingga kekuningan, rasanya halus meski pun tidak semanis dan selembab kurma Medjool. Deglet Nour adalah kurma yang paling banyak ditanam di Afrika Utara.

Kurma ini disebut Deglet Nour kerana membawa maksud kurma cahaya (tembus cahaya). Uniknya, biji dalam isi buah boleh dilihat saat kurma ini didekatkan ke cahaya. Ia juga dikenali sebagai kurma bertangkai di Malaysia. 

·         Warna kemerahan hingga kekuningan.

·         Rasanya halus meski tidak semanis dan selembab kurma Medjool.


5. Kurma Mabroom

Memiliki buah yang ramping, panjang, dan padat. Rasanya tidak terlalu manis. Kurma Mabroom kaya akan serat, vitamin, dan mineral. Termasuk kurma kelas premium dan mahal harganya.

·         Berwarna coklat gelap.

·         Memiliki buah yang ramping, panjang, dan padat.

·         Rasanya tidak terlalu manis.

·         Tekstur sedikit liat.


Panduan pengambilan buah kurma:


 

1.       Bagi orang dewasa yang sihat, mereka boleh  mengambil tiga biji kurma semasa berbuka dan bersahur.

2.       Berlainan pula bagi pesakit kencing manis yang terkawal kandungan gula dalam darah mereka, iaitu hanya dibenarkan satu biji kurma sewaktu berbuka dan satu biji lagi sewaktu bersahur.

3.       Pakar diet mengingatkan masyarakat agar tidak mengambil kurma secara berlebihan iaitu lebih daripada 10 biji sehari.


Kebaikan dan Khasiat:


·         Sebenarnya tiga biji kurma dikira sebagai satu hidangan buah-buahan kerana mengandungi 15 gram gula iaitu bersamaan satu pertukaran karbohidrat.

·         Mengikut Piramid Makanan Malaysia, keperluan pengambilan buah-buahan adalah dua hidangan setiap hari.

·         Namun, masyarakat disarankan mengambil satu hidangan kurma dan satu hidangan buah-buahan yang lain sebagai kepelbagaian sumber vitamin dan mineral.

·         Buah kurma mengandungi nutrisi yang baik serta sumber kalium (potassium), zat besi yang tinggi.

·         Ia sangat baik untuk menyeimbangkan kadar elektrolit  tubuh, menormalkan degupan jantung dan tekanan darah.

·         Sebaliknya, ia tidak sesuai bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang atau dialisis.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022, Malaysia mengimport  buah kurma sebanyak RM48.1 juta bagi memenuhi permintaan semasa bulan Ramadan.

Menurut  rekod pecahan negeri pula, Pulau Pinang merupakan pengimport tertinggi  iaitu sebanyak RM20.3 juta (42.2 peratus), diikuti Selangor RM15 juta atau 31.1 peratus dan Kuala Lumpur RM6.9 juta (14.4 peratus).

Syarikat Yusuf Taiyoob Sdn Bhd yang berpusat di Pulau Pinang merupakan antara pengimport terbesar kurma negara iaitu sebanyak 5,000 tan buah kurma dicatatkan pada tahun 2019.

Syarikat yang ditubuhkan sejak 1988 turut membekalkan pelbagai jenis kurma bagi memenuhi 80 peratus permintaan umat Islam di Malaysia dan baki 20 peratus pula untuk pasaran beberapa negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan sebagainya. - KitaReporters



Sumber:

https://www.sinarharian.com.my/article/26261/sinar-islam/panduan-pengambilan-kurma-pada-bulan-ramadan

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/04/945264/malaysia-import-rm481-juta-kurma-pada-februari

https://beautifulnara.com/jom-kenali-5-jenis-kurma-paling-sedap-popular-di-malaysia/

15
16
0
13
0
You will be interested