Selera & Santai 04 Apr, 2023

Video| Hikmah di sebalik 2 tahun COVID-19, PKP! Lahirnya Kebun Sekolah Alam Zarraz! Milik Dr Suraya!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this

Dr Suraya Ariffin memberi penerangan mengenai kompleks Kebun Sekolah Alam Zarraz. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim


Setelah berpuluh-puluh tahun mengabadikan diri sebagai seorang ahli perubatan alternatif dan komplimentari serta aktif mengendalikan rawatan melalui klinik Zarraz Medicare di Cheras,  Dr Suraya Ariffin kini tidak lagi dapat ditemui di klinik itu kerana beliau telah menutup pusat itu beberapa bulan lalu, namun masih aktif menabur bakti dalam bidang berkaitan tetapi khusus untuk Ahli Kelab Zarraz.

Alasan penutupan katanya kerana usia sudah mencecah 60-an justeru beliau mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada sesuatu usaha yang lebih bermakna dan meluas yang dapat memberi kepuasan kepada dirinya dengan menghabiskan masa di rumah.



Kolam renang mini yang disediakan di halaman Kebun Sekolah Alam Zarraz, boleh diguna oleh ahli Kelab Zarraz. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim


"Kini rawatan hanya terhad untuk ahli kelab, di samping itu saya melaksanakan pelbagai kegiatan lain iaitu mengajar ilmu rawatan secara holistik dan penyediaan pemakanan yang baik untuk kesihatan. 

"Ahli Kelab kami ramai, sekitar 3,000 orang dan mereka adalah supporters saya sepanjang saya membuka klinik, mereka adalah dalam kalangan bekas pesakit saya dan kepada mereka ini saya dari semasa ke semasa menganjurkan kegiatan yang bermanfaat berkait dengan hal-hal kesihatan dan penyediaan pemakanan rawat diri semula jadi," katanya ketika ditemui.


Kolam ikan pun terdapat di Kebun Sekolah Alam Zarraz, meliputi ikan koi, tilapia dan ikan jenis lain. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim


Sebagai seorang ahli perubatan alternatif dan komplimentari, Dr Suraya amat meyakini Energy Based Medicine, iaitu perubatan berasaskan Tenaga seperti Homeophaty, Schussler Biochemic, Bach Flower Remedies dan Perubatan China Tradisional yang mengambil kira Ying dan Yang dalam pemakanan seharian.

Zarraz Medicare memberi konsultasi kesihatan melalui perubatan komplimentari dan alternantif tanpa penggunaan unsur dadah yang mempunyai kesan sampingan.

Ilmu yang diperolehi daripada latihan dalam bidang Bio Identical Hormone Theraphy serta Nutrition and Evironmental Medicine dipraktikkan di Klinik Zarraz Medicare, pusat yang merangkumkan kesemua ilmu yang beliau tahu dalam memberi khidmat nasihat terbaik kepada individu memerlukan.

Biarpun klinik di Cheras itu sudah tiada namun kini rumahnya menjadi pusat bertemu pesakit daalam kalangan ahli Kelab Zarraz. 


Bangunan dibina mengekalkan bentuk asal muka bumi yang berbongkah batu. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim


Penulisan ini sebenarnya mengkhususkan kepada tempat kegiatan beliau sekarang yang dinamakan Kebun Sekolah Alam Zarraz yang terletak di Zarraz Eco Valley, Batu 11, Hulu Langat, Selangor, yang juga kediaman beliau. 

Nama itu katanya mengambil sempena kegiatan beliau mengajar ilmu yang berkait dengan alam di situ, ditambah pula dengan kegiatan berkebun untuk sumber pemakanan asli.

Empat aktiviti utama beliau di situ adalah berkebun meliputi bercucuk tanam dan menternak, mengendalikan kelas ilmu berkait alam termasuk perawatan dan penyediaan makanan untuk kesihatan, pusat tahfiz dan kegiatan madrasah.


Video misi pencarian Kebun Sekolah Alam Zarraz yang tersembunyi di sebalik hutan di Hulu Langat, Selangor. - Kredit video: YouTube Rashidah Ibrahim


Dek kerana urusan untuk memulangkan sesuatu kepada Dr Suraya, penulis langsung berpeluang mengunjungi Kebun Sekolah Alam Zarraz, lantas beliau bercerita panjang lebar mengenai punca tercetusnya idea untuk membangunkan Kebun Sekolah Alam Zarraz, yang berlangsung selama dua tahun, yang bermula hujung 2019.

Beliau berkata, PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan wabak Covid-19 selama dua tahun, itulah hikmahnya kepada beliau dan suami, iaitu terbangunnya Kebun Sekolah Alam.

Zaman PKP dan Covid-19 memang susah, sangat susah buat semua orang namun Dr Suraya menyifatkan apa yang berlaku itu baginya adalah seperti "A Blessing in disguise" (rahmat yang terselindung).

Rahmatnya adalah satu kawasan tanah yang sudah lama beliau beli tetapi selama ini tidak dapat berbuat apa apa kerana halangan terdapatnya bongkah bongkah batu besar yang tidak boleh dipecah atau ratakan, berjaya dibangunkan. 

Pertemuan dengan warga asing yang dalam kesusahan tiada sumber pekerjaan dan terkandas tidak dapat pulang ke tanah air, tiba-tiba tercetus idea daripadanya dan suami untuk membangunkan tempat itu. 

Bermula dengan dua orang pekerja menjadi 10 orang dan selepas dua tahun semuanya selesai, kini mereka semua sudah pulang, kecuali dua yang masih bekerja menyelenggara tempat itu, ulasnya.


Video temu bual dengan Dr Suraya mengenai pengalaman membangunkan Kebun Sekolah Alam Zarraz. - Kredit video: YouTube Rashidah Ibrahim


Kompleks itu dibangunkan dengan mengekalkan bongkah batu sedia ada dan bangunan-bangunan dibina menggunakan batu bata dan konkrit, digandingkan dengan bahan alami iaitu buluh dan kayu, yang dibina mengambil kira bentuk asal tapak berkenaan. 

Saksikan video, satu video hasil pembangunan Kebun Sekolah Alam Zarraz semasa zaman PKP yang meliputi rumah kediaman, pusat tahfiz, madarasah, reban ternakan, kolam mandi, kolam ikan serta kolam air terjun, dan kedua, video temu bual dengan Dr Suraya.

Ceritanya sangat menarik! - KitaReporters


Sepuluh tukang yang terbabit membangunkan Kebun Sekolah Alam Zarraz mempunyai kelebihan tersendiri, ada yang pandai dalam bidang binaan batu, ada yang pakar dalam bidang kayu dan ada yang arif dalam bidang mencari dan membina bahan daripada buluh, tidak terkecuali ada juga yang pandai melukis, kata Dr Suraya. - Kredit foto: Rashidah Ibrahim

13
15
0
10
0
You will be interested