Selera & Santai 19 Oct, 2021

Video| Perlukan tindakan! Baung ekor merah pemusnah ekosistem sungai! Jadi kebimbangan pemancing

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this


Antara beberapa orang ahli kumpulan River Monster Hunter Malaysia yang berjaya mendaratkan spesies baung ekor merah di Sungai Selangor berhampiran kawasan Batang Berjuntai, Selangor. - Kredit foto: FB Group River Monster Hunter Malaysia dan Team Teluk Intan River Cross.


KALAU memang benar ia fakta, sudah sampai masanya pihak yang bertanggungjawab melakukan tindakan berkesan segera bagi mengawal dan memusnahkan benih baung ekor merah berasal dari Sungai Mekong (Kemboja, Vietnam, Laos dan Thailand) yang dikategorikan sebagai spesies pemusnah agresif. Ikan jenis ini dikatakan sudah banyak terdapat di Selangor dan Perak.

Dikenali dengan nama saintifiknya Hemibagrus Wyckloides atau Asia Redtail Catfish dan lebih dikenali sebagai baung ekor merah dalam kalangan para pemancing tempatan mungkin tidak ramai yang mengetahui ia disenaraikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) antara 32 spesies ikan yang dilarang dilepaskan ke sungai, tasik dan lombong seluruh negara

Sehubungan itu, usaha perlu dilakukan segera termasuk melalui kerjasama para pemancing tegar, persatuan pemancing, badan-badan NGO bagi melakukan sesuatu bagi mengawalkan spesies yang disifatkan sebagai monster (raksasa) kerana ia merupakan jenis haiwan pemangsa agresif bila sampai masa matangnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan memancing

Antara beberapa ekor baung ekor merah yang berjaya ditangkap oleh pemancing di Sungai Perak berhampiran Teluk Intan.


Malahan yang lebih membimbangkan kerana baung ekor merah adalah pemusnah ekosistem sungai termasuk hidupan seperti udang dan ikan-ikan yang jauh lebih kecil saiznya.

Ramai dalam kalangan pemancing atau nelayan darat berjaya memperolehi ikan jenis ini dalam kegiatan mereka memancing atau menahan bubu serta jaring di beberapa kawasan sekitar Sungai Perak dan Sungai Selangor. Malahan ada antara mereka mampu menaikkan spesies ini antara 15 hingga 30 kilogram seekor.

Baung ekor merah ini bila sampai tempoh matangnya boleh mencecah hingga lebih 50 kilogram seekor dengan saiz boleh menjangkau lebih 1 meter.


Antara baung ekor merah yang beratnya 20 hingga 30 kilogram yang berjaya di pancing oleh ahli Kumpulan River Monster Hunter Malaysia di Sungai Selangor sekitar kawasan Batang Berjuntai, Selangor.


Dengan berlakunya kejadian sangkar peliharan ikan pecah di Sungai Perak berhampiran Teluk Intan baru-baru ini, lalu terbongkar rahsia kepada umum bahawa baung ekor merah ada dipelihara oleh pengusaha ternakan ikan berkenaan.

Sejumlah 30 tan metrik spesies berkenaan dipelihara dalam sangkar tanpa mendapat kebenaran Jabatan Perikanan Perak di samping ikan-ikan lain.

Dalam kejadian tersebut, sejumlah hampir 300 sangkar dimuatkan dengan Talapia 60 tan, patin biasa 60 tan, patin hifin 150 tan, baung kuning 20 tan, kerai 5 tan dan jelawat putih 5 tan pecah dihanyutkan arus deras ketika air pasang besar. 

Sebahagian ikan-ikan tersebut terlepas keluar dan sebahagian lagi mati. Pengusaha tenakan ikan berkenaan mendakwa kerugian RM7 juta akibat kejadian tersebut.  

Malahan dengan kejadian itu ada hikmahnya di mana ini ada pengusaha ternakan ikan sangkar yang tertentu tidak mematuhi peraturan pihak Jabatan Perikanan dengan memelihara spesies baung ekor merah.

Bagi para pemancing dan nelayan darat di sekitar kawasan Sungai Perak khususnya berhampiran tempat kejadian sangkar pecah tersebut perlu berhati-hati kerana terdapat banyak spesies berkenaan di situ.

Selepas kejadian itu beberapa penduduk dari kampung-kampung di pinggir Sungai Perak berhampiran Teluk Intan seperti Kampung Gajah, Kampung Sungai Buaya dan beberapa kampung lain yang melakukan aktiviti memancing berjaya memperolehi antara tiga hingga sembilan ekor spesies jenis ini sekali turun memancing.



Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri menurut laporan Bernama menyatakan hasil siasatan yang dijalankan  terhadap pengusaha ternakan ikan sangkar pecah berkenaan didapati turut memelihara baung ekor merah yang dikategori sebagai spesies pemangsa dan menyalahi peraturan ditetapkan.

Malahan beliau mengakui di Sungai Perak memang terdapat spesies baung jenis ini terutama di sekitar tempat sangkar ternakan ikan yang pecah itu kerana diberi makan palet ia jadi jinak.

Harapan Zaki, baung ekor merah yang terlepas ke sungai dapat ditangkap oleh para pemancing atau nelayan darat sekitar kawasan berhampiran.

Beberapa misi menjejaki spesies berkenaan dilakukan oleh beberapa kumpulan individu di Sungai Perak berhampiran Teluk Intan. 

Tujuan mereka ialah untuk mengurangkan populasi baung ekor yang mampu megurangkan hidupan sungai termasuk udang dan pelbagai jenis ikan yang saiznya kecil untuk jangka masa panjang.


EXCO  Perladangan,Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria bersama pegawai Jabatan Perikanan semasa meninjau sangkar ternakan ikan yang pecah di Sungai Perak berhampiran Teluk Intan kerana dihanyutkan air pasang besar.


Di Selangor antara kawasan banyak didapati ikan jenis ini ialah di Sungai Selangor sekitar kawasan Batang Berjuntai hingga ke Bangi Lama dan Sepang. Ramai yang berjaya menaikkan baung ekor merah semasa aktiviti memancing.

Malahan ada kalanya jika bernaib baik, pemancing mampu memperolehi ikan jenis itu hingga 30 kilogram seekor.

Menurut jurucakap Group River Monster Hunter Malaysia (RHM), Jeffry di sepanjang Sungai Selangor terutama di kawasan Batang Berjuntai, Kuala Selangor baung ekor merah dikenali dengan panggilan BEM semakin banyak membiak dan membesar.

Beberapa orang ahli kumpulan termasuk  beliau sendiri berjaya mendaratkan baung ekor merah antara 20 hingga 30 kilogram dengan menggunakan umpan ikan puyu dan keli hidup.


Salah seekor speseis baung ekor merah dengan saiz yang agak besar berjaya dinaikkan oleh seorang pemancing di Sungai Selangor di kawasan Batang Berjuntai.


Purata saiz spesies berkenaan antara 20 hingga ke 60 kilogram layak digelar raksasa kerana tidak dapat ditandingi spesies-spesies ikan lain yang ada di Sungai Selangor lebih-lebih lagi udang atau ikan jenis lain.

Katanya, ramai ahli kumpulan RMH yang lain menaikkan BEM kerana dijalankan secara teamwork (berpasukan) melalui misi pemburuan tersebut.

"Aktiviti pemburuan BEM oleh ahli-ahli boleh diikuti melalui laman sosial FB milik Group River Monster Hunter," ujarnya.

Usaha perlu dijalankan terutama melalui kerjasama Jabatan Perikanan supaya spesies baung ekor merah dapat dikawal populisinya daripada terus membiak di sungai-sungai di negara ini supaya keadaan ekosistemnya terutama untuk ikan-ikan dan udang terus terpelihara daripada kemusnahan untuk jangka panjang. - KitaReporters


Inilah antara beberapa ekor baung ekor merak yang berjaya dipancing oleh seorang pemancing di Sungai Perak berhampiran Teluk Intan, Perak.

18
22
0
14
0
You will be interested