Selera & Santai 20 Sep, 2021

Aktiviti pikat burung bukan hanya sekadar hobi! Mampu jana pendapatan sampingan ribuan ringgit!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Zulkarin Isa sedang memasang racik yang berfungsi sebagai jerat kepada burung liar yang datang untuk berlaga dengan burung pemikat. 


AKTIVITI memikat burung bukan lagi sekadar hobi atau untuk kepuasan diri semata-mata, malah 'kegilaan' kepada burung sudah menjadi sumber pendapatan sampingan yang lumayan kepada banyak 'kaki burung'  kerana mereka mampu menjual seekor burung pikat dengan harga mencecah ribuan ringgit.

Zulkarin Isa, 53, seorang kaki burung yang telah lebih 25 tahun menjadi pemikat burung tekukur dan merbuk mengakui mampu memperolehi pendapatan tambahan walaupun hanya melakukan ativiti memikat burung bagi mengisi masa terluang selama ini.

"Walaupun ada yang memandang sinis kepada kami kononnya hanya membuang masa berjam-jam lamanya untuk menangkap seekor burung, namun hakikatnya mereka tidak mengetahui kisah sebenar bahawa kami memperolehi pendapatan agak lumayan hasil melakukan aktiviti ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan burung

Racik merupakan salah satu peralatan yang diperlukan untuk aktiviti memikat burung.


Bakul khas yang diperbuat daripada rotan digunakan oleh kaki burung sebagai bekas pemikat untuk dibawa ke lokasi memikat.


"Namun semua pandangan negatif masyarakat terhadap hobi memikat burung tidak pernah melunturkan semangat saya serta rakan lain untuk meneruskan aktiviti ini kerana sedikit sebanyak ia mampu menambah pendapatan kami sebagai pekebun yang tidak seberapa ketika ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Tenang, Labis, Johor.

Malah katanya, motosikal yang digunakan untuk mencari rezeki ketika ini juga adalah hasil daripada jualan dua ekor burung tekukur yang sudah dilatih selama dua tahun untuk dijadikan 'pemikat' kepada seorang kaki burung beberapa tahun lalu.

Menurutnya,setakat ini harga paling mahal burung pemikat yang pernah dijualnya adalah RM2,700 seekor dan harga pasaran burung pemikat bergantung kepada banyak faktor seperti kemerduan bunyi serta kemampuan untuk 'membunuh' iaitu istilah kaki burung yang merujuk kepada jumlah burung liar yang dapat ditangkap menggunakannnya sebagai pemikat ketika dibawa memikat.


Mohd. Faizal memastikan burung pikatnya selesa dan mahu berbunyi untuk memanggil burung liar ketika pergi memikat burung tekukur.


Sementara itu rakannya, Mohd Faizal Jamil, 39, memberitahu terdapat dua kaedah popular yang digunakan oleh 'kaki burung' untuk untuk menangkap burung liar iaitu menggunakan sejenis alat yang dinamakan 'racik' atau  'jebak' di mana kedua-dua kaedah ini memerlukan burung pemikat bagi menarik perhatian burung liar.

Katanya, perbezaan kedua-dua kaedah tersebut ialah racik adalah tali jerat yang dicacak di tanah akan menjerut kaki burung liar yang datang untuk berlaga dengan burung pemikat sementara jebak adalah perangkap yang menyerkup burung yang hinggap pada sebatang ranting kayu yang fungsi sebagai suis ketika cuba menyerang burung pemikat.

Menurutnya lagi, berbanding racik, penggunaan jebak yang selalunya digantung pada pokok, burung pemikat akan  lebih selamat daripada serangan haiwan pemangsa seperti burung helang dan biawak kerana ia terkurung di dalam bekas berbentuk sangkar, sementara menggunakan racik, burung pemikat hanya diletakkan di tanah tanpa sebarang perlindungan.


Tumang yang diperbuat daripada sebatang tembaga digunakan sebagai tiang tempat mengikat tali burung pemikat supaya tidak terlepas ketika aktiviti memikat.


Jebak merupakan salah satu peralatan yang sering digunakan kaki burung sewaktu aktiviti memikat burung liar.


Mohd Faizal memberitahu, bunyi suara burung pemikat yang baik bukan faktor penentu seorang pemikat akan akan pulang dengan hasil tangkapan memuaskan kerana kegarangan serta keberanian burung liar untuk datang berlaga dengan burung pemikat turut memainkan peranan.

"Tidak semua burung liar yang berjaya ditangkap boleh menjadi burung pemikat, sebaliknya bergantung kepada nasib di mana terdapat burung yang hanya memerlukan hanya beberapa bulan dilatih dengan membawanya ke hutan untuk memikat sebelum mahu berbunyi memanggil burung liar dan terdapat juga burung yang memerlukan masa yang lebih lama sehingga bertahun lamanya sebelum mampu menjdi burung pemikat.

"Saya  lebih gemar menggunakan jebak ketika memikat burung kerana merasakan burung pemikat saya lebih selamat daripada serangan musuh seperti burung helang, biawak dan anjing liar kerana terkurung di dalam jebak berbanding menggunakan racik di mana burung pemikat tidak terlindung," katanya.


Azman Abdul Jamal.


Sementara itu, rata-rata kaki burung yang ditemui mengaku berbolehan membuat sendiri peralatan berkaitan aktiviti memikat burung seperti racik, jebak, bakul burung, tali pengikat serta tumang. 

Azman Abdul Jamal, 39, berkata,  walaupun semua peralatan tersebut boleh dibeli dan harganya pun tidaklah semahal mana, namun ramai yangmemilih untuk membuatnya sendiri demi kepuasan diri.

"Kaki burung lebih suka membuat sendiri atau membeli daripada rakan pemikat lain kerana peralatan tersebut boleh dibuat mengikut kehendak dan kesesuain pengunaan mereka sendiri berbanding yang dibeli di pasaran.

"Walau bagaimanapun tidak kurang yang lebih senang membeli peralatan tersebut daripada rakan-rakan lain  sekali gus memberi peluang kepada mereka menambah pendapatan," katanya yang sudah lebih 10 tahun memikat burung tekukur.

Katanya, sebagai contoh racik yang terdapat di pasaran diperbuat daripada tali yang bersaiz agak kasar berbanding dengan membuatnya sendiri di mana mereka boleh memilih saiz tali yang dikehendaki. - KitaReporters


Salah seorang kaki burung di Felda Tenang, Labis, Baharum Said lebih gemar menggunakan jebak sebagai perangkap ketika memikat burung tekukur.

9
21
0
12
0
You will be interested