Onn Hafiz Ghazi mencuba kemudahan laluan masuk ke Zoo Johor ketika Program Walkabout Sempena Pembukaan Semula Zoo Johor pada 17 Ogos 2024 lalu. - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.
Orang ramai terutama rakyat negeri Johor yang masih tercari-cari lokasi untuk dikunjungi bersama keluarga sempena cuti sambutan Hari Kemerdekaan hujung bulan Ogos 2024 ini mahu pun cuti hujung minggu bolehlah melawat Zoo Johor yang akan dibuka semula kepada umum bermula 31 Ogos 2024 depan.
Apa yang lebih menarik, Zoo Johor
turut menawarkan potongan 50 peratus harga tiket kepada pengunjung dewasa warganegara
ini dan kemasukan percuma kepada kanak-kanak, warga emas serta golongan kurang upaya (OKU) selama sebulan bermula 31 Ogos sehingga 30
September 2024.
Harga tiket sebenar adalah RM10 bagi dewasa sementara RM5 bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke atas serta warga emas.
Bagi pemegang kad OKU dan kanak-kanak bawah lina tahun pula tiada sebarang bayaran dikenakan, sementara bagi pelancong asing bayaran masuk yang dikenakan adalah RM30.
Onn Hafiz Ghazi melihat kandang Harimau Belang yang menjadi salah satu daya tarikan di Zoo Johor. - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.
Onn Hafiz Ghazi (dua dari kiri) dan Mohd. Jafni Md Shukor (kanan) mencuba kemudahan shuttle bus yang disediakan kepada pengunjung Zoo Johor. - Kredit foto : Facebook Onn Hafiz Ghazi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembukaan Zoo Johor yang merupakan zoo tertua di Malaysia adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang turut berkenan mengurniakan haiwan peliharaan Istana Johor seperti harimau belang, beruang matahari dan tapir.
"Upacara perasmian pembukaan
Zoo Johor ini akan disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota
Ismail Sultan Ibrahim pada 28 Ogos 2024 nanti.
"Zoo Johor yang berkeluasan 4.73 hektar (11.70 ekar) ini memiliki 275 ekor haiwan daripada 53 spesis termasuk dalam kategori mamalia, primata, reptelia dan burung.
"Zoo Johor sebenarnya telah ditutup selama hampir tiga tahun akibat penularan Covid-19 yang melanda negara serta kerja-kerja menaik taraf yang dijalankan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Program Walkabout Sempena Pembukaan Semula Zoo Johor yang turut dihadiri Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md Shukor pada 17 Ogos 2024 lalu.
Harimau belang dan beruang matahari antara haiwan yang terdapat di Zoo Johor. - Kredit foto: Facebook Onn Hafiz Ghazi.
Menurut Onn Hafiz, Zoo Johor dahulunya
merupakan Kebun Binatang Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum
Sultan Sir Abu Bakar yang direka bagi menempatkan koleksi haiwan peribadi
baginda serta menjadi simbolik kepada benua serta negara yang pernah baginda
kunjungi sebelum Kebun Binatang ini diserahkan kepada kerajaan negeri pada 1
April 1962 untuk dibuka kepada umum.
Pembangunan semula Zoo Johor juga
merupakan inisiatif kerajaan negeri Johor untuk menjadikannya sebagai antara tarikan
dan produk pelancongan keluarga di negeri Johor dengan jumlah peruntukan
sebanyak RM9.67 juta bagi kerja-kerja menaik taraf.
Selain itu, ia juga salah satu
agenda kerajaan negeri bagi menjayakan Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ 2026) yang
menyasarkan sejumlah 12 juta pelancong luar dan tempatan.
"Orang ramai yang ingin
melawat Zoo Johor boleh menggunakan perkhidmatan bas shuttle yang disediakan oleh pihak Pengangkutan Awam Johor (PAJ) yang menyediakan empat buah shuttle bus
dengan kekerapan setiap 15 minit.
"Perkhimatan shuttle bus ini akan bermula di tempat letak kenderaan Penjara Ayer Molek dan drop off di Zoo Johor," katanya.- KitaReporters