Selera & Santai 12 Nov, 2024

Nak melancong ke Batu Kurau! Ada Peta Ekowarisan Teroka Batu Kurau! Destinasi pelancongan ekowarisan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian dan Harian Watan. Emel: awangani@gmail.com

Share this


Batu Kurau sebuah kawasan yang terkenal dengan pengeluaran durian kampung di Perak bakal menarik lebih ramai pelancong apabila diwujudkan Peta Ekowarisan Teroka Batu Kurau di Batu Kurau.

Ia memperkenal beberapa tarikan seperti Rumah Agam (1918), durian kampung, Lata Sempeneh dan Batu Kapur Gunung Kurau yang merupakan sebuah inisiatif untuk menjadikan Batu Kurau sebagai destinasi pelancongan ekowarisan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek itu dilaksanakan dengan mendapat sokongan dana sebanyak RM38,550 daripada Think City melalui Geran Pemangkin Ekonomi Budaya.

Beliau berkata, peta ini memberi kemudahan kepada pelancong dan ia bagi mempromosikan Batu Kurau sebagai destinasi mampan dan inklusif yang melibatkan komuniti setempat.

Beliau berkata, Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) yang diterapkan dalam projek tersebut memberi peluang kepada masyarakat setempat, termasuk wanita dan belia, untuk menerima manfaat ekonomi langsung daripada kedatangan pelancong.


Saarani Mohamad (tengah) melancarkan Peta Ekowarisan Teroka Batu Kurau di Bukit Gantang dekat Taiping pada 11 November 2024


“Saya ucapkan terima kasih pasukan penyelidikan dari UPM, USM dan UKM dan yang menyokong projek ini dari Pejabat Daerah Larut Matang Selama, Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Perak Tourism dan komuniti Batu Kurau.

“Saya berharap inisiatif ini mampu memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi Batu Kurau.

“Di samping itu, ia juga memperkukuh Batu Kurau sebagai antara destinasi pelancongan utama di Perak dan menjadi model kepada usaha pelancongan ekowarisan di daerah lain," katanya semasa pelancaran peta tersebut di Bukit Gantang dekat Taiping pada 11 November 2024.

Selain itu Saarani berkata, sektor pelancongan akan diberikan perhatian dalam Belanjawan Perak 2025 yang akan dibentangkan pada hujung bulan November 2024 ini.

Katanya, perkara itu dibuat kerana mengambil kira Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Beliau berkata, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee diminta untuk melihat keperluan berkaitan.

"Jika ada keperluan untuk membuat persiapan contohnya perlukan jeti atau mana-mana infrastruktur yang difikirkan perlu bagi menyambut kehadiran pelancong 2026 kita kena buat tahun depan (2025).

“Kita ada peruntukan untuk membuat persiapan bagi tahun 2026,” katanya. - KitaReporters

15
9
0
19
0
You will be interested