Selera & Santai 28 Jun, 2021

Kek tradisi Scotland Prof. Kamil, Kak Roza bukan sekadar kek! Rasa persahabatan, kasih sayang!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

KEK Dundee ini dipelajari resipinya oleh Kak Roza sewaktu menetap di bumi Scotland pada tahun 1993. - Kredit foto: Koleksi Peribadi Prof. Muhd. Kamil Ibrahim


MENGENALI pasangan penulis dakwah, Prof. Muhd. Kamil Ibrahim dan isterinya, Raudzah Roslan, mereka sentiasa punya idea dalam memasarkan sesuatu produk yang dihasilkan sendiri.

Selain aktif menjual buku-buku dakwah yang diterbikan oleh beberapa syarikat penerbitan terkemuka tanah air, Profesor Perakaunan di Business School, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ini turut rajin membantu mempromosikan air tangan isteri tercinta.

Jika sebelum ini, para pengikut mereka teruja dengan jualan pek nasi Arab – Gidra Palestin, Ozzie Syria, Ruz Samak serta pelbagai tepung bancuhan serba guna termasuk kek Red Velvet - kini muncul pula kegemaran lain.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan masakan

PEK beras Nasi Arab Gidra Palestin menjadi antara produk popular dalam kalangan pengikut mereka. 


Keenakan Kek Dundee dan Kek Bonnie semakin mendapat perhatian peminat pasangan ini sehingga tidak menang tangan untuk menyediakannya.

Menurut wanita kelahiran Segamat, Johor yang mesra dipanggil Kak Roza itu, ilham untuk menjual Kek Dundee dan Bonnie hadir bersama ruang masa.

“Bertahun-tahun Kak Roza berada dalam kekangan masa mengikut suami berdakwah, menulis, bekerja dan mengurus rumah tangga. Tiba-tiba wabak Covid-19 muncul.

“Masa sibuk terurai dan bercambahlah pelbagai idea untuk mengisi masa yang ada. Alhamdulillah, Allah SWT hadirkan Kek Dundee dan Bonnie dalam rutin hidup kami,” jelas penulis buku Rumah Kecil Di Jabal Uhud itu.


PASANGAN bahagia ini tidak menyangka pandemik Covid-19 membawa rezeki buat mereka melalui jualan kek tradisi Scotland tersebut.


Ditanya apakah cabaran yang dihadapi dalam menyiapkan tempahan pelanggan, Roza memberitahu ciri kek tradisional yang berasal dari Dundee, Scotland itu sangat istimewa. Ia dipelajari ketika mereka bermukim di sana pada tahun 1993.

“Semakin hari ia semakin sedap. Bertambah moist. Malah, ia mampu bertahan sehingga sebulan pada suhu bilik dengan kaedah penyimpanan yang betul.

Isunya adalah bagaimana mahu menghantar secara pos atau kurier agar ia kekal sebagaimana ketika disiapkan. Sebenarnya, kami tidaklah bersungguh sangat untuk menjual kerana ia sekadar mengisi masa lapang.

“Jadi, jualan ini lebih kepada interaksi dan hubungan dengan khalayak yang mengikuti perkembangan kami berdua,” tambah Kak Roza melalui jawapan yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp.


RESIPI Kek Dundee dan Kek Bonnie ini ada dinukilkan dalam buku Aroma Antara Benua yang ditulis oleh Kak Roza. 


“Malah, kisah Dundee Cake dan resipinya telah diceritakan dalam buku Roza bertajuk Aroma Antara Benua. Ia bukan satu rahsia. Ia menjadi isu apabila ramai khalayak kami mahu mencuba, sekali gus menyebabkan tempoh menunggu jadi sedikit panjang," jelas Roza.

Bagaimanapun, rata-rata pengikut mereka sentiasa memberi sokongan dan sanggup menunggu lama untuk merasai sendiri kelazatan kek yang kaya dengan campuran buah-buahan kering dan kekacang seperti peach, apricot, kismis, sultana, kranberi, kurma, badam dan walnut itu. 

Tempoh penyediaan kedua-dua kek ini memakan masa antara dua ke tiga jam. Kek Dundee mempunyai rasa yang kaya dengan Marmalade, parutan kulit oren dan cinnamon. Topping untuk hiasannya pula dilakukan sekitar 20 minit.

Manakala Kek Bonnie pula dibuat dengan pekatan madu asli, parutan halia dan parutan kulit lemon. Namun, tempoh menyiapkan hiasan yang sangat cantik di atas bahagian kek mengambil masa 40 minit kerana memerlukan ketelitian.


BUAH-BUAHAN kering antara bahan utama dalam penyediaan kedua-dua jenis kek ini selain kekacang.


Memiliki kelebihan sebagai penulis prolifik, Prof. Kamil dan Kak Roza mempromosikan jualan kek dengan cara penceritaan dalam Facebook.

“Kek Dundee ini pernah terlintas di dalam minda pembaca buku kami. Lalu mereka mahu mencuba. Mereka kata ia unik. Kemudian, apabila telah merasainya sendiri, mereka mahu berkongsi pula dengan teman rapat.

“Mereka hantar kepada mak dan ayah di kampung, adik-beradik, bos dan sambutan majlis ulang tahun perkahwinan. Paling tersentuh hati apabila mak-mak meminta tolong anak-anak belikan. Ya, kebanyakan followers kami orang berusia. Boleh baca Facebook tapi tidak pandai shopping online,” terang Prof. Kamil yang pernah menetap di Madinah selama tiga tahun apabila ditawarkan menjadi pensyarah di Universiti Taibah.

Sementara itu, Prof. Kamil memberitahu, jika digabungkan mereka berdua memiliki lebih 100,000 pengikut dalam laman Facebook. 


SEBIJI Kek Bonnie yang dihias cantik telah siap dibungkus untuk diposkan kepada pelanggan.


Berkongsi cerita, Kak Roza memberitahu, ada seorang pelanggannya menempah sebanyak 14 biji kek semata-mata untuk dijadikan hadiah kepada orang lain.

“Mereka beli kek, mereka buat reviu, ada yang buat video, ada juga yang buat TikTok. Ia jadi begitu. Itulah pertolongan Allah SWT buat kami,” ungkap Kak Roza.

Sejak memulakan penjualan kek ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 lalu, mereka tidak mencatat berapakah kuantiti yang terjual, namun mengakui sangat banyak.


SALAH seorang pelanggan menunjukkan bekas penghantaran Kek Bonnie yang telah selamat diterimanya. - Kredit Foto: Faizah Ahmad


Selain pelanggan di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, terdapat juga tempahan dari negara jiran iaitu Brunei dan Singapura. Melalui penjualan kek tersebut, pasangan ini berdoa agar memberi manfaat kepada khalayak yang menikmatinya.

“Ia bukan sekadar resipi atau kek untuk Kak Roza, tetapi ia mencakupi soal persahabatan, kasih sayang dan kekeluargaan. Insya-Allah,” ujar mereka.


SEORANG pelanggan dari Singapura membeli Kek Dundee bersama koleksi buku Prof Kamil dan Kak Roza. 


Subhanallah... Benarlah bahawa dalam penyediaan sesuatu makanan, kita mampu melihat kebesaran Allah jika direnung dengan mata hati.

Menyelusuri latar belakang Prof Kamil, beliau pernah mencatat rekod sebagar pelajar terpantas menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam tempoh 32 bulan di Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Sepanjang tempoh lebih 24 tahun berkhidmat di UiTM, beliau telah menjawat pelbagai jawatan termasuk Pengarah Kampus, Dekan Fakulti, Ketua Pusat dan sebagainya. 

Sebagai ahli akademik, beliau merupakan seorang penulis dan penyelidik prolifik yang telah menyiapkan lebih 500 artikel yang diterbitkan dalam pelbagai jurnal akademik. Antara buku terlaris beliau ialah Travelog Haji: Menguji Sempadan Iman yang terjual melebihi 100,000 naskhah. - KitaReporters


PENULIS bersama Prof Kamil dan Kak Roza ketika membuat liputan pelancaran buku terbaharu mereka pada Oktober 2018. 

87
7
2
1
3
You will be interested