Selera & Santai 23 Sep, 2020

Ikan Pekasam Haji Pein! Ikan pekasam air tawar buka selera!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

SIAPA sangka ikan pekasam air tawar bukan sahaja enak dimakan bersama nasi bagi pengemar ikan jeruk malah ia boleh membangkitkan selera untuk mereka yang kurang makan makanan asasi itu. Ada yang dah terliur sebab sebut ikan pekasam?? : KitaReporters

Ikan pekasam yang siap dimasak ditaruh asam limau nipis serta cili dan bawang merah untuk hidangan. 


Lagi cerita-cerita berkaitan masakan:

https://kitareporters.com/search?search=masakan


Ikan pekasam itu yang diperbuat dari pelbagai spesis ikan air tawar seperti ikan lampan sungai, temperas, kawan dan rong ekor merah biasanya dikatakan  sama rasanya dengan ikan pekasam air laut seperti ikan tenggiri, gelama dan tongkol. 

Namun kedua-dua jenis ikan jeruk berkenaan tetap berbeza cita rasanya kerana ikan pekasam air tawar yang diperbuat  daripada bahan-bahan yang terpilih ia sedikit sebanyak dapat membangkitkan selera makan untuk mereka yang kurang sihat.

Abdul Rahman Abu Bakar bersama dua bungkusan ikan pekasam air tawar di rumahnya di Kampung Pelong, Setiu, Terengganu. 



Hal ini diakui seorang pengusaha ikan pekasam air tawar di Kampung Pelong, Setiu, Terengganu, Abdul Rahman Abu Bakar, 66, ketika ditemui memberitahu perkara itu benar-benar berlaku ke atas seorang pesara kerajaan yang tinggal di Kampung Jabi, Besut, Terengganu dan seorang guru yang berada di Kuala Terengganu. 

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Haji Pien itu berkata, sebelum itu  tubuh badan mereka kurang sihat serta deman menyebabkan  selera makan mereka berkurangan.   

``Tetapi selepas guru serta pesara kerajaan itu membeli ikan pekasam saya, mereka bukan sahaja mengakui ikan ini boleh menambah selera makan nasi, tetapi mereka beli beberapa kali lagi ikan ini untuk dimakan bersama nasi,’’ katanya.

Abdul Rahman Abu Bakar bersama seorang cucunya membuka sebuah gerai untuk mempromosikan ikan pekasam di sebuah program anjuran jabatan kerajaan di Terengganu. 


Abdul Rahman berkata,  sebelum itu beliau tidak pernah terfikir atau tidak ada niat langsung untuk menjalankan perniagaan ikan pekasam berkenaan meskipun ikan air tawar menjadi kegemarannya. 

``Saya seorang pekebun kecil dan hobi saya pula suka memancing jika tiada kerja-kerja lain untuk dilakukan dan boleh dikatakan setiap petang saya pergi memancing ikan air tawar di sungai yang terletak tidak jauh dari kampung saya ini. 

``Entah macam mana pun saya tidak  tidak tahu, ketika saya sedang memancing suatu petang sambil menunggu umpan di joran dimakan ikan secara tiba-tiba saya terfikir alangkah baiknya jika ikan yang saya perolehi itu bukan setakat dibuat lauk nasi sahaja tetapi saya buat ikan pekasam untuk dijual, dapat juga menambah pendapatan,’’ ujarnya.  


Ikan pekasam air tawar buatan Haji Pein


Selepas itu, beberapa bulan kemudian beliau mula mengusahakan ikan pekasam itu secara kecilan di sekitar kampungnya selain beliau juga menjual ikan itu di beberapa buah kedai di daerah Setiu sejak tiga tahun lalu. 

Kini segala usahanya dengan dibantu oleh tiga orang pekerja, beliau bukan mampu memperolehi pendapatan yang agak memuaskan, malah ikan pekasam yang dikeluarkannya telah mendapat pasaran yang baik dalam kalangan pengemar ikan itu di luar negeri Terengganu. 

Ia termasuk negeri Johor, Perak, Pahang, Kelantan dan Kuala Lumpur dan ikan pekasam itu dijual dengan harga RM7 sebungkus yang beratnya 250 gram dan RM12 sebungkus (450 gram)

Selain ikan pekasam itu dijual di rumahnya, Abdul Rahman turut mempermosikan ikan jeruk yang suatu ketika dahulu menjadi kegemaran makanan orang-orang tua itu di gerai-gerai pameran melibatkan beberapa program anjuran  jabatan kerajaan di Terengganu. 

Sehingga kini  hasil jualan ikan itu mendapat sambutan yang baik sehingga ia boleh mencecah RM5,000 hingga RM6,000 sebulan berbanding sebelum itu hanya sekitar RM1,000 atau RM2,000 sebulan.

Kredit foto; FB Haji Pein


Abdul Rahman berkata sebelum ikan air tawar itu dibuat pekasam ia terlebih dahulu dibersihkan kemudian dicampur beberapa beberapa bahan lain seperti garam, cuka,  sedikit asam dan beras kisar dan selepas itu ikan-ikan berkenan diperap pula selama dua malam. 

``Ia lebih lagi enak dimakan jika diperah sedikit limau nipis, bawang merah dan cili ke atas ikan-ikan pekasam ini apabila ia siap dimasak,’’ katanya. 

Orang ramai yang berminat untuk membeli Ikan Pekasam Haji Pein, bolehlah menghubungi Abdul Rahman melalui talian 019-9111689. - KitaReporters

4
1
0
0
0
You will be interested