Selera & Santai 25 Apr, 2022

Keluarga Malaysia: Iftar ala Madinah! Suasana berbuka bagai di Masjid Nabawi! Hidupkan sunah Nabi!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this



Bagi umat Islam yang pernah mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah serta berpuasa pada bulan Ramadan di Madinah, sesuatu yang sangat mereka rindui adalah suasana berbuka puasa yang diadakan secara ‘berjemaah’ di Masjid Nabawi

Bersila beramai-ramai di atas hamparan sufrah sambil menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan adalah satu pengalaman yang menakjubkan serta menjadi kenangan.

Bagi mereka yang belum berpeluang menyambut Ramadan di sana, sudah tentu sukar untuk mrembayangkan suasana yang diceritakan, jauh sekali untuk menikmatinya. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan iftar Ramadan

Suasana berbuka ala Madinah yang berlangsung di pekarangan  ibu pejabatKumpulan Media Karangkraf memang meriah. - Kredit foto: Sinar Harian.


Namun, kini, orang ramai khususnya yang tinggal di sekitar Lembah Klang berpeluang merasai suasana berbuka puasa  sebagaimana di Masjid Nabawi apabila Kumpulan Media Karangkraf mengambil inisiatif menganjurkan program Iftar ala Madinah @ Karangkraf pada sepanjang bulan Ramadan tahun 2022 ini.

Program bawah naungan akhbar Sinar Harian bersama Karya Bestari dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu dilangsungkan secara percuma setiap hari (kecuali Sabtu dan Ahad) bermula 4 April hingga 29 April 2022 di Dataran Karangkraf, Shah Alam. 


Hussamuddin (berbaju putih) pencetus program Iftar Ala Madinah. - Kredit foto: Sinar Harian.


Menurut Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Media Karangkraf (KMK), Hashim Anang, idea menganjurkan program ini diilhamkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan pertama kali dianjurkan pada 2018 lalu. 

“Iftar Ala Madinah pada 2018 boleh dianggap sebagai program perintis. Ia dianjurkan sempena Karnival Jualan Karangkraf yang berlangsung selama tiga hari. Sambutan yang diterima sangat luar biasa, kira-kira 3,000 orang mengambil bahagian pada iftar yang dianjurkan pada tahun itu. 

“Bertitik tolak daripada kejayaan sulung itulah, Datuk Hussamuddin berhasrat menjadikan ia sebagai acara tahunan setiap kali Ramadan serta dilangsungkan setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Namun, akibat ancaman Covid-19, hasrat itu terpaksa ditangguhkan selama tiga tahun dan hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini,” ujar Hashim.


Apabila hujan, majlis akan dilangsungkan di dalam bangunan dengan mengekalkan konsep berbuka ala Madinah.  - Kredit foto: Anita Abdullah. 


Walaupun keadaan cuaca tidak menentu sepanjang Ramadan tahun ini, namun menurut Hashim, ia tidak menghalang kemeriahan program itu dengan jumlah kehadiran antara 500 hingga 800 orang sehari.

“Majlis ini dilangsungkan di pekarangan Karangkraf tapi jika hujan ia akan dialihkan ke dalam bangunan. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. 

“Apa yang menarik adalah, selain umat Islam, terdapat kaum lain turut hadir menyertai program ini. Ini sangat menepati syariat Islam yang menuntut kita menyantuni semua umat tanpa mengira bangsa dan agama. Ia juga sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia yang menjadi aspirasi perdana menteri. 

“Walau pun bilangannya kecil namun ia adalah permulaan yang baik kerana kita memang terbuka menerima sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan agama. Saya berharap ini menjadi titik awal kepada kehadiran lebih ramai orang bukan Islam pada program-program seterusnya,” kata Hashim.


Zee How (kiri) dan Chee Wei teruja dapat sertai program Iftar Ala Madinah. - Kredit foto: Sinar Harian.


Seorang peserta, Tai Zee How berkata, peluang berbuka puasa bersama umat Islam memberi gambaran lebih dekat bagaimana amalan berpuasa orang Islam sekali gus menunjukkan sifat keramahan agama itu.

"Saya teruja sertai majlis iftar ini kerana susunannya yang teratur dan kemas selain makanan yang dihidangkan sedap dan lazat. 

"Kita boleh lihat majlis ini bukan sahaja orang Islam yang sertai, malah ada juga penganut agama lain, menunjukkan keharmonian antara kaum di negara ini masih utuh," katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian. 

Lim Chee Wei pula berkata, majlis sebegini boleh menjadi perantara terbaik bagi menjalin hubungan kejiranan dan kasih sayang tanpa mengira agama selain memberi gambaran sebenar terhadap sifat keramahan Islam. 

"Apa yang pihak Karangkraf lakukan sepanjang Ramadan seharusnya dipuji dan menunjukkan simbolik semangat pemberian menerusi majlis iftar, selain memecah tembok agama dan bangsa dengan meraikan sambutan agama masing-masing," katanya.

Program turut diisi dengan majlis ilmu melalui takzirah ringkas yang disampaikan oleh pendakwah jemputan setengah jam sebelum waktu berbuka. 


Abdul Fattah (tengah) menyerah simbolik pek makanan sumbangan Angkasa kepada Hussamuddin sambil diperhatikan oleh Hashim. - Kredit foto: Sinar Harian.


Sementara itu, Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, program seumpama itu merupakan satu strategi yang bagus kerana ia dapat mempromosikan budaya berbuka puasa di Madinah dan Makkah, sekali gus menghidupkan sunah Rasulullah SAW. 

"Kita dapat menghidupkan sunah Rasulullah SAW, selain mengimarahkan lagi bulan Ramadan,” katanya. 

Sebelum itu, Angkasa menyumbang sebanyak 300 pek makanan berbuka puasa kepada Sinar Harian untuk diagihkan kepada orang ramai yang hadir menyertai Program Iftar Ala Madinah @Karangkraf sehingga 29 April 2022.

Dalam pada itu, Hashim, mewakili KMK, mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat serta orang perseorangan yang turut menjayakan program berkenaan dengan menyumbangkan pek-pek makanan sebagai juadah berbuka puasa. 

Antaranya adalah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Bank Rakyat, Bank Islam, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). 

“Insya-Allah, berdasarkan sambutan serta sokongan yang diberi, Karangkraf akan menjadikan Iftar Ala Madinah ini sebagai program tahunan setiap kali Ramadan,” kata Hashim. - KitaReportersi

Pelbagai peringkat umur hadir berbuka puasa ala Madinah anjuran Kumpulan Media Karangkraf. Kredit foto: Sinar Harian.

 

14
15
0
15
0
You will be interested