Selera & Santai 20 Oct, 2020

Tasik Pepsi Blue! Tasik Lubuk Mandi tarikan baharu di Rusila

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

TENTU ramai yang masih ingat nama Kampung Lubuk Mandi, Marang, Terengganu, tiba-tiba menjadi tersohor selepas penduduk tempatan menemui emas di sebuah sungai kampung itu yang menyebabkan ribuan penduduk menyerbu untuk menggali emas sehingga ada yang menjadi kaya raya hasil aktiviti mendulang emas di kampung tersebut. Masih ingat?? : KitaReporters 


Dua pengunjung ke Tasik Biru Lubuk Mandi, Rusila, Terengganu tidak mahu melepaskan peluang untuk merakam gambar kenangan 


Lagi cerita-cerita berkaitan tasik:

https://kitareporters.com/search?search=tasik


Lubuk Mandi merupakan satu kawasan yang terkenal di Malaysia terutama dengan buruan emas yang melanda Malaysia pada akhir tahun 80-an. Kemasyhurannya sebagai lubuk emas menyebabkan manusia berpusu-pusu untuk mencuba nasib melombong galian berharga berkenaan.

Pada akhir dekad 80-an juga menyaksikan beberapa tragedi yang menyedihkan apabila ada pendulang emas mati tertimbus yang akhirnya mendorong kepada penutupan kawasan berkenaan. 

Lubuk Mandi adalah tasik buatan terhasil daripada aktiviti melombong secara mendulang emas suatu ketika dahulu dan sangat terkenal dalam kalangan penduduk tempatan.

Namun, aktiviti melombong emas itu diarah dihentikan beberapa tahun lalu ekoran berlaku beberapa tragedi yang meragut nyawa pelombong termasuk tanah runtuh dan akhirnya dijadikan kawasan larangan.


Kecantikan air biru menarik pengunjung ke Tasik Biru, Rusila, Terengganu


Kecantikan air di Lubuk Mandi yang biru kehijauan memang luar biasa dan boleh diperkenalkan kepada masyarakat.

Sejak kebelakangan ini Lubuk Mandi kembali diperkatakan dalam laman sosial selepas terdapat beberapa individu yang memasuki kawasan tasik itu dan mengambil gambar.

Kini tempat itu menjadi tumpuan orang ramai untuk merakam gambar berikutan wujudnya tasik yang mempunyai air kebiruan yang menjadi daya tarikan kepada orang ramai.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan,Kebudayaan dan Teknoloigi Digital Terengganu, Ariffin Deraman (kanan) meneliti pelan lokasi Tasik Biru, di Rusila.

Masa depan tempat itu sebagai destinasi pelancongan baharu di Terengganu amat berpotensi apabila Keraajaan Negeri mahu menjadikan kawasan bekas pelombongan emas, Tasik Lubuk Mandi atau lebih dikenali sebagai Tasik 'Pepsi Blue' di Rusila sebagai lokasi pelancongan yang baharu di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perkara itu akan diperincikan menerusi perbincangan dengan pegawai daerah ,di samping wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlibat dalam masa terdekat.

Ariffin Deraman


"Walaupun kawasan bekas lombong emas ini telah ditutup bertahun-tahun tetapi kita tahu ada yang menceroboh masuk semata-mata untuk melihat keindahan panoramanya dan bergambar hingga lokasi ini tular dalam media sosial.

"Jadi kita fikir kalau diolah dengan baik mungkin Tasik Lubuk Mandi boleh menjadi destinasi pelancongan seolah-olah di Kawah Putih, Bandung, Indonesia," katanya.

Menurut Ariffin, sekiranya dibuka kelak, tentunya aspek keselamatan menjadi keutamaan.

Ujarnya, sistem keselamatan seperti mengenakan syarat tertentu untuk pengunjung termasuk larangan mandi serta mengadakan aktiviti atas air berkemungkinan akan dilaksanakan.

"Antara kemudahan yang dikenal pasti perlu diwujudkan bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin ialah laluan pejalan kaki, di samping pembinaan pagar di sekeliling tasik bagi mengelak insiden jatuh.


Tasik Biru, Rusila, Terengganu akan dibangunkan sebagai destinasi pelancongan


"Tasik Lubuk Mandi mulai menjadi perhatian ramai pada 2015 selepas video beberapa remaja terjun ke tasik berwarna biru itu tular dialam media sosial," katanya.

Tambah beliau, inisiatif memperkenalkan Tasik Lubuk Mandi itu sekali gus bakal melengkapkan pakej pelancongan di Marang yang ketika ini terkenal dengan tarikan seperti Masjid Rusila, Pulau Kekabu, Dataran Batu Putih dan Kampung Jenang.

"Tentunya manfaat ekonomi akan turut dinikmati penduduk setempat menerusi kegiatan perniagaan di kawasan tasik," katanya.

"Kami akan buat kawasan ini seperti Kawah Putih di Bandung, Indonesia, sebuah tasik semula jadi yang muncul akibat letusan gunung berapi, yang kini menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata, jarak Lubuk Mandi yang berdekatan dengan Kuala Terengganu menjadikan ia lokasi mudah dikunjungi pelancong bagi menikmati panorama dan merakam gambar berlatarbelakangkan tasik itu.

"Lagipun pengunjung hanya perlu 'jungle trekking' kira-kira lima hingga 10 minit untuk sampai ke kawasan atas tasik bagi menyaksikan keindahannya. Berdekatan Lubuk Mandi terdapat kawasan perumahan, jadi jalan untuk ke sini sudah cantik dan sesuai dilalui kenderaan," katanya.

Lubuk Mandi adalah tasik buatan terhasil daripada aktiviti melombong secara mendulang emas suatu ketika dahulu dan sangat terkenal dalam kalangan penduduk tempatan. - KitaReporters

18
7
1
0
2
You will be interested