KAWASAN perkelahan keluarga yang terkenal di Baling, Lata Chelak di Kampung Iboi, Kupang musnah sama sekali akibat banjir yang melanda pada 4 Julai 2022.
Kawasan perkelahan yang wujud sejak lebih sepuluh tahun lalu kini dicemari batang-batang kayu dan pokok-pokok yang hanyut dibawa oleh arus banjir akibat kepala air.
Tinjauan KitaReporters di kawasan itu mendapati kawasan tebing Sungai Chelak yang menjadi tumpuan penduduk Baling dan dari luar daerah untuk berkelah bersama keluarga mereka kini telah musnah
Beberapa orang penduduk yang ditemui di kawasan itu mengakui, kawasan perkelahan Lata Chelak memiliki kawasan yang indah sepanjang sungai yang jernih dan diteduhi dengan pokok-pokok hutan yang menghijau.
Kini Lata Chelak dipenuhi kayu-kayu balak yang hanyut serta sampah sarap.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perkelahan
Seorang sukarelawan dari luar daerah Baling yang ditemui di kawasan itu mengakui kawasan itu amat cantik walaupun dicemari tunggul-tunggul kayu balak yang tersangkut di perdu -perdu pokok di sepanjang Sungai Chelak akibat dihanyutkan arus banjir.
Nor Hisyam Ismail, 25, sukarelawan dari Seberang Perai berkata, walaupun tidak pernah sampai di sini sebelum ini, namun dapat bayangkan keindahan sungai dan kawasan perkelahan sebelum musnah akibat banjir baru-baru ini.
Sukarelawan, Mohd Naufal Mohd Ali, 32, dari Balik Pulau, Pulau Pinang berharap ada pihak-pihak tertentu berusaha untuk pulihkan kembali kawasan perkelahan di pinggir Sungai Celak, Kampong Iboi di Kupang, Baling.
Katanya, sukar untuk temui kawasan perkelahan keluarga seindah kawasan perkelahan Lata Chelak di tempat-tempat lain walaupun terdapat sungai, namun Sungai Chelak cetek, namun kini airnya berlumpur dan dicemari kotoran dan batang-batang pokok kayu balak yang tumbang dihanyutkan banjir.
Sementara itu, penduduk Kampung Iboi dan sekitarnya mahu kawasan perkelahan Lata Chelak dibersihkan bagi menghidupkan kembali aktiviti perkelahan keluarga seperti sebelum ini. - KitaReporters
Tags: