Selera & Santai 14 Mar, 2023

Sambal sebagai warisan negara! Perkenal Sambal Malaysia bagi tarik pelancong! Pesta Cita Rasa Sambal!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


Tidak lengkap sesuatu hidangan Melayu jika tidak diiringi dengan sambal belacan, ibarat irama tanpa lagu gitu?

Rasanya semua bersetuju ‘sambal’ bukan sahaja hidangan pembuka selera bahkan impaknya pada kepuasan pemakanan tidak terkira lazatnya.

Walaupun lidah ini tidak berapa tahan dengan sambal yang pedas tetapi jika tiadanya sambal terasa kurang memuaskan. Pendek kata, makan nasi putih hangat dengan sambal dan ikan kering atau ikan goreng pun dah cukup membangkitkan selera makan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan makanan sambal

Khairul Firdaus Akhbar Khas (dua dari kiri) melawat gerai My Donut milik pelakon Aida Aris diiringi Azmi Jaffri (tengah), Dr. Eyo Leng Yan dan Ariff Fadzila (kanan sekali).di Pesta Cita Rasa Sambal Malaysia di KL Gateway baru-baru ini.


Selain sambal belacan, tahukah anda sebenarnya ada pelbagai jenis sambal antaranya yang mungkin tidak pernah anda dengar malah ada yang telah diiktiraf dan tersenarai dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

"Antaranya sambal tumis (2012), sambal tempoyak daun kayu (2012), sambal rong (2012), 

sambal goreng (2012), sambal biji getah 012), sambal hitam ikan bilis (2018) dan sambal tahu (2018). Malah mungkin ada lagi jenis sambal lain yang boleh dirujuk dengan Jabatan Warisan Negara, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan dalam ucapannya ketika menyempurnakan pelancaran Pesta Cita Rasa Sambal (TOSFE) Mega anjuran Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) yang berlangsung di KL Gateway Mall, selama tiga hari baru-baru ini. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Swa Media Digital Sdn Bhd, Dato Seri Ariff Fadzila Sabri; Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital (PSWAD) merangkap Pegawai Projek Pesta Cita Rasa Sambal Malaysia, Azmi Jaffri selaku pihak penganjur dan Pengarah Bahagian Warisan Tidak Ketara, Jabatan Warisan Negara, Dr. Eyo Leng Yan.




Wah!  Baharu tahu sambal pun sebenarnya sudah mendapat pengiktirafan sebagai antara produk warisan Malaysia sekali gus sebagai pemangkin utama pertumbuhan sektor pelancongan dan kebudayaan negara.

Sebagaimana rasa pedas yang dihasilkan melalui sambal, begitu jugalah impaknya terhadap pemakanan kita. Hidup tanpa sambal mampu membantutkan selera makan, khususnya dalam kalangan penduduk  Asia,

Ketika hadir bersama ke Pesta Cita Rasa Sambal (TOSFE) baru-baru ini penulis berpeluang merasai pelbagai jenis sambal dari rantau Asia termasuk dari Indonesia mahu pun Vietnam dan tidak ketinggalan sambal dari negeri-negeri Semenanjung sendiri.


Sambal Hijau dari pengusaha Yogjakarta, Indonesia.



Ada lebih kurang 100 jenis sambal yang disediakan tetapi tidak dapatlah nak mencuba semua apatah lagi bila hadir ke acara berkenaan pada sebelah pagi dan jika banyak pula makan pedas, meragam pula perut nanti. 

Jadi tak berani nak rasa semua kecuali beberapa jenis sahaja diperkenal pengusahanya yang dijamu dengan roti atau nasi sedikit untuk dicuba.

"Selain menyemarakkan misi pelancongan dan berkongsi keunikan lebih 100 jenis sambal pilihan rakyat Malaysia serta negara jiran, hakikatnya TOSFE juga merapatkan hubungan sesama masyarakat menerusi perkongsian cita rasa,” kata  Azmi Jaffri.

Menyedari hakikat itu, PSWAD tambahnya, bakal mengadakan fiesta seumpama di beberapa destinasi lain selepas ini dengan Sabah sebagai permulaan.


Azmi (tengah) rancang perkenalkan 'Sambal Malaysia' sebagai antara produk pelancongan negara.


“Seterusnya, jika ada agensi mahu pun syarikat korporat yang ingin bersama membawakan TOSFE ke negeri atau negara luar, ia sangat dialu-alukan,” harapan Azmi.

Khabarnya, beliau sedang merancang memperkenal jenama Sambal Malaysia sebagai satu produk pelancongan yang boleh dikomersialkan dan menjadi terkenal secara global.

Namun terlebih dahulu katanya, satu pesta cita rasa sambal Asia bakal dirancangkan sebagai langkah menggabungkan negara Asia di bawah satu bumbung melalui produk sambal.



Sudah tentu ini satu idea yang bernas apatah lagi Azmi turut memberitahu akan melancarkan aplikasi jualan sambal online berbentuk ‘hadiah’ di mana sesiapa sahaja boleh menempah sambal untuk dihadiahkan kepada ibu bapa, keluarga mahu pun sahabat handai masing-masing.

Menyambut baik program yang dianjurkan itu, MOTAC berpendapat ia merupakan langkah aktif dan bersifat interaktif dalam mengembalikan martabat warisan bangsa dan disegarkan untuk lebih dihargai generasi pelapis.

"Justeru, saya melihat inisiatif Persatuan Seri Warisan Artistik Digital Malaysia bersama rakan rakan strategik memperkenal dan mempromosikan pelbagai sambal merupakan usaha yang amat baik sekali kerana berupaya membantu Industri Kecil & Sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing," akhiri Khairul Firdaus ketika ditemui sebaik selesai melawat ke lebih 50 pengusaha makanan berasaskan sambal yang mengambil bahagian termasuk dari Pavillion Negara Asia seperti Indonesia, Korea, Vietnam, Pakistan juga Thailand.


Selain jualan pes sambal turut dijual kain samping sebagai persiapan menjelang raya pada April nanti,


Dan sepanjang tiga hari berlangsungnya majlis di KL Gateway, TOSFE berjaya menarik ribuan pengunjung membanjiri lokasi  bagi merasai sendiri pengalaman ‘bersambal’ waima ada pelbagai aktiviti seperti pertandingan memakan sambal dan lain-lain yang menarik, termasuk jualan produk lain seperti samping, kuih muih dan sebagainya. 

Melihat sokongan ramai yang membanjiri tapak pesta, diyakini harapan dan misi penganjur dengan pembentangan idea kreatif mereka mampu mengangkat variasi sambal selaku 'hero' hidangan harian di setiap rumah dan sekali gus sebagai  produk pelancongan mencapai matlamatnya.

Apa pun bila tumbuk sambal dan terpercik ke mata, teringat petua pesanan nenek moyang kita dahulu, ‘cepat cepat makan garam’ dan impaknya? Kuranglah rasa pedih di mata dengan pantasnya.. 

Siapa dah cuba ‘try’? - KitaReporters


12
6
0
17
0
You will be interested