IMPIAN mereka sangat tinggi. Menjadikan jalan utama di destinasi pelancongan sebagai medan berfesyen jalanan (street fashion) sudah pun berjaya terlaksana dengan pelancaran jejak pertama pada 4 Januari 2026 bersempena pelancaran Malaysia Kebaya Sunday, di Jalan Bukit Bintang.

Acara penuh warna warni dan santai dimeriahkan dengan peragaan fesyen dari Thailand, Filipina, Indonesia dan tidak ketinggalan koleksi fesyen kebaya klasik serta kontemprori Malaysian yang berlangsung di pusat beli-belah Fahrenheitt88, Bukit Bintang.
Street fashion selalu menjadi pilihan kepada pereka fesyen dunia untuk memaparkan seorang atau lebih model yang menggayakan busana tradisional dan moden yang diketengahkan oleh model yang pelbagai peringkat umur.
Mereka bukan buat catwalk di pentas tetapi di jalan laluan pelancong.

Street fashion ni lebih kepada budaya menonjolkan wanita bergaya dengan pakaian berjenama berjalan catwalk di jalan-jalan utama pelancongan sebagai runway terbuka termasuk di Paris dan Milan.
Demikian kata Pengasas yang juga Presiden Miss Kebaya Malaysia (MMK) dan Presiden Malaysia Fashion, Modeling dan Pageant Association (MFMPA), Dr Jason Hee yang walaupun sudah dikira berjaya meletakkan kejayaan menjadikan kebaya itu satu trending tapi aktiviti tahun ini (2026) perlu pembabitan lebih ramai pada peringkat pusat dan negeri.
Sebab MMK akan menjelajah ke seluruh negera. Dah macam rombongan bangsawan zaman dulu-dulu tetapi kini kepada acara berhimpun seperti pesta kereta api sarung.
Bagi memastikan trending itu sentiasa diviralkan, penganjur MMK memerlukan sokongan daripada ramai pihak untuk membiayai dan menjadi penaja kepada MMK yang akan berlangsung selama setahun ini.
"Banyak juga peruntukan yang diperlukan untuk membawa pasukan terdiri daripada model, pereka fesyen dan staf sokongan mereka setiap kali acara dijalankan. Kita membuka peluang dan jemputan terbuka kepada mana-mana pihak yang berminat." katanya.
Majlis Malaysia Kebaya Sunday telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi ii) Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung.
Hadir sama pengasas bersama dan setiausaha MMK serta MFMPA, Nicole Felyne; Maswira Majid Enterprise; tetamu; dan model yang mengambil bahagian.

Program Malaysia Kebaya Sunday memerlukan lokasi, logistik dan bantuan teknikal. Malah MMK sangat memerlukan promosi berterusan kerana mereka mahu semua warga tempatan dan pelancong antarabangsa berhimpun dan memakai kebaya pada hari berkenaan.
Acara kebaya Ahad itu adalah sebahagian daripada Karvival Kebaya Malaysia 3.0 susulan tahun lalu (2025) yang banyak membawa perubahan besar kepada warisan negara.
Tambahan pula bila Malaysia bersama Thailand, Indonesia, Singapura dan Brunei telah berjaya mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Warisan Dunia (World Heritage) memberi kekuatan untuk terus menjadikan kebaya diminat di seluruh dunia.
Kini Filipina turut menunjukkan minat dalam mengetengahkan pakaian tradisional mereka.


Majlis kebaya Ahad itu dilancarkan dengan pembabitan pereka fesyen dari Thailand, Filipina, Indonesia dan Malaysia yang mengambil bahagian bersama di pentas dengan menampilkan fesyen lambang simbol negara masing-masing sama ada untuk majlis rasmi, bekerja atau berlibur.
Manakala Malaysia mahu menjadikan kebaya sebagai pakaian "basahan" - sangat sesuai untuk dipakai pada bila-bila masa, tanpa kira latar belakang dan usia.
Dr Jason berkata dia dan pasukannya sudah mengenal pasti beberapa lokasi untuk membawa rombongan kebaya menjelajah negara dan ASEAN sebagai satu lambang kejayaan negara mengekalkan pakaian tradisi yang tidak luput ditelan zaman.
"Orang tengok kebaya akan teringat Malaysia. Lebih penting negara kita akan jadi medan sebagai street fashion untuk paparan kepada pelancongan sepanjang musim Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) ini.
"Besar kemungkinan setiap Ahad sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk jangka masa awal pertunjukan Malaysia Kebaya Sunday sebagai peluang warga negara berkumpul dan memakai baju kebaya dan batik," jelasnya.

Beliau berkata MMK mula terlibat dengan penganjuran Karnival Kebaya Malaysia. Kali ini menjadikan hujung minggu tempat bertemu sebagaimana kereta api sarung kerana kebaya mempunyai akar kukuh dalam menggalakkan rakyat mengekalkan dan menghidupkan semula warisan negara.
Kebaya adalah simbol serantau, menyerlahkan keanggunan wanita melangkau sempadan usia. Menerusi diplomasi pertukaran kebudayaan fesyen ASEAN (ACFX), bakal menyemarakkan lagi hubungan pereka fesyen, model, seni kreatif sebagai amalan budaya rantau ASAEN, sekali gus mempopularkan kebaya menjadi pakaian ready to wear (pret-a-porter) atau tersedia untuk dipakai.
MMK aktif sejak 2021 berharap bertambahnya usaha sama dan tajaan mampu memastikan program berkebaya pada setiap Ahad sentiasa aktif dan mampu mencungkil bakat, melahirkan duta budaya dan fesyen.
"Tetapi lagi utama ialah kita mahu ASEAN menjadi medan ke arah memperkenal kekayaan budaya rantau ke persada dunia."
Bidang yang berpotensi untuk dikembangkan usaha sama bersama MMK ialah program pelancongan kreatif, pendidikan dan bengkel, acara komuniti dan belia, serta kandungan media dan rakan kongsi acara. - KitaReporters

