SIAPA kata buah sawit tidak boleh dimakan dan hanya minyaknya boleh digunakan untuk memasak atau diminum untuk mendapatkan awet muda. : KitaReporters.com
Buah sawit mentah yang belum dimasak.
Di Felda Jengka 5 dekat Maran, Pahang yang mempunyai ladang sawit yang luas, buah kelapa sawit itu dijadikan kudapan serta makanan yang enak dan menyelerakan.
Hasil kreativiti seorang penerokawati, Che Esah Hashim, 65, berjaya mencipta resepi baharu buah sawit sira dan bingka atau bengkang buah sawit.
Razak Daud (dua dari kanan) dan Che Esah Hashim (dua dari kiri) bersama jirannya memasak buah sawit untuk dijadikan sira.
Che Esah memberitahu sebenarnya resepi buah sawit sira bermula sekitar 1979 ketika tiada kudapan dan makanan segera seperti Kentucky Fried Chicken (KFC) untuk dimakan ketika bersantai bersama keluarga.
"Jadi timbul idea memanfaatkan buah sawit untuk dijadikan kudapan petang atau sarapan pagi dengan merebus biji sawit kira-kira sejam dan dimasukkan gula dan gula batu.
"Saya tidak menyangka resepi percubaan itu menjadi dan sedap untuk dimakan begitu sahaja, rasanya sangat enak dan lemak kerana sudah ada minyak semula jadi," katanya di Maran, baru-baru ini.
Sira buah kelapa sawit yang siap dimasak dan sedia untuk dimakan
Che Esah berkata, menyedari potensi buah sawit itu, dia mencuba pula membuat kuih bingka atau bengkang sawit dengan mengikut resepi membuat bingka atau bengkang ubi kayu.
Katanya, pada mulanya dia agak terkejut apabila hasilnya sangat menakjubkan kerana kuih bingka sawit sangat enak dengan rasa berlemak, malah setanding dengan kuih bingka ubi kayu.
"Makanan buah sawit sira dan bingka sawit menjadi popular apabila Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkenan untuk merasainya di majlis berbuka puasa bersama rakyat di Felda Jengka 5, pada tahun lalu (2019).
"Saya percaya resepi ini boleh dikomersialkan dan saya bercadang mempatenkan resepi bingka sawit ini dalam masa terdekat," katanya.
Kuih bingka atau bengkang kelapa sawit yang begitu menyelerakan.
Sementara itu Pengerusi Biro Sosial Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, sira buah sawit dan bingka sawit sangat berpotensi untuk dikomersialkan kerana keenakannya setanding dengan kuih tradisional lain.
Katanya, dua resepi ini boleh dijadikan kudapan Felda dan agensi itu harus berbangga dengan penemuan inovatif penerokawati Felda ini.
"Saya menyokong supaya resepi bingka sawit ini dipatenkan segera bagi mengelakkan pihak lain mengeksploitnya pula bagi tujuan keuntungan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Wanita Felda Jengka 5, Norazlina Aida Mohd Nazran berkata, pihak Felda sentiasa menyokong sebarang usaha isteri peneroka menjalankan aktiviti kemasyarakatan, sosial dan ekonomi.
Jelasnya, resepi Che Esah ini semakin dikenali dan telah diperkenalkan dalam majlis Hari Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) Wilayah Jengka di Jerantut, Pahang baru-baru ini. - KitaReporters.com