Selera & Santai 30 Jun, 2022

Video| Bukan sebarangan burung! Pemuda sanggup habis banyak wang dan masa! Latih burung kakak tua!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this

Dua ekor burung kakak tua menjadi penyeri hidup Aidil Irfan Z Sukri


BURUNG kakak tua adalah salah satu spesis burung yang mempunyai bulu yang cantik dan berwarna-warni. Burung ini juga pintar dan mencuit hati sesiapa yang memeliharanya.

Bagi seorang pemuda, Aidil Irfan Z Sukri, 24, dari Putera Jaya, Setiu, Terengganu, dia akan merasa puas setiap kali melihat sepasang burung kakak tua jenis Macaw itu terbang bersama di udara dan kembali semula kepadanya.

Beliau sanggup meluangkan masa hampir tiga jam setiap hari untuk melatih burung-burung kesayangannya terbang.

"Jika urusan kerja, saya akan membawa burung itu ke beberapa untuk yang sesuai untuk melihatnya terbang termasuklah di taman riadah Sungai Tarom," katanya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan burung-burung

Aidil bersama dua ekor burung kakak tua kesayangannya


Katanya, dia mula berjinak-jinak dengan hobi berkenaan secara kebetulan sekitar tahun 2019.

"Pada mulanya saya beli seekor burung kakak tua warna kuning biru berharga RM9,000 dan selang setahun membeli seekor lagi burung berwarna hijau merah dengan harga RM20,000.

Menurutnya, nilai burung ini akan lebih tinggi jika mempunyai kemahiran tertentu serta dilatih dengan pelbagai teknik.

"Harga pasaran bagi burung kakak tua warna kuning biru ini boleh mencecah sehingga RM12,000 manakala yang hijau merah sehingga RM28,000," katanya.

Aidil berkata, setiap hari dia akan memperuntukkan satu jam setengah pada awal pagi dan satu jam setengah lagi untuk melatih burung.

"Selalunya antara jam 7 hingga 8.30 pagi dan jam 6 hingga 7.30 petang saya akan memperuntukkan sedikit masa untuk melatih burung ini. Burung kakak tua ini juga menjadi tumpuan pengunjung taman ini,” katanya.

Beliau berkata, salah satu cabaran paling utama sejak menceburi hobi ini perlu membawa burung ini bersama setiap kali saya keluar dari Terengganu seperti ke Kelantan serta Kuala Lumpur atas urusan kerja.

"Setiap kali mahu melakukan perjalanan ke negeri lain saya perlu memohon lesen dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) setiap negeri berkenaan," katanya.



Menurutnya, dari segi penjagaan burung kakak tua dia perlu memastikan suhu persekitaran sesuai dengan suhu badan haiwan itu dan tidak boleh dibiarkan kesejukan.

Aidil  bercadang untuk menambah beberapa ekor burung lagi namun bergantung kepada keadaan serta kesesuaian masa.

"Setakat ini terdapat kira-kira 15 orang aktif membela burung kakak tua ini dan kami saling berkongsi pengalaman serta pandangan," katanya.

Menurut usahawan muda itu, haiwan kesayangannya itu juga pandai bertutur memberitahu tuannya tiada di rumah apabila ditanya orang yang datang ketika dia keluar bekerja.

"Biasanya pemilik tahu 'lenggok' bahasa burung termasuk bila dia mahu bermain, mandi dan minum. Selain itu, diet burung juga penting dan mudah seperti kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran. Paling penting air mencukupi dan bersih," katanya. - KitaReporters


Aidil sedang berkata sesuatu dengan dua ekor burung kakak tua peiharaannya

19
12
1
9
0
You will be interested